Loading...

Hikmah pengharaman arak*

Soalan

Saya tahu arak adalah sesuatu yang haram diminum, tetapi pada masa yang sama, terdapat juga manfaat padanya seperti yang disebut dalam Al-Quran. Saya cuma ingin tahu apakah sebenarnya hikmah dari pengharaman arak?

Jawapan

(Oleh Ustaz Mustazah Bahari)

Matlamat syariat diturunkan adalah untuk memastikan agar kelangsungan kehidupan manusia terjamin dengan baik secara berpanjangan yang mencakupi setiap aspek penting kehidupan manusia.

Aspek-aspek ini terangkum di dalam lima matlamat utama syariat untuk manusia, iaitu memelihara akal, memelihara keturunan, memelihara harta, memelihara agama dan memelihara maruah.

Dengan mengamalkan syariat dengan betul, kelima-lima matlamat ini akan tercapai.

Arak bukanlah suatu perkara yang baru dalam hidup manusia. Sejak dari dulu lagi, ia telah dianggap istimewa dan eksklusif bagi sebahagian manusia.

101 Lihat, “Vegetarian Meat Flavors” (2010), Food Product Design, 25 August, available at http://www.foodproductdesign.com/news/2010/08/vegetarian-meat-flavors.aspx (20 November 2015).

Syariat Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. pada peringkat awal menjelaskan fungsi dan kesan arak kepada manusia.

Dalam hal ini, Allah s.w.t. telah berfirman di dalam surah Al-Baqarah, ayat ke 219, yang bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu mengenai khamar dan judi, katakanlah pada keduanya ada dosa yang besar dan manfaat kepada manusia, tetapi dosanya lebih besar daripada manfaatnya.”

Imam Al-Qurtubi di dalam tafsirnya berkata, “Arak adalah buruk kerana ia menghilangkan kewarasan akal sehingga pernah berlaku di zaman dahulu seorang lelaki yang mabuk bersuci dengan menggunakan air kencingnya sendiri lalu berdoa, “Wahai Tuhan, jadikanlah aku di kalangan hambamu yang bertaubat, bersuci dan beramal soleh!” Adapun manfaat yang ada pada arak ialah orang jahiliyah menjual arak lalu mendapat untung yang besar melalui penjualan tersebut. Kemudian ada juga yang berpendapat bahawa arak dapat menghadamkan makanan, menguatkan badan yang lemah, menghasilkan semangat yang kuat kepada yang takut dan pengecut serta membuatkan seorang yang bakhil menjadi pemurah.”

Setelah itu, Allah s.w.t. mewahyukan pula kepada Rasulullah s.a.w. menerusi firman-Nya di dalam surah Al-Ma’idah, ayat ke 90-91, yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya meminum khamar, berjudi, berkorban untuk berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keuntungan. Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran meminum khamar dan berjudi itu dan menghalangikamu dari mengingati Allah dan solat, maka berhentilah kamu dari mengerjakan perbuatan itu.”

Rasulullah s.a.w. pernah didatangi oleh beberapa orang Arab jahiliah yang baru memeluk Islam dan cuba mempengaruhi Baginda dengan mengatakan arak boleh menjadi penawar dan ubat untuk seseorang.

Rasulullah s.a.w. segera menyanggah anggapan itu dengan menafikannya dengan sabdanya: “Ia bukan ubat, bahkan sebenarnya adalah punca kepada segala penyakit.” (Riwayat Muslim)

Terdapat banyak lagi hadis-hadis Nabi s.a.w. yang menunjukkan keburukan arak dan pengharamannya, seperti hadis yang bermaksud:

“Janganlah kamu meminum arak kerana sesungguhnya ia adalah kunci kepada segala kejahatan.” (Riwayat Ibn Majah) “Arak adalah ibu segala kekejian dan sebesar-besar dosa. Sesiapa yang meminumnya, dia akan melakukan perbuatan keji dengan ibu dan makciknya (menodainya).” (Riwayat Ad-Daruqutni)

“Sesiapa yang minum arak di dunia kemudian tidak bertaubat, maka dia diharamkan daripada meminumnya di akhirat.” (Riwayat Al-Bukhari)

“Apa sahaja yang banyaknya memabukkan, adalah haram, maka yang sedikit pun menjadi haram.” (Riwayat Abu Daud)

“Sesiapa yang meminum arak, maka Allah tidak akan menerima solatnya selama 40 hari. Jika dia bertaubat, maka Allah akan menerima taubatnya. Jika dia mengulanginya, Allah tidak akan menerima solatnya selama 40 hari tetapi jika dia bertaubat, Allah terima taubatnya. Tetapi jika dia melakukannya kali keempat, maka Allah tidak akan menerima solatnya dan tidak akan menerima taubatnya serta akan diberi minuman dari sungai di neraka.” (Riwayat At-Tirmizi)

Rasulullah s.a.w. melaknat sepuluh golongan yang berkaitan dengan arak iaitu, “Yang memerahnya, yang minta diperahkannya, yang meminumnya, yang membawanya dan minta dibawa kepadanya, yang menuangkannya, yang menjualnya, yang makan harganya, yang membelinya dan yang minta dibelikan.” (Riwayat At-Tirmizi)

Begitu serius isu peminum arak, sehingga mereka yang ditangkap meminumnya layak menerima hukuman.

