Soalan
Sebahagian ulama menyatakan hukum menghisap rokok adalah makruh, tetapi saya ada juga dengar ulama yang menyifatkannya sebagai haram. Apakah sebenarnya hukum mengenai hisap rokok?
Jawapan
(Oleh Ustaz Mustazah Bahari)
Islam adalah agama yang sentiasa menggalakkan amalan hidup yang sihat.
Bagi mencapai tujuan itu, Allah s.w.t. memerintahkan manusia agar mengambil makanan dan minuman yang baik, di samping mengamalkan gaya hidup sihat secara menyeluruh.
Perintah-perintah itu terkandung di dalam Al-Quran seperti berikut;
Surah Al-Baqarah, ayat ke 172, yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah jika benar-benar hanya kepada Allah kamu menyembah.”
Surah Al-Ma’idah, ayat ke 4, yang bermaksud: “Mereka menanyakan kepadamu: “Apakah yang dihalalkan bagi mereka”. Katakanlah: Dihalalkan bagimu yang baik-baik.”
Surah Al-A‘raf, ayat ke 157, yang bermaksud, “Dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk.”
Surah Al-Mukminin, ayat ke 51, yang bermaksud, “Wahai rasul-rasul, makanlah dari makanan yang baik-baik, dan kerjakanlah amal yang shalih. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”
Jika dirujuk kepada kaedah fiqh, asal sesuatu ibadah adalah terlarang (tidak boleh beramal) sehingga terdapat dalil membenarkannya.
Sebaliknya, asal sesuatu perkara yang berkaitan dengan urusan hidup yang bukan hal ibadah adalah halal, sehinggalah terdapat dalil yang mengharamkannya.
Rokok adalah satu bahan yang digunakan untuk mendapatkan perasaan yang menyeronokkan bagi penghisapnya.
Jika ikut kepada kaedah fiqh, ia pada asalnya adalah sesuatu yang halal.
Namun, apakah yang menyebabkannya menjadi makruh ataupun haram?
Golongan ulama yang menghukumkannya sebagai makruh berpendapat bahawa rokok pada asalnya ialah bahan-bahan mentah yang dicampurkan sehingga menjadi sebuah produk yang dinikmati.
Terbitnya hukum makruh apabila dilihat dari sudut kesannya.
Lazimnya, seorang perokok akan menghasilkan bau yang tidak disenangi, sama ada kerana asapnya ataupun bau mulut perokok.
Keadaan ini yang mendorong para ulama menghukumkannya sebagai makruh.
Ini berpandukan hadis umum yang bermaksud: “Barangsiapa yang makan dari tanaman yang busuk ini; bawang merah, bawang bakung dan bawang putih, hendaklah ia tidak mendekati masjid kami, kerana malaikat terganggu dengan barang yang manusia terganggu dengannya.” (Riwayat Al-Bukhari)
Hadis ini walaupun membicarakan tentang bau busuk bawang, tetapi ia bersifat umum dalam perkara yang menghasilkan bau yang tidak menyenangkan.
Imam An-Nawawi ketika membahaskan hadis-hadis berkenaan bawang, beliau meletakkan tajuknya sebagai “Bab larangan bagi orang yang makan bawang putih dan bawang merah, atau bawang bakung dan makanan sejenis yang mempunyai bau tidak sedap dari mendatangi masjid, sampai baunya hilang dan dikeluarkan dari dalam masjid.”
Seterusnya, ia menjadi haram apabila dilihat dari sudut kesihatan.
Telah terbukti secara saintifik bahawa rokok mendatangkan banyak kemudaratan dan penyakit seperti kanser paru-paru, sakit jantung, masalah pernafasan, kesuburan dan lain-lain lagi.
Sehinggakan ada yang mengkategorikan bahan nikotin yang terdapat di dalam rokok sebagai dadah.
Nabi s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: “Tiada kemudaratan dan tidak boleh memudaratkan.” (Riwayat Malik)
Menurut lelaman www.medicalnewstoday.com, setiap tahun, lebih dari 440 ribu rakyat Amerika dan 100 ribu rakyat Britain mati akibat merokok!
Selain sudut kesihatan, para ulama mengambil kira sudut pembaziran.
Tidak dinafikan bahawa pembelian rokok adalah suatu perbelanjaan tambahan yang bukan termasuk bahan-bahan keperluan hidup seharian.
Sesuatu yang dibelanjakan tanpa keperluan, ia dianggap satu pembaziran.
Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mengharamkan penderhakaan kepada ibu-ibu, menanam bayi (membunuh), menghalang (dari memberi) dan meminta-minta, serta Dia tidak menyukai kamu banyak berbicara (yang sia-sia), banyak bertanya (yang tidak perlu) dan mensia-siakan harta (membazir).” (Riwayat Al-Bukhari)
Di dalam riwayat lain, Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Tidak akan bergerak kaki seorang hamba pada hari kiamat sehingga dia ditanya mengenai hartanya, dari mana dia mendapatkannya dan kepada apa yang ia dibelanjakan.” (Riwayat At-Tirmizi)
Dalil-dalil daripada Al-Quran dan hadis secara umum dan kajian-kajian santifik yang disertakan cukup untuk menghukumkan bahawa merokok wajar dihukumkan haram kerana ia lebih mendatangkan mudarat daripada kebaikan.
Anak-anak muda seharusnya diberi panduan yang jelas dan tegas agar menjauhi amalan merokok.
Amalan ini tidak seharusnya berterusan kerana ia tidak mendatangkan sebarang faedah.
Bagi mereka yang masih merokok, dinasihatkan agar segera berhenti.
Tetapi tidak dinafikan juga, terdapat beberapa golongan ‘perokok tegar’ yang dinasihatkan oleh para doktor agar tidak berhenti merokok, kerana ia boleh menjejas kesihatan mereka.
Sistem dalaman jasmani mereka telah berubah disebabkan bahan-bahan kimia yang disedut dari rokok.
Bagi mereka yang termasuk dalam kumpulan ini, maka hukumnya berbeza kerana memelihara kelangsungan hidup adalah wajib.
Namun, ini tidak bererti seseorang itu boleh memulakan menghisap rokok kerana asalnya ia adalah bahan yang tidak baik.
Haramnya hukum merokok telah difatwakan oleh;
• Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Malaysia dalam persidangan ke 37 pada 23 Mac 1995 dan Mufti-mufti negeri Melaka (17 Oktober 2003, tidak diwartakan), Kedah (1 Januari 1970, tidak diwartakan), Perlis (1 Januari 1970, tidak diwartakan), Pulau Pinang (18 November 2004, diwartakan), Sarawak (9 Disember 1995, tidak diwartakan) dan Selangor (25 Oktober 1995, diwartakan).
• Fatwa Mufti Brunei dalam buku Rokok dan Merokok (2004).
• Fatwa Mufti Mesir Dr. Muhammad Farid Wasil, 5 September 1999.
• Fatwa Mufti Saudi Arabia Sheikh Abdul Aziz bin Baz.
*Berita Harian, 15 Januari 2013