Soalan
Adakah wajib bagi seorang yang memeluk agama Islam, menukar namanya kepada nama-nama yang bersifat Islam?
Jawapan
(Oleh Ustaz Mustazah Bahari)
Islam menggalakkan umatnya agar memilih nama yang terbaik dan terindah agar dipandang mulia di sisi manusia. Nama yang dipilih hendaklah sesuai dengan tempat atau negeri yang didiami. Jika sesuatu nama sesuai dan dianggap baik oleh masyarakat setempat, walaupun tidak membawa sebarang makna, sama ada dalam bahasa mereka sendiri atau bahasa lain seperti Arab, maka ia dibolehkan. Misalnya nama orang melayu seperti Melati atau Jebat, kalau diterjemahkan kepada bahasa Arab atau Inggeris, ia tidak memberi sebarang makna. Begitu juga nama-nama Inggeris yang tiada makna bagi bangsa yang lain.
Dari sudut sejarah Islam, Nabi s.a.w. pernah menukar nama sahabat dari makna yang kurang elok kepada yang lebih baik. Imam Al-Bukhari di dalam kitab al-Adab al-Mufrad meriwayatkan bahawa suatu hari Nabi s.a.w. didatangi oleh satu kaum yang diketuai oleh Hani’ bin Yazid lalu Baginda mendengar ada seorang di antara mereka yang dipanggil dengan nama Abdul Hajar. Nabi s.a.w. memanggil lelaki tersebut dan bertanya sendiri siapakah namanya dan dia menjawab Abdul Hajar (hamba kepada batu), lalu Nabi s.a.w. bersabda, “Bahkan nama kamu adalah Abdullah.”
Nabi s.a.w. juga pernah menukar nama yang dianggap meninggi diri. Isteri Nabi s.a.w. yang bernama Zainab, ditukar dari namanya yang asal iaitu Baarrah yang bermaksud (terlalu baik). (Riwayat Al-Bukhari)
Kesimpulannya, tiada hukum yang mewajibkan seorang yang memeluk agama Islam untuk menukar namanya selagi mana namanya itu;
• tidak mengandungi makna yang buruk dan tercela,
• tidak bercanggah dengan akidah seperti Abdul Basyar, Abdul Muhammad,
• tidak elok bagi masyarakat setempat,
• tidak menjadikan dia lebih eksklusif daripada orang lain.
Hanya jika seorang yang memeluk agama Islam berada di tempat di mana kebanyakan penduduknya adalah Muslim dan biasa dengan nama-nama Islam yang berunsurkan bahasa Arab, maka baik juga dia menukar namanya agar tidak merasa janggal dalam komuniti tersebut. Jika tidak menjadi isu dalam komuniti tersebut, maka harus dia kekalkan nama asalnya.