Soalan
Saya sering dengar orang-orang dulu sebut, ‘anak perempuan ni susah sikit nak jaga banding anak lelaki…’ Saya juga ada terbaca kes-kes di negara Arab yang masih mengamalkan honour killing. Apa yang saya faham dari percakapan orang dan keadaan yang berlaku, seolah-olah memberi gambaran bahawa anak perempuan dianggap sebagai golongan yang lemah, jijik, jahat dan membawa kecelakaan kepada keluarga dan masyarakat. Adakah benar anak perempuan membawa kecelakaan kepada keluarga dan masyarakat? Adakah benar Islam membeza-bezakan kedudukan wanita dari lelaki?
Jawapan
(Oleh Ustaz Mustazah Bahari)
Islam adalah agama yang adil lagi saksama. Setiap manusia yang hidup, sama ada lelaki ataupun wanita mempunyai hak yang tersendiri untuk melangsungkan kehidupan di dunia ini. Dari segala sudut, Islam sentiasa memberi dan menjulang hak setiap individu yang berusaha untuk mencapai kejayaan duniawi mahupun ukhrawi.
Firman Allah s.w.t. di dalam surah An-Nahl, ayat ke 97, yang bermaksud: “Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.”
Ayat ini cukup jelas memberi kefahaman bahawa lelaki dan perempuan mendapat haknya dari segi pahala ketika beramal. Jika sudut ibadah diberi jaminan dari Allah untuk mendapatkan bahagian masing-masing, maka hal keduniaan juga tidak dinafikan.
Jika dirujuk kepada sejarah lampau, golongan wanita memang menjadi bahan yang dibenci dan dipergunakan sesuka hati. Firman Allah s.w.t. di dalam surah An-Nahl, ayat ke 58-59, yang bermaksud: “Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang dari mereka bahawa ia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang ia menahan perasaan marahnya dalam hati. Ia bersembunyi dari orang ramai kerana (merasa malu disebabkan) berita buruk yang disampaikan kepadanya (tentang ia beroleh anak perempuan; sambil ia berfikir): adakah ia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina, atau ia akan menanamnya hidup-hidup dalam tanah? Ketahuilah! Sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu.”
Itulah yang berlaku di zaman Arab jahiliyah dahulu. Anak perempuan dianggap membawa kecelakaan kepada ahli keluarga dan mengaibkan.
Bukan setakat Arab jahiliyah, malah di kalangan orang Yahudi dan Nasrani juga menindas golongan wanita. Menurut sebuah riwayat hadis di dalam Sahih Muslim, orang Yahudi tidak akan makan bersama dan tidak akan bergaul dengan ahli keluarga wanita mereka yang sedang haid. Nasrani pula tidak menghiraukan keadaan isteri-isteri yang sedang haid sehingga mereka meneruskan juga persetubuhan dalam keadaan haid! Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Lakukanlah apa sahaja (bersama isteri kamu) melainkan hubungan seksual.” (Riwayat Muslim)
Imam Al-Qurtubi berkata, “Yahudi dan Majusi menyisihkan wanita haid, Nasrani pula meneruskan persetubuhan walau dalam keadaan haid, lalu Allah mengarahkan agar berlaku adil di antara kedua kelakuan ini.”
Ayat dan hadis ini sebenarnya ingin menunjukkan bahawa Islam yang mengambil jalan yang adil terhadap wanita yang haid. Islam tidak membenarkan wanita disisihkan dan Islam juga melarang persetubuhan ketika haid demi untuk kebaikan dan kesihatan wanita.
Memang tidak dinafikan bahawa masih lagi terdapat penindasan yang dilakukan terhadap wanita zaman ini termasuk di negara-negara Islam di Timur Tengah. Hal seperti ini berlaku kerana beberapa faktor antara lain yang paling ketara ialah soal adat kebiasaan dan budaya setempat yang masih lagi tidak berubah.
Honour killing atau pembunuhan bermaruah yang berlaku di sesetengah kawasan di Timur Tengah berlatarbelakangkan budaya walaupun ia jelas bertentangan dengan nilai-nilai Islam yang sempurna. Seorang ayah atau wali kepada anggota keluarga perempuan tidak diberikan kuasa mutlak untuk membunuh anak atau ahli keluarga perempuan yang membuat malu ke atas keluarga kerana melakukan perhubungan terlarang dengan lelaki tanpa nikah. Malah Islam meletakkan undang-undang jenayah yang khusus untuk diikuti dan dilaksanakan.
Ini semua merupakan paparan negatif yang dilemparkan terhadap wanita.
