Soalan
Saya mendapati ada di kalangan ahli masyarakat Islam yang masih ragu-ragu untuk minum air Newater. Ada yang mempertikaikan kesuciannya. Ada pula yang mempersendakannya. Saya berharap ustaz dapat memberi pandangan dalam persoalan ini?
Jawapan
(Oleh Ustaz Haniff Hassan)
Kesucian air Newater untuk dijadikan bahan makanan, minuman dan bersuci telah difatwakan oleh Jawatankuasa Fatwa MUIS. Dalam menghasilkan fatwa berkaitan Newater, Jawatankuasa Fatwa MUIS telah menerangkan dalil-dalil, hujah, prinsip di sebalik fatwa yang dibuat dan rujukan-rujukannya. Selain itu, fatwa berkenaan juga sejajar dengan fatwa yang dibuat oleh jawatankuasa fatwa dari institusi fatwa lain bagi mengukuhkannya.
Mana-mana pihak yang mempertikaikan kesucian Newater dianggap menyalahi fatwa yang telah dikeluarkan. Pihak berkenaan sebenarnya bertanggungjawab untuk mengemukakan hujah mengapa kesucian Newater masih diragui dan di mana kesilapan yang terdapat dalam fatwa yang telah dibuat.
Pihak yang hanya menimbulkan persoalan dan menyebarkan keraguan dalam masyarakat tanpa hujah, dianggap tidak bertanggungjawab kerana akan menimbulkan keresahan dalam masyarakat dan mencabar kewibawaan institusi penting umat Islam – institusi fatwa.
Adalah difahami, jika ada sebahagian masyarakat yang masih tidak selesa untuk minum air Newater kerana membayangkan asal usul air berkenaan. Namun janganlah kerana rasa tidak selesa menyebabkan kita mempertikaikan kesuciannya secara tidak rasional. Halangan psikologi berkenaan mestilah dibezakan dengan aspek hukum dan jangan dicampur-adukkan antara keduanya.
Rasa tidak selesa adalah wajar kerana sememangnya manusia sentiasa rasa kekok dengan perkara yang baru dan belum terbiasa. Maka sebab itulah, Newater diperkenalkan sekarang ini kepada orang ramai sebelum ia disalurkan ke kolam-kolam air bagi membolehkan orang ramai untuk menyesuaikan diri dan bersedia secara psikologi. Jika seseorang itu memilih untuk tidak minum air Newater, maka itu adalah hak dan pilihan individu tetapi janganlah mengambil sikap yang meremeh atau mempersendakannya apatah lagi mempertikaikan fatwa tanpa hujah.
Masyarakat Islam Singapura sepatutnya bersyukur dengan penemuan teknologi yang menghasilkan Newater kerana masalah bekalan air adalah masalah semua rakyat Singapura. Apa jua masalah yang timbul dari bekalan air Singapura, ia pasti akan menjejas masyarakat Islam juga. Apa jua langkah yang dapat menjamin bekalan air yang stabil bagi Singapura, ia pasti juga akan bermanfaat untuk masyarakat Islam Singapura.
Islam tidak menghalang umatnya untuk mengambil manfaat dari teknologi yang dihasilkan oleh umat lain. Rasulullah s.a.w. menggali parit dalam peperangan Ahzab dengan meniru teknik perang orang Parsi. Beliau juga meniru penggunaan cap mohor oleh raja-raja semasa itu dalam surat-surat beliau kepada pembesar-pembesar. Khulafa’ Rasyidin banyak mengambil sistem-sistem pentadbiran dari Rom dan Parsi bagi mengurus umat Islam di zaman mereka.
Islam adalah agama ilmu. Di dalam Al-Quran juga terdapat pelbagai ayat yang bercakap mengenai teknologi seperti pembuatan kapal dan besi. Atas kesedaran sedemikian, ulama dahulu pernah terkehadapan dalam menghasilkan pelbagai penemuan sains dan teknologi.
Di lihat pada ajaran Islam, kita akan dapati betapa air mempunyai peranan yang besar bukan hanya pada aspek kehidupan tetapi pada aspek ibadah. Umat Islam memerlukan air untuk berwudhu’, mandi hadas, istinjak dan membersihkan najis dari pakaian dan tempat. Olehitu, apabila dihadapkan dengan masalah kekurangan air, sepatutnya umat Islam terkehadapan dalam usaha untuk mengatasinya kerana ia bukan hanya menyentuh soal survival tetapi soal ibadah dia dengan Allah s.w.t. Jika kita tidak mampu melakukannya, janganlah pula kita meremeh atau memperolokkannya. Perbuatan seperti itu hanya akan menunjukkan kejahilan diri dan menimbulkan fitnah terhadap agama Islam dan masyarakat Islam umumnya, khususnya di mata golongan bukan Islam.
Penemuan teknologi Newater wajar disokong oleh semua pihak kerana ia adalah satu penemuan yang bukan hanya penting bagi rakyat tetapi strategik dari segi ekonomi dan politik. Para ilmuwan meramalkan bahawa dunia akan menghadapi masalah atau krisis bekalan air di masa akan datang disebabkan pencemaran alam dan perubahan persekitaran dunia. Oleh itu, usaha kitar semula akan menjadi satu alternatif yang baik bagi mengatasi masalah ini. Siapa yang menguasai teknologi itu hari ini, pastinya akan mempunyai kelebihan di masa hadapan kerana dapat mengekspot teknologi berkenaan atau kemahiran dalam bidang tersebut. Ini pastinya akan membawa kemakmuran kepada Singapura yang juga merupakan kemakmuran kepada masyarakat Islam setempat.
Adakah kita berupaya untuk mengemukakan satu alternatif yang lebih baik dari Newater?
*Berita Minggu, 24 November 2002.