1 Teck Whye Crescent

Singapore 688847

Email Us At

info@alkhair.mosque.sg

DROP US A CALL

6760 1139

Hukum belajar Islam dari orang bukan Muslim

Soalan

Bolehkah saya belajar tentang Islam dari orang bukan Muslim?

Jawapan

(Oleh Ustaz Mustazah Bahari)

Islam amat menggalakkan umatnya agar menuntut ilmu kerana dengan ilmu, manusia dapat membezakan antara yang benar dan salah, yang baik dan buruk serta memberi panduan jelas dalam mengharungi hidupnya.

Ilmu perlu dicari kerana bidangnya terlalu banyak dan luas. Allah s.w.t. menciptakan manusia sebagai penggerak bagi menyebarkan ilmu pengetahuan. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Baqarah ayat ke 31, yang bermaksud: “Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Ia berfirman: “Terangkanlah kepada-Ku nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar”.”

Ayat ini menunjukkan, antara lain bahawa di antara tugas manusia yang dilantik sebagai khalifah Allah di bumi, adalah menyebarkan manfaat kepada alam. Menyebarkan ilmu merupakan manfaat paling besar untuk kebaikan manusia.

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Hikmah (ilmu) itu adalah sesuatu yang hilang dari orang mukmin, sesiapa yang menjumpainya maka dia berhak untuk mendapatkannya.” (Riwayat Ibn Abi Syaibah).

Menurut sejarah yang masyhur, Nabi s.a.w. juga pernah mengarahkan tawanan-tawanan perang Badar dari kalangan musyrik Mekah yang mempunyai ilmu bacaan dan tulisan untuk mengajar anak-anak orang Muslim membaca dan menulis.

Ini menunjukkan bahawa belajar dari orang bukan Muslim adalah harus selagi mana ilmu yang dipelajari itu adalah ilmu yang bermanfaat.

Soal latar belakang guru bukan Muslim yang mengajar bukanlah satu isu yang getir. Mengambil ilmu dari mereka tidak semestinya menjadikan umat Islam terpengaruh dengan agamanya, apatah lagi jika ilmu yang dipelajari tiada kaitan dengan isu agama.

Malah jika ilmu tentang Islam sendiri diajar dan disampaikan oleh orang bukan Muslim, maka itu tidak menjadi halangan kerana ilmu Islam adalah hak semua. Boleh sahaja individu tertentu dari kalangan bukan Muslim lebih memahami Islam dari orang Islam sendiri. Hanya mereka tidak terkesan dengan apa yang mereka sampaikan dan itu adalah soal hidayah daripada Allah s.w.t. Isu mendapatkan maklumat dan ilmu tentang Islam amat berbeza dengan isu pegangan dan mengamalkan agama Islam. Tiada dalil yang jelas secara definitif mengharamkan seorang Muslim mempelajari ilmu Islam daripada orang bukan Islam, apatah lagi jika isu-isu tertentu dalam lingkungan ilmu Islam tiada pakar atau ahlinya dikalangan orang Muslim sendiri untuk menyebarkan dan berkongsi sama.

Bahkan dengan adanya orang Muslim yang belajar di negara bukan Islam atau dengan ilmuwan bukan Muslim, membolehkan usaha dakwah dijalankan. Ada kemungkinan dengan bertukar-tukar maklumat mengenai isu-isu tertentu, boleh menjadikan ia sebagai wadah untuk menampilkan Islam dengan tepat dan mengajak terus kepada Muslim.

Sebagai seorang Muslim yang adil, hendaklah dia membuka ruang yang luas untuk mengambil ilmu daripada ahli-ahlinya yang muktabar. Elakkan diri dari merendahkan atau meremehkan golongan ilmuwan yang bukan beragama Islam hanya kerana dia bukan seorang Muslim. Begitu juga, jangan pula terlalu fanatik dengan ilmuwan yang bukan Muslim sehingga menolak ulama Islam yang sama-sama menyampaikan ilmu yang bermanfaat.