Hukum belajar dari Internet*

Soalan

Tekonologi moden hari ini menyediakan banyak kemudahan, termasuk kemudahan menyediakan maklumat-maklumat berunsur agama. Adakah saya boleh dan memadai bagi saya belajar agama menerusi ceramah atau kursus di alam maya menerusi saluran Youtube misalnya dan lelaman yang lain?

Jawapan

(Oleh Ustaz Mustazah Bahari)

Dari sudut sejarah, Islam sudah memperkenalkan sistem pengambilan ilmu atau pembelajaran dari guru sejak awal lagi.

Pada zaman Rasulullah s.a.w., ia telah dilakukan seperti di rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam.

Ketika itu, Rasulullah s.a.w. mengajar para sahabat tentang risalah Islam secara rahsia.

Setelah itu, sistem pembelajaran Islam berkembang ke masjid ketika Rasulullah s.a.w. berhijrah ke Madinah.

Para pemimpin di zaman kerajaan Umawiyah dan Abbasiyah juga menggalakkan pengajian ilmu sehingga mereka mengundang para ulama untuk menyampaikan ilmu di istana.

Tiada khilaf antara para ulama tentang perlunya belajar atau menuntut ilmu daripada guru, sehingga ada di antara mereka yang berkata: “Sesiapa yang masuk belajar seorang diri, dia akan keluar daripadanya seorang diri.” Mereka juga berkata: “Sesiapa yang berguru dengan kitab, kesilapannya akan melebihi kebenarannya.”

Namun, dalam era teknologi yang serba canggih hari ini, banyak dipersoalkan tentang hukum belajar atau mendapat maklumat melalui Internet seperti Youtube.

Sebagaimana kita maklum bahawa Internet memberikan kita pelbagai kemudahan untuk memperolehi maklumat.

Ia membuka satu dimensi baru sebagai sumber rujukan yang mudah dan pantas dari segi masa dan lokasi.

Internet hampir menggantikan kaedah pembelajaran atau pencarian maklumat cara lama, iaitu penggunaan perpustakaan.

Dalam hal ini, Islam tidak sekali-kali melarang umatnya untuk mendapatkan manfaat hasil dari kemajuan teknologi.

Bahkan, Islam menggalakkan umatnya untuk melengkapi diri dengan kemahiran teknologi moden untuk menyebarkan kebenaran dan mencegah kemungkaran.

Banyak manfaat yang boleh diperolehi daripada Internet seperti;

• manusia boleh berhubungan sesama mereka di seluruh dunia untuk mendapatkan maklumat.

• ia membolehkan pengajian jarak jauh dilakukan, seperti yang diperkenalkan oleh sebahagian institusi pengajian tinggi.

• urusan pembayaran dipermudah, seperti penggunaan i-banking, selain menjadi wadah untuk melakukan perniagaan secara sambilan.

Di samping itu, terdapat juga kesan yang buruk dari Internet, seperti;

• menyediakan maklumat tanpa batas yang tidak ditapis kebenarannya. Ini boleh mencetuskan ruangan untuk menyebarkan berita yang tidak pasti kebenarannya lalu tercetus fitnah di antara manusia sehingga mereka berbalah dan bersengketa.

• mendapat akses ke lelaman yang mengajak manusia kepada kerosakan akhlak seperti lelaman pornografi dan perjudian secara dalam talian.

• terdapat juga lelaman yang mengajak manusia kepada perbuatan pengganasan seperti gerakan militan ISIS di zaman ini.

Oleh itu, umat Islam perlu sentiasa berwaspada ketika melungsuri Internet.

Di antara saranan yang boleh dilaksanakan ketika melayari Internet ialah;

• bersikap sederhana ketika melayari internet. Ambil yang baik sahaja dan tinggalkan infomasi yang salah dan bersifat negatif.

• setiap individu perlu bertanggungjawab terhadap apa yang disebarkan dan apa yang diterima.

• perlu peka dan menilai dengan minda yang terbuka. Sebagai contoh di saluran Youtube, terdapat banyak ceramah-ceramah yang dimuat turun. Ada di antara ceramah-ceramah tersebut yang mengajak kepada kebaikan dan ada juga yang mengajak kepada kejahatan, kebencian dan permusuhan sesama manusia. Ini perlu dijauhi.

Lelaman Internet yang dipercayai seperti yang dimiliki oleh pihak pemerintah, atau organisasi yang dikenali atau individu yang terkenal dengan sifat baik dan amanahnya, maka itu tidak menjadi halangan untuk sesiapa mengambil maklumat dan ilmu daripadanya.

Namun, jika ia tidak dikenali atau informasi yang datang dari seorang yang dikenali tetapi maklumat yang disampaikan adalah salah, maka perlulah diabaikan pandangannya.

Hakikatnya Islam mengajar manusia untuk berfikir tentang maklumat yang diterima. Islam membasmi sikap menurut segala yang didengar tanpa usul periksa.

Dalam wadah Internet, terdapat banyak maklumat yang tidak terbatas, maka umat Islam perlu ambil yang baik dan tinggalkan yang buruk.

*Berita Minggu, 2 November 2014.