Soalan
Apakah hukum memberi sejambak bunga bersama hamper ketika menziarahi teman saya yang sedang dirawat di hospital? Saya pernah terbaca mengenai amalan memberi hadiah berupa bunga adalah perbuatan orang bukan Islam. Adakah saya berdosa jika saya melakukan demikian?
Jawapan
(Oleh Ustaz Mustazah Bahari)
Menziarahi seorang yang sakit merupakan amalan yang amat digalakkan di dalam Islam. Besarnya nilai amalan ini sehingga terdapat beberapa ulama menganggapnya sebagai wajib seperti Imam Al-Bukhari. Terdapat banyak hadis yang menyebut tentang perintah dan kelebihannya;
• “Hak seorang Muslim terhadap Muslim yang lain ada lima; menjawab salam, mendoakan saudaranya yang bersin, menghadiri undangan, menziarahi yang sakit dan mengusung jenazah ke perkuburannya.” (Riwayat Muslim)
• “Seorang Muslim apabila menziarahi saudaranya yang sakit, sentiasa dia berada di dalam keadaan beruntung (seperti menuai buahan di syurga) selama dia menziarahinya.” (Riwayat Muslim)
• “Sesiapa yang menziarahi saudaranya atau sesiapa yang sedang sakit kerana Allah, maka akan diseru kepadanya, “Beruntunglah kamu dan beruntunglah langkah kakimu, dan telah disediakan tempat dudukmu di syurga.” (Riwayat At-Tirmizi)
• “Tiada seorang Muslim pun yang menziarahi saudaranya yang sakit pada waktu pagi, nescaya tujuh puluh ribu malaikat akan mendoakan-nya sehingga petang, dan jika dia menziarahi waktu petang, tujuh puluh ribu malaikat akan mendoakannya sehingga waktu pagi, dan baginya tuaian yang baik di syurga.” (Riwayat Ahmad dan At-Tirmizi).
Memberi hadiah berbentuk hamper atau bakul kecil berisi buah-buahan dan bunga merupakan satu kebiasaan bagi masyarakat setempat apabila menziarahi orang yang sedang sakit. Memberi hadiah adalah satu amalan yang amat digalakkan juga di dalam Islam. Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “(Amalkan budaya) saling memberi hadiah sesama kamu, nescaya kamu akan berkasih sayang.” (Riwayat Malik dan Al-Bukhari di dalam al-Adab al-Mufrad)
Membawa buah tangan atau hadiah ketika menziarahi orang sakit bukanlah satu syarat yang menyempurnakan amalan ziarah. Ia adalah satu tambah nilai untuk mendapatkan ganjaran yang lebih.
Justeru membawa hadiah sambil menziarahi pesakit dianggap sebagai kebaikan yang berganda kerana melakukan dua perkara baik dalam satu masa.
Persoalan memberi bunga yang dianggap sebagai mengikuti perbuatan orang bukan Islam adalah sesuatu yang perlu kepada bukti yang jelas mengenainya. Adakah benar cara memberi bunga kepada pesakit merupakan amalan orang bukan Islam yang mengandungi anasir ibadah dan termasuk dalam urusan akidah? Adakah dengan memberi sejambak bunga, nilai keislaman dan keimanan hilang dari diri seorang Muslim?
Mengaitkan sesuatu perbuatan orang bukan Islam secara total dengan urusan akidah, ibadah dan nilai-nilai Islam yang lain merupakan satu tindakan yang melulu. Islam tidak menghalang umatnya untuk mengamalkan sesuatu yang baik dalam urusan hidup seharian yang tiada kaitan dengan akidah dan ibadah tertentu. Sebagaimana Nabi s.a.w. pernah bersabda kepada sahabatnya mengenai urusan pertanian misalnya: “Kamu lebih mengetahui urusan hidup kamu.” Isu meletakkan harga barang juga dibiarkan oleh Nabi s.a.w. kepada para peniaga untuk menetapkan harga yang sesuai dan adil. Nilai mata wang dinar dan dirham yang digunakan di zaman Nabi s.a.w. juga bukan dimulakan oleh umat Islam.
Hakikatnya, tidak semua perbuatan orang bukan Islam jelas dan nyata keburukannya sehingga umat Islam langsung tidak dibenarkan mengikutinya. Hanya yang pasti tidak dibenarkan menuruti mereka dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan akidah dan ibadah. Selain itu, maka ia adalah terbuka untuk semua lakukan selagi ia ada manfaatnya.
Islam bukan agama sempit atau eksklusif sehingga menafikan kebaikan-kebaikan yang ada pada sesuatu perbuatan walaupun ia dimulakan oleh orang bukan Islam.
Menurut pakar psikologi di The State University of New Jersey, Professor Jeannette Haviland-Jones di dalam kajiannya mengenai kesan bunga segar terhadap manusia ialah;
• Memberi kesan segera untuk rasa gembira dan bahagia.
• Merubah perasaan orang yang sedang kecewa, gelisah, tertekan kepada ketenangan dan kepuasan.
• Mengukuhkan hubungan antara keluarga dan sahabat handai.
Kajian ini jelas menunjukkan bahawa kesan yang dibawa oleh bunga mempunyai aura atau kesan yang positif. Islam sama sekali tidak menghalang apa jua bahan yang baik lagi halal untuk digunakan bagi kepentingan dan kebaikan manusia.