Soalan
Kebelakangan ini, saya dapati banyak iklan-iklan diletak di sekitaran masjid-masjid. Ada di antara iklan tersebut saya lihat bersifat komersial untuk kepentingan peribadi. Setahu saya ada larangan untuk buat pemasaran di dalam ruangan masjid. Adakah ia dibolehkan?
Jawapan
(Oleh Ustaz Mustazah Bahari)
Masjid adalah rumah Allah s.w.t. yang dibangunkan untuk umat Islam beribadah dan beramal. Firman Allah s.w.t. di dalam surah An-Nur, ayat ke 36 yang bermaksud: “(Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali) di rumah-rumah ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang.”
Sepertimana dimaklumi bahawa tempat ibadah adalah suci dan sesiapa yang mendatanginya sudah tentu perlu menurut dan akur dengan adab-adab yang ditetapkan. Di antara adab-adab yang perlu dilaksanakan ketika di masjid ialah; bertujuan utama untuk beribadah, menunjukkan kesopanan ketika memasuki masjid dengan menutup aurat dan memelihara diri dari melakukan tindakan yang tidak disenangi seperti berbual dengan suara yang tinggi dan gelak ketawa yang tidak terkawal. Seterusnya masjid tidak dijadikan tempat untuk bersantai tanpa tujuan kebaikan seperti menghisap rokok di satu penjuru masjid dan sebagainya dari perbuatan-perbuatan yang sia-sia.
Iklan-iklan yang diletak di masjid bagi tujuan menyebarkan maklumat atau aktiviti masjid tidak dilarang kerana ia dianggap sebagai alat berdakwah. Manakala iklan yang berunsur perniagaan atau kepentingan peribadi maka ianya haram. Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Jika kamu nampak sesiapa yang berjual beli di dalam masjid maka katakan kepadanya, ‘semoga Allah tidak memberi keuntungan kepada kamu’. ”(Riwayat At-Tirmizi)
Masjid-masjid di Singapura mempunyai keunikan yang tersendiri. Tidak seperti negara-negara Islam lain, masjid-masjid di Singapura dikendalikan dengan menggunakan wang yang dikumpulkan oleh masyarakat Islam dengan menitip sejumlah wang dari gaji bulanan ke dana pembangunan masjid. Ringkasnya, masjid-masjid di Singapura dibangunkan secara berdikari dengan usaha sama umat Islam setempat. Pastinya dengan keadaan seperti ini, masjid sentiasa memerlukan dana untuk mengendalikan kos operasinya.
Di antara kaedah mengumpul dana yang konsisten, terdapat beberapa syarikat yang menyewa ruang di papan notis untuk mengiklankan produk atau khidmat yang ada.
Jika dilihat dari sudut ini, tiada masalah untuk dilaksanakan kerana keuntungan tidak kembali kepada mana-mana individu malah ia disalurkan kepada keperluan masjid. Hanya, para ulama menasihatkan agar iklan-iklan tersebut digantung di luar kawasan iktikaf masjid seperti di pagar dan tempat-tempat letak notis dan iklan yang disediakan di luar masjid.