Diriwayatkan dari Ali bin Abi Talib bahawa Rasulullah s.a.w. telah menyebat orang yang minum arak sebanyak 40 kali sebatan dan Abu Bakar telah menyebat sebanyak 40 kali sebatan juga, dan Umar menyebat sebanyak 80 kali sebatan.

Menurut kajian saintifik yang dilakukan hari ini, dikatakan terdapat beberapa manfaat kesihatan pada arak, seperti menguatkan minda, tulang, menyihatkan jantung dan mengurangkan serangan penyakit dimensia.

Tetapi keburukannya pula melebihi kebaikannya seperti mengakibatkan radang hati, jantung dan saraf, meningkatkan risiko penyakit kanser, merbahaya bagi bayi di dalam kandungan, masalah tidur, mengakibatkan kelupaan, strok, mereputkan tulang, tubuh badan mengecut kerana tidak selera makan dan banyak lagi.

Bahkan, sesetengah pengkaji berpendapat arak pada hari ini layak diklasifikasikan sebagai dadah malahan lebih buruk dari dadah.

Kesan arak yang diambil sedikit ialah ia mampu merubah emosi seseorang menjadi gembira dan jika diambil secara banyak pula akan memberi kemudaratan yang serius.

Ini menunjukkan bahawa arak mampu merubah perasaan dan pemikiran seseorang secara tidak normal.

Walaupun terdapat kebaikan pada arak seperti menimbulkan rasa gembira dan menghilangkan duka, ia tidak bermaksud seseorang boleh memilih untuk mengambilnya kerana terdapat banyak keburukannya.

Dr Randy Martin seorang pakar jantung di Amerika berkata di dalam rancangan Cardiosmart News, “bagi sesiapa yang tidak pernah meminum arak, maka janganlah mula minum untuk mendapatkan kebaikan arak kerana ia boleh membawa kepada tabiat minum yang berlebihan di mana akhirnya menjadi mudarat kepada diri seseorang.”

Menurut lelaman www.drugfreeworld.org, beberapa fakta tentang keburukan arak telah direkodkan di Amerika, antaranya;

Remaja yang minum arak mempunyai risiko 7.5 kali ganda untuk mengambil dadah.

Kematian akibat kemalangan jalanraya di Amerika pada tahun 2007 sahaja sebanyak 12.998 kes. Ini adalah tiga kali ganda kematian yang berlaku pada askar-askar yang berperang di Iraq.

Sebanyak 1.4 million penangkapan dibuat setiap tahun di Amerika atas kesalahan memandu dalam keadaan mabuk.

Pada tahun 2005-2006, sebanyak 187,640 pesakit dimasukkan ke hospital di England kerana masalah kesihatan yang berkaitan dengan alkohol.

Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) berkata bahawa kecederaan disebabkan arak merupakan satu keprihatinan bagi kesihatan masyarakat awam seperti kecederaan kerana kemalangan jalan raya, kebakaran, keracunan, jatuh dan lemas.

Bahaya arak pula menjangkau tiga kali ganda berbanding dengan bebanan penyakit biasa akibat meminum arak.

Menurutnya lagi, satu laporan telah dibuat pada tahun 2004 bahawa minuman arak telah terbukti mengakibatkan kemalangan jalan raya, kes jenayah rogol dan masalah kesihatan mental di Singapura.

Persatuan Kesihatan Awam Canada pula berkata, “walaupun terdapat beberapa khasiat pada arak, ia tidak boleh dijadikan sebagai bahan ukuran untuk menjaga kesihatan kerana terdapat banyak lagi bahan-bahan makanan lain yang menjamin kesihatan serta bersenam.”

Kesimpulannya, terdapat banyak kajian yang menunjukkan kebenaran Al-Quran mengenai keburukan arak yang melebihi kebaikannya.

Jelas di ini bahawa hikmah larangan Islam terhadap arak memberi keselamatan hidup yang menyeluruh bagi manusia.

Sejarah juga telah membuktikan bagaimana arak boleh memusnahkan maruah dan diri manusia.

Kes-kes rogol yang berlaku kebelakangan ini yang disiarkan di media membuktikan bahawa jenayah tersebut berlaku akibat kesan buruk dari minuman arak.

Jika arak dianggap lebih merbahaya dari dadah, golongan tegar yang dianggap ‘tahi arak’ patut mengambil langkah merawat ketagihan mereka sebelum terlambat.

Di Singapura misalnya, terdapat khidmat pemulihan ketagihan arak di Institut Kesihatan Mental (IMH) yang dinamakan sebagai National Addictions Management Service.

Selain dari masalah kesihatan, arak juga mengakibatkan pembaziran wang yang akhirnya merugikan diri sendiri.

*Berita Harian, 20 Disember 2013.