Soalan
Apakah hukum berkhatan bagi lelaki dan perempuan di sisi Imam Asy-Syafi‘i, Hanbali, Hanafi dan Maliki. Saya mempunyai seorang kawan yang mempunyai seorang anak yang sudah baligh tapi belum berkhatan. Beliau akan membersih kemaluannya dan bersuci sebelum menunaikan solat. Adakah solatnya sah atau tidak?
Jawapan
(Oleh Ustaz Mustazah Bahari)
Pada dasarnya, berkhatan adalah suatu amalan yang baik dan diperintahkan oleh Islam.
Ini digambarkan dalam sebuah hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud, “Fitrah (kesucian) itu ada lima perkara; berkhatan, mencukur bulu ari-ari, mencukur bulu ketiak, memotong kuku dan memendekkan misai.” (Riwayat Al-Bukhari)
Imam An-Nawawi berkata, fitrah yang dimaksudkan dalam hadis tersebut adalah sunnah.
Telah disabitkan di dalam kitab Sahih Al-Bukhari bahawa Nabi Ibrahim a.s. berkhatan sewaktu usianya mencecah 80 tahun.
Anjuran berkhatan dalam Islam pula adalah penerusan tradisi Nabi Ibrahim a.s.
Namun, terdapat perbezaan pendapat di antara para ulama mengenai hukumnya.
Imam Malik, Asy-Syafi‘i, Ahmad, Asy-Sya‘bi dan al-Auza‘i berpendapat bahawa hukumnya wajib.
Sehinggakan Imam Malik mengakatan bahawa sesiapa yang tidak berkhatan, dia tidak layak menjadi imam dan kesaksiannya ditolak.
Manakala Imam Abu Hanifah, Hasan Al-Basri dan Ibn Qudamah berpendapat bahawa berkhatan adalah sunat bagi kaum lelaki dan mulia bagi wanita.
Tetapi jika terdapat penentangan terhadap amalan khatan, ia perlu dilawan kerana khatan adalah salah satu dari syiar Islam yang perlu ditegakkan.
Dalam masalah khatan bagi wanita, terdapat para ulama yang menolak amalan berkhatan berdalilkan kisah yang diriwayatkan oleh Um ‘Atiyyah r.a. bahawa wanita di kota Madinah berkhatan.
Nabi s.a.w. kemudian melarangnya kerana tidak berkhatan adalah baik untuk kesihatan wanita dan lebih disukai oleh para suami. (Riwayat Abu Daud)
Sebaliknya, golongan yang membenarkan khatan bagi wanita pula berhujah dengan hadis Um Habibah yang mengendalikan khidmat khatan bagi golongan wanita.
Pada suatu hari, Nabi s.a.w. menziarahinya lalu mendapati pisau ditangannya (untuk berkhatan).
Nabi s.a.w. lalu bertanya untuk mendapatkan kepastian mengenai penggunaan pisau tersebut untuk berkhatan.
Um Habibah lantas bertanya, “Adakah ia (khatan) haram untuk wanita?
Nabi s.a.w. menjawab, “Bahkan ianya halal.”
Nabi s.a.w. lalu bersabda yang bermaksud: “Wahai wanita Ansar, berkhatanlah kamu tetapi janganlah melampau dalam memotongnya. ”(Riwayat Al-Baihaqi)
Mengenai berkhatan bagi orang dewasa pula, terdapat perbincangan di kalangan para ulama sama ada perlu bagi seorang yang sudah lanjut usia berkhatan.
Dalam hal ini, kitab Al-Mughni oleh Ibn Qudamah meriwayatkan bahawa Imam Ahmad pernah ditanya mengenai seorang lelaki yang memeluk agama Islam ketika usia dewasa, sama ada dia perlu berkhatan.
Imam Ahmad menjawab, “Aku lebih suka jika dia berbuat demikian kerana Nabi Ibrahim a.s. melakukan demikian.”
Baru-baru ini terdapat persoalan mengenai kelebihan dan manfaat pada amalan berkhatan.
Terdapat segolongan masyarakat yang berpendapat bahawa ia hanyalah adat sesetengah kaum. Mereka mendakwa bahawa amalan berkhatan bukanlah suatu ibadah.
Maka dengan itu, mereka menolak amalan berkhatan yang telah lama diamalkan oleh majoriti masyarakat Islam.
Bagi menjawab keraguan ini, kita boleh tinjau beberapa kajian saintifik yang membuktikan akan kebaikan dan manfaat amalan berkhatan bagi menyokong amalan yang telah lama diamalkan oleh umat Islam di merata dunia.
Dr. David Hawker, seorang pengamal perubatan yang berpangkalan di United Kingdom telah menulis satu kajian dan diterbitkan oleh International Circumcision Information Reference Centre.
Kajian ini menyenaraikan beberapa faedah yang boleh diraih daripada amalan berkhatan, iaitu;
Berkhatan pada usia kanak-kanak memberi 100% perlindungan dari barah kelamin dan memberi perlindungan maksima bagi lelaki dewasa.
Barah rahim yang dihidapi oleh sesetengah wanita adalah akibat virus yang dinamakan Human Papilloma. Ia boleh berjangkit melalui hubungan seksual.
Di dalam British Medical Journal yang diterbitkan pada April tahun 2002, dianggarkan sekitar 20% wanita dapat menghindari virus tersebut jika pasangan lelakinya berkhatan. Jurnal itu juga mengatakan bahawa virus HIV dapat dihindarkan sebanyak 8 kali ganda jika seorang lelaki berkhatan.
Kepuasan hubungan seksual dapat dinikmati melebihi dengan berkhatan berbanding lelaki yang tidak berkhatan.
Berkhatan dapat menghilangkan bau busuk pada alat kelamin.
Kajian yang dibuat pada tahun 2009 pula oleh Cochrane Database of Systematic Reviews mengatakan bahawa lelaki yang berkhatan dapat mengelak dari virus HIV sebanyak 54% daripada lelaki yang tidak berkhatan.
Baiknya amalan berkhatan ini sehingga Pertubuhan Kesihatan Sedunia(WHO) pada 28 Mac tahun 2007, telah mengeluarkan kenyataan penting berkenaan kaedah pencegahan kuman HIV.
Ia mengatakan bahawa kajian saintifik telah membuktikan bahawa lelaki berkhatan mengurangkan kadar perpindahan kuman virus HIV kepada wanita atau isteri.
Seeloknya, berkhatan dilakukan sewaktu berumur lebih kurang satu tahun kerana kadar risiko dan komplikasi prosedur lebih rendah.
Dr. Collin Tham, seorang pakar bedah plastik yang berpangkalan di Singapura juga berpendirian yang sama dan menambah bahawa amalan berkhatan dapat mengelak dari penyakit saluran kencing yang tersumbat.
Seperkara yang penting dalam melaksanakan upacara berkhatan ini, ia perlu dilakukan dengan cara yang cermat dan selamat. Sebaiknya ia dilakukan oleh pengamal perubatan yang diakui dan berdaftar.
Hal ini adalah penting kerana terdapat juga kes-kes kecuaian yang berlaku ketika proses berkhatan sehingga mengakibatkan kecederaan yang serius dan ada juga yang mengakibatkan kematian.
Tidak dinafikan berlakunya salah laku dalam mengendalikan amalan berkhatan bagi lelaki