Soalan
Saya bersama kawan saya ke sebuah pusat makanan untuk makan tengah hari. Dia memilih untuk makan makanan vegetarian. Ketika memilih lauk, dia ternampak satu lauk yang dihidangkan dengan label ‘pork flavour’. Apabila beliau nampak label tersebut, terus beliau tinggalkan dan pergi ke gerai lain. Ketika kami berbual mengenai hal tersebut, terlintas di fikiran, adakah boleh dimakan lauk itu, kerana asasnya ia adalah vegetarian, tetapi ada perisa babi. Apa pandangan Islam mengenainya?
Jawapan
(Oleh Ustaz Mustazah Bahari)
Berkenaan dengan babi, telah jelas hukum memakannya adalah haram.Ini jelas disebut di dalam Al-Quran, surah Al-Ma’idah, ayat ke 3, yang bermaksud: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah..”
Ulama Islam juga telah bersepakat mengenai pengharamannya.
Dr. Ali Al-Qaradhaghi mengatakan bahawa makanan yang mengandungi ekstrak babi di dalamnya adalah haram secara mutlak. Ia juga merupakan fatwa yang dikeluarkan dari simposium fiqh dan perubatan di Kuwait pada tahun 1995.
Makanan vegetarian yang dibuat dengan bahan yang asli tanpa unsur daging di dalamnya adalah halal selagi mana ia disediakan dengan ciri-ciri yang halal seperti bahan-bahan perisanya juga halal.
Namun persoalan mengenai makanan vegetarian yang berperisa babi sama ada ia halal atau tidak, timbul kerana dua sebab;
a) bahan asli dalam makanan vegetarian lazimnya halal,
b) perisa babi itu tiada beza dengan yang asli.
Jika diambil sudut bahan asli yang tidak mengandungi bahan yang berasal dari binatang dan tidak dicampur dengan bahan-bahan lain yang haram seperti arak, maka ianya halal.
Perisa babi pula, jika diambil dari perisa tiruan yang memang tiada kaitan langsung dengan ekstrak daging babi, maka ia mungkin dibolehkan seperti minuman malta tanpa alkohol. Dikatakan rasanya sama hanya tidak mengandungi alkohol.
Tetapi hakikatnya, terdapat perisa babi yang diekstrak dari bahan daging babi untuk dijadikan perisa bagi makanan vegetarian seperti yang didedahkan sendiri oleh syarikat pemakanan di Amerika Syarikat. 101
Jika ini benar berlaku dan wujud di dalam pasaran pemakanan vegetarian, maka adalah lebih baik hindarkan makanan itu. Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Hindarilah kamu dari apa sahaja yang meragukan kepada apa yang tidak meragukan.”
Jika benar secara jelas bahawa makanan vegetarian yang berperisa babi itu menggunakan perisa asli dari bahan daging babi, maka jelas ia haram dimakan.
Sebenarnya, tiada manfaat pun jika ingin mencuba perisa babi kerana banyak lagi makanan yang sihat serta sedap yang boleh dinikmati.