Pada sudut positif pula, terdapat tokoh-tokoh wanita terulung dalam sejarah yang membuktikan bahawa wanita juga ada golongan yang wajar diberi penghormatan. Sebagai contoh, di dalam Al-Quran, terdapat kisah Balqis yang memerintah negara Saba’, kisah Maryam yang mulia, kisah isteri Fir‘aun yang disayangi dan dihormati sendiri oleh Fir‘aun ketika dia bersetuju untuk menjadikan Musa sebagai anak angkat, kesan dari saranan isterinya. Seterusnya di dalam era kerasulan Nabi s.a.w., isteri pertamanya Khadijah binte Khuwailid merupakan seorang wanita bangsawan dan hartawan yang amat disegani.
Kisah-kisah seperti ini yang disebutkan di dalam Al-Quran dan periwayatan hadis yang sahih cukup membuktikan bahawa Islam mengajak manusia kepada keadilan dan kesaksamaan. Jika ada lelaki yang berjaya, maka ada juga wanita yang turut sama boleh berjaya. Walaupun terdapat halangan dan sekatan bagi beberapa hukum agama terhadap wanita, itu tidak mengurangkan nilai mereka di sisi syariat dan juga di sisi manusia lain. Misalnya, apabila Allah s.w.t. melarang wanita dari solat dan puasa ketika haid, maka itu bukanlah kekurangan malah satu kelebihan untuk mereka dari sudut melapangkan diri dari urusan yang membebankan. Seterusnya hal-hal lain yang kelihatan secara zahir tidak memberi keseimbangan kepada hak wanita seperti isu poligami dan pewarisan harta tidak sepatutnya menjadi ukuran bahawa wanita tetap lemah dan di bawah dan Islam sememangnya tidak memberi hak yang wajar kepada mereka. Menerusi ilmu dan ulama, segala pertikaian mengenai hak dan kemuliaan wanita telah pun dihuraikan.
Cabaran yang masih lagi dihadapi oleh masyarakat dunia ialah tanggapan negatif terhadap wanita. Ditambahkan lagi peranan media yang membantu melemahkan kedudukan wanita serta budaya-budaya yang masih sukar dilepaskan oleh sebahagian kaum di dunia ini. Kejadian-kejadian yang berlaku di beberapa tempat di dunia yang memaparkan kelemahan dan penindasan terhadap wanita tidak seharusnya menjadi ukuran yang pasti bagi semua wanita di seluruh dunia. Apabila didapati di sesuatu tempat, golongan wanita mereka tidak boleh keluar bekerjadan tidak boleh memandu kereta sebagai contoh, ia tidak wajar menggambarkan wanita-wanita memang ditindas disebabkan oleh ajaran Islam. Hakikatnya, ia kembali kepada isu adat dan budaya yang tidak biasa di kalangan mereka di sana untuk menggalakkan atau memberi keizinan bagi wanita bekerjaya dan bersosial. Jika ditanya secara khusus mengenai adat itu, mereka mengatakan bahawa sekatan yang dilakukan bukan untuk menafikan hak kebebasan wanita, tetapi sebenarnya memuliakan wanita kerana kemuliaan dan kesucian mereka terletak di dalam rumah, bukan untuk paparan dunia luar. Ini juga satu sudut pandangan yang perlu dihargai kerana tujuannya bukan untuk menyekat dengan niat menindas, tetapi untuk memelihara kehormatan dan kesucian wanita. Malah terdapat wanita-wanita yang menghargai cara kehidupan begitu.
Apa pun yang diperkatakan tentang Islam dan wanita, ia perlu dilihat secara adil, menurut tempat dan situasi.
Nabi s.a.w. sendiri memberi jaminan syafaat kepada ibu dan ayah yang dikurniakan anak perempuan di dalam hadis yang bermaksud: “Sesiapa yang ada dua orang saudara perempuan atau dua orang anak perempuan lalu dia melayan mereka dengan baik nescaya dia akan bersamaku di dalam syurga sebegini (sambil menunjukkan dua jarinya.)” (Riwayat Ibn Abi Syaibah)
Imam Ibn Al-Iraqi di dalam kitab Tarh at-Tathrib berkata, “Hadis ini merujuk kepada ramai anak ataupun sedikit dan ia termasuk juga bagi sesiapa yang mempunyai seorang anak perempuan..”
Di dalam hadis yang lain, Nabi s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang mempunyai dua atau tiga anak perempuan atau dua saudara perempuan atau tiga lalu dia berbuat baik kepada mereka sambil bertaqwa kepadaAllah, nescaya baginya syurga.” (Riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi)
Hakikatnya, soal cara hidup dan tanggapan manusia terhadapnya adalah subjektif. Selagi mana ia tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip agama dan nilai-nilai peradaban manusia, maka ia sesuatu yang berhak diteruskan kerana Islam adalah agama yang mengiktiraf hak-hak manusia yang adil dan sesuai bagi mereka di mana sahaja mereka berada.