Loading...

Adakah “no pork, no lard” bermaksud halal?*

Soalan

Beberapa kedai dan pembekal makanan ada menayangkan label “no pork, no lard”.

Apakah Muslim boleh melanggani kedai ini?

Jawapan

(Oleh Ustaz Haniff Hassan)

Makan makanan halal adalah wajib ke atas semua Muslim berlandaskan firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Baqarah, ayat ke 168 dan ke 172.

Namun para ulama berbeza pendapat tentang jenis-jenis benda yang dianggap halal dan haram dimakan.

Sebagai contoh sebahagian ulama tidak mengharamkan binatang dua alam (air dan darat) dan sebahagian ulama pula hanya menghalalkan ikan sahaja dari makanan laut, berbeza dengan pegangan mazhab Asy-Syafi‘i di rantau ini.

Oleh itu, terdapat ruang perbezaan yang luas dan keanjalan dalam soal pemakanan halal di sisi Islam, walaupun prinsipnya sama.

Namun dalam konteks Singapura dan kerana keterbatasan ruang, biarlah persoalan ini dibataskan hanya pada mazhab yang lazim di sini sahaja.

Berdasarkan kriteria makanan halal oleh Muis, yang dimaksudkan dengan makanan yang halal ialah makanan yang selain dari berikut:

• Babi dan segala bahagian tubuhnya.

• Anjing dan segala bahagian tubuhnya.

• Bangkai (binatang yang halal dimakan tapi mati tidak disembelih mengikut syarat sembelihan yang betul).

• Binatang yang bertaring seperti beruang, singa dan monyet.

• Burung pemangsa dan berkuku tajam seperti helang.

• Binatang yang dilarang agama membunuhnya seperti semut dan lebah.

• Binatang yang diperintahkan agama untuk membunuhnya seperti ular, jengking dan tikus.

• Binatang yang kotor dan menjijikkan seperti lalat dan kebanyakan serangga.

• Binatang yang hidup di dua alam seperti katak.

• Darah.

• Alkohol dan segala yang memabukkan.

• Najis.

• Tumbuhan-tumbuhan yang beracun atau boleh memudaratkan kesihatan.

Oleh itu, apa jua makanan yang isi kandungannya mengandungi bahan-bahan terlarang yang dinyatakan di atas dianggap tidak halal, atau dengan kata lain juga, adalah haram dimakan.

Cara mudah bagi kalangan awam untuk memastikan makanan halal ialah dengan melihat logo atau sijil halal yang dikeluarkan oleh MUIS atau institusi luar negara yang berwibawa.

Anda boleh minta bantuan dari bahagian halal MUIS jika terdapat kemusykilan tentang sijil atau logo halal dari institusi luar negara.

Perlulah dijelaskan bahawa apa jua makanan yang tidak memenuhi kriteria di atas tetap tidak halal walaupun penyedia, penjual, pengendali kedai atau tukang masaknya seorang Muslim.

Sebaliknya, makanan tetap halal jika memenuhi segala kriteria walaupun penyedia, penjual, pengendali kedai atau tukang masaknya seorang bukan Muslim.

Bagi makanan yang tidak mempunyai logo atau sijil halal, ada dua pilihan yang boleh dipertimbangkan.

[Pertama], boleh menganggap makanan itu halal setelah melakukan penilaian yang munasabah dengan membaca senarai kandungan atau pemerhatian tempat (site) dan tidak didapati pada zahirnya bukti yang menjadikan makanan itu haram.

Hal ini sesuai dengan kaedah fiqh yang diterima pakai, “asal sesuatu adalah halal kecuali ada bukti sebaliknya” yang berdasarkan hadis-hadis yang bermaksud:

• “Sesungguhnya Allah s.w.t. telah memfardukan beberapa fardhu, janganlah kamu menghilangkannya (iaitu janganlah kamu mempersia-siakannya dan meninggalkannya). Dia telah menentukan beberapa batasan, janganlah kamu melampauinya. Dia telah mengharamkan beberapa perkara, janganlah kamu mencabulinya dan Dia tidak menyatakan hukum tentang beberapa perkara, janganlah kamu cuba menyelidikinya.” (Riwayat Ad-Daraqutni)

• “Apa yang Allah telah halalkan dalam kitab-Nya, ia adalah halal. Apa yang Allah telah haramkan, ia adalah haram. Apa yang Dia berdiam diri mengenai satu perkara, ia adalah satu kemaafan (keringanan). Maka terimalah kemaafan (keringanan) dari Allah. Sesungguhnya Allah tidak akan selama-lamanya lupa. Rasulullah s.a.w. kemudian membaca, ‘Dan tidaklah Tuhan kamu itu lupa’.” (Riwayat Al-Hakim dan Al-Bazzar)

[Kedua], tinggalkan makanan itu atas dasar warak (berhati-hati) terutama jika ada perasaan tidak selesa atau was-was dalam diri sesuai dengan hadis yang bermaksud: “Tinggalkanlah apa yang meragukan kepada apa yang tidak meragukan.” (Riwayat At-Tirmizi)

Terutama jika terdapat banyak pilihan lain yang jelas halal dan tidak meragukan.

