Hukum wanita berkerjaya

Soalan

Adakah benar Islam melarang wanita yang berkeluarga dari bekerja? Jika dibenarkan, apakah yang perlu dilakukan dengan wang gaji yang diperolehi setiap bulan?

Jawapan

(Oleh Ustaz Mustazah Bahari)

Islam adalah agama yang adil dan memberi hak untuk mendapatkan keselesaan hidup secara adil kepada setiap manusia.

Dalam bidang pekerjaan, wanita layak untuk bekerja dan mendapatkan habuan untuk dirinya sama seperti lelaki. Tiada dalil yang jelas menunjukkan bahawa wanita dilarang dari keluar bekerja.

Malah jika ditinjau dari sudut sejarah, isteri Nabi s.a.w. yang pertama, merupakan seorang wanita yang berkerjaya sebagai ahli perniagaan yang berjaya. Nabi s.a.w. tidak pernah menyuruh beliau untuk berhenti dari melakukan tugas itu dan tidak pernah melarang mana-mana wanita dari melakukan pekerjaan untuk mencari nafkah bagi dirinya.

Umar bin Al-Khattab juga pernah melantik seorang wanita sebagai pegawai penyelia di pasar.

Hanya yang penting adalah meletakkan keutamaan di tempatnya yang sesuai. Setiap wanita perlu bertanya diri sendiri keperluannya untuk keluar bekerja, kerana tugas mencari nafkah terletak di atas bahu orang lelaki. Apatah lagi jika dia mempunyai anak yang perlu dijaga di rumah.

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Setiap di kalangan kamu adalah ketua, dan akan dipertanggungjawabkan di atas setiap yang berada di bawah penyeliaannya. Seorang ketua bagi kaumnya akan dipersoalkan akan kepimpinannya, seorang suami akan dipersoalkan mengenai keluarganya, seorang isteri adalah ketua bagi rumah suaminya dan akan dipertanggungjawabkan ke atasnya tentang urusan di dalam rumah dan anak-anak yang ada di dalamnya, seorang hamba bertanggungjawab ke atas harta tuannya, maka setiap kamu akan dipertanggungjawabkan.” (Riwayat Muslim)

Hukum asal bagi golongan wanita adalah mereka tidak dipertanggungjawabkan untuk mencari pekerjaan untuk mencukupkan nafkah. Bahkan golongan lelaki yang perlu berusaha untuk mendapatkan kecukupan nafkah bagi ahli keluarganya.

Namun, jika terdapat keadaan yang mendesak untuknya keluar bekerja bersama kaum lelaki seperti para isteri yang keluar bekerja untuk menampung kos kehidupan yang mendasar, maka itu tidak menjadi masalah. Malah usaha isteri tersebut patut dipuji kerana sama-sama berusaha untuk keluar dari lingkaran kesusahan.

Di samping bekerja kerana keperluan untuk mencukupkan perbelanjaan, terdapat juga wanita-wanita yang bekerja kerana keahlian atau kepakaran mereka diperlukan. Sebagai contoh, hal-hal yang berkaitan dengan isu wanita seperti bidang perbidanan, pengurusan jenazah wanita, menjual produk-produk khas untuk wanita dan lain-lain lagi dari pekerjaan yang memang khusus untuk wanita. Jika ini berlaku, maka wanita perlu ke hadapan untuk melakukan tugas-tugas tersebut.

Seterusnya tentang isu gaji yang diperolehi oleh pihak wanita atau isteri, ia tidak termasuk di dalam tanggungjawab mereka untuk memberi nafkah dari wang gaji tersebut. Apa yang dibelanjakan untuk keluarganya adalah satu bentuk ihsan daripadanya. Jika dia ingin menyimpan untuk dirinya sendiri, tiada siapa yang boleh memaksanya untuk membayar bil dan sebagainya, walaupun kelihatannya tidak elok. Dari sudut hak, wanita tidak bertanggungjawab untuk menyediakan nafkah bagi keluarganya walaupun gajinya jauh lebih besar dari gaji yang diperolehi suami.

Kewajipan mencari nafkah dan mencukupkan perbelanjaan keluarga terletak di atas bahu lelaki atau suami. Jika isteri dengan rela membantu meringankan beban keperluan hidup seharian, maka itu adalah kebaikan daripadanya. Jika tidak, suami tetap perlu berusaha untuk mendapatkan kecukupan nafkah bagi keluarganya.

Pihak suami juga dinasihatkan supaya jangan menyangka bahawa wang gaji isteri termasuk dalam kewajipan untuk dikeluarkan bagi perbelanjaan rumah tangga, walaupun gaji isteri lebih besar dari suami.

Walau apa pun, adalah baik bagi suami dan isteri berbincang mengenai perkara ini agar jelas kedudukan dan keperluan masing-masing. Setiap keluarga mempunyai sebab-sebab dan keperluan yang tertentu yang berbeza dengan keluarga yang lain. Apa yang diharapkan dan yang paling penting ialah, rumah tangga yang dibina kekal baik dan sejahtera, daripada suami, isteri dan anak-anak, walaupun mereka berdua bekerja.