Isu talkin jenazah

Soalan

Apakah yang dimaksudkan dengan talkin ke atas mayat? Adakah namanya di“bin”kan kepada ibunya?

Jawapan

(Oleh Ustaz Mustazah Bahari)

Isu talkin ke atas mayat mempunyai pelbagai pandangan di kalangan ulama. Ia merujuk kepada sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Ucapkanlah LaIlaha illallah kepada mayat-mayat kamu.” (Riwayat Muslim)

Daripada hadis ini, ulama berbeza pandangan mengenai maksud mauta (mayat-mayat) tersebut. Ada yang mengatakan maksudnya ialah orang yang sedang nazak kerana orang yang telah mati tidak dapat melafazkan kalimah tersebut dan jika dia mampu sekalipun ia tetap tidak memberi sebarang manfaat kerana amalan sesudah mati tidak diterima lagi.

Maka membacakan kalimah tauhid kepada orang yang sedang nazak merupakan satu usaha dari orang yang hadir untuk membantunya dapat mengucapkan kalimah suci buat kali terakhir, berpandukan hadis Nabis.a.w. yang bermaksud: “Sesiapa yang mengucapkan La Ilaha illallah sebagai ucapan terakhirnya (sebelum meninggal) maka dia masuk syurga.”

Dari hadis yang disebutkan tadi, dapat difahami bahawa perbuatan mengucapkan kalimah syahadah kepada orang yang sedang nazak dinamakan sebagai talqin sebelum kematian.

Adapun talkin selepas kematian, maka terdapat perbezaan pandangan mengenai hukumnya.

Imam Ibn Taimiyah di dalam fatwanya berkata, “Talkin ke atas mayat tidak wajib secara ijma‘. Ia tidak pernah dilakukan di zaman Nabi s.a.w. dan juga para Khulafa’ Rasyidin. Hanya terdapat khabar dari beberapa sahabat Nabi s.a.w. seperti Abu Umamah dan Watsilah bin Al-Asqa‘, serta para imam seperti Ahmad dan anak muridnya serta golongan Syafi‘iyah yang melakukannya. Ada juga di kalangan ulama yang tidak menyukainya dan menganggapnya bid‘ah. Maka perbicaraan hukum talkin itu sendiri ada tiga;

i) mustahab (digalakkan)

ii) makruh

iii) harus, dan ini adalah pendapat paling sederhana.”

Manakala isu memanggil nama mayat dengan di“bin”kan kepadaibunya berlandaskan hadis Abu Umamah Al-Bahili yang bermaksud:“Apabila aku mati nanti, lakukan padaku sepertimana yang disuruh oleh Rasulullah agar dilakukan kepada mayat, Rasulullah telah memerintah kita dengan sabda Baginda: “ Apabila matinya seorang daripada kalanganmu, maka tahanlah dan berdirilah seorang di kalangan kamu semua pada bahagian kepala dikuburnya kemudian katakan, “Wahai si fulan anak si fulanah, orang itu mendengarnya tetapi dia tidak akan menjawab, kemudian katakan, wahai fulan anak fulanah maka dia duduk, kemudian katakan wahai fulan anak fulanah maka dia berkata semoga Allah merahmati kamu tetapi kamu semua tidak merasai (apa yang telah berlaku pada si mayat), maka hendaklah dikatakan: Ingatlah apa yang telah menyebabkan kamu dilahirkan ke dunia iaitu kalimah syahadah, tiada Tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu hamba-Nya dan Rasul-Nya dan engkau telah meredhai Allah sebagai Tuhanmu dan Islam itu agamamu dan Muhammad itu Nabimu dan Al-Quran itu petunjukmu. Maka malaikat Mungkar dan Nakir akan mengambil tangannya lantas berkata: “Ayuh bersama kami bawakan kepada siapa yang telah ditalkinkan.”

Abu Umamah bertanya kepada Rasulullah wahai Rasulullah, bagai-mana sekiranya tidak diketahui nama ibunya? Rasulullah s.a.w. menjawab “Maka hendaklah dinasabkan kepada ibu manusia iaitu Hawwa dengan mengatakan “wahai si fulan anak Hawwa.” (Riwayat At-Tabrani di dalam kitabnya Mu‘jam as-Saghir wa al-Kabir)

Kesimpulannya, perbezaan pendapat ini berpunca dari berbagai dalil dan nas yang dikemukakan. Jika dirujuk kepada amalan talkin itu sendiri, ia tidak melibatkan sesuatu yang tidak elok. Sekalipun benar pandangan yang mengatakan bahawa bacaan talkin itu tidak mendatangkan faedah kepada si mati, namun ia boleh dimanfaatkan oleh mereka yang hadir menyaksikan pengebumian tersebut kerana ia memberi peringatan untuk bersiap sedia menghadapi saat yang pasti berlaku kepada setiap insan.

Ungkapan bid‘ah perlulah dielakkan kerana ia adalah urusan agama yang dikendalikan oleh para ulama dan mereka tidak mudah menghukum sesuatu perkara yang asing dalam agama sebagai bid‘ah sehingga mereka mengkaji dengan lebih mendalam terlebih dahulu. Ia bukanlah bidang golongan awam untuk mudah mengungkapkannya, apatah lagi jika digunakan untuk menyalahkan pihak lain.

Bagi mereka yang cenderung kepada amalan talkin, jangan pula menuduh dan melabel teman-teman yang tidak mengamalkan talkin yang biasa dilakukan, kerana ini adalah isu agama yang diperselisihkan.