Ini adalah pilihan yang selamat, walaupun bukan sesuatu yang wajib dalam semua keadaan.

Ada pun kedai makanan yang menggantung papan notis “no pork, nolard”, berikut adalah beberapa nota yang perlu diketahui.

“No pork, no lard” bukan jaminan penuh bahawa makanan berkenaan adalah halal kerana kriteria halal bagi makanan sebagaimana yang dinyatakan di atas bukan hanya bergantung pada ketiadaan unsur-unsur babi dalamnya.

Makanan berkenaan boleh jadi tidak halal kerana daging yang digunakan bukan sembelihan yang sah di sisi Islam.

Ia juga boleh mengandungi bahan-bahan dari alkohol atau najis.

Yang lebih tepat ialah meletakkan makanan-makanan berstatus “no pork, no lard” ini sama seperti makanan-makanan yang tiada logo atau sijil halal yang dinyatakan di atas dan menggunakan prinsip yang sama untuk membuat keputusan sama ada makanan berkenaan boleh dimakan atau tidak.

Perlulah diingatkan bahawa Allah s.w.t. mencipta manusia penuh dengan kepelbagaian, baik dari segi ilmu, personaliti dan lain-lain.

Hal ini menyebabkan perbezaan, antara lain, pada tahap konservatisme.

Ada yang mempunyai konservatif yang tinggi dan ada pula yang rendah sehingga mencorakkan pilihan-pilihan dalam kehidupan, termasuklah dalam soal pilihan makanan.

Oleh sebab kepelbagaian tabi‘i manusia yang tabi‘i ini, kita dapati ada yang hanya selesa dengan makanan yang mempunyai logo atau sijil halal atau yang dikendalikan oleh orang Muslim sahaja dan ada pula yang lebih terbuka dan anjal.

Ada yang condong untuk berpegang pada prinsip warak dan selamat, dan ada pula yang berpada pada hukum asal sesuatu (halal) hingga jelas terbukti sebaliknya.

Ada yang ingin meneliti dengan mendalam sebelum memutuskan sesuatu makanan itu halal dan ada pula yang berpada pada penelitian zahir sahaja.

Apabila dimasukkan faktor perbezaan pendapat yang terdapat dalam mazhab-mazhab lain dalam soal pemakanan yang mana semakin ramai anak-anak muda yang condong padanya kerana penambahan ilmu mereka dan bertambahnya jumlah Muslim dari negara-negara lain di Singapura yang mempunyai budaya dan pegangan mazhab yang berbeza, pastilah gaya pemakanan halal menjadi semakin rencam dan pelbagai.

Dalam hal ini menangani kerencaman pendirian dalam soal memilih makanan halal juga menjadi semakin penting bagi mengelakkan salah faham yang boleh menimbulkan reaksi negatif yang tidak disukai agama.

Nasihat yang dapat dipertimbangkan ialah:

• Janganlah cepat menghukum haram atau salah mereka yang memilih makanan semata-mata kerana ia tiada sijil atau logo halal atau yang melanggan “no pork, no lard”, kecuali kita tahu dengan jelas dan berbukti bahawa makanan itu adalah haram.

• Perlulah difahami bahawa beban bukti ialah ke atas mereka yang menghukum makanan itu haram kerana asal sesuatu adalah halal.

• Bersifat warak adalah dianjurkan dan selamat tapi ia tidak boleh dipaksakan ke atas orang lain.

• Bertanya dan dapatkan penjelasan sebelum menegur atau menghukum kerana mungkin dia ada maklumat yang kita tidak ketahui atau dia ada pegangan hukum yang berbeza dengan kita.

• Jika kita tidak boleh atau tidak kuasa untuk bertanya dan meminta penjelasan dan tiada mempunyai bukti bahawa makanan itu haram, sebaiknya kita berbaik sangka dan menghormati pilihan orang berkenaan sebagaimana yang dianjurkan dalam surah Al-Hujurat, ayat ke 12.

• Kita boleh berkongsi pilihan yang lebih baik atau selamat atau pandangan kita terhadap pilihan makanan seseorang, tapi dengan cara yang berhikmah, tidak bersifat menghukum atau memaksa dan menyerahkan kepada yang berkenaan untuk menerima atau tidak.

• Jangan sekali-kali menyamakan orang yang memakan makanan yang tidak jelas status halal seperti memakan makanan yang jelas haram seperti babi atau arak kerana kedua-dua jenis ini tidak sama dari segi hakikat dan hukumnya.

*Berita Harian, 27 Oktober 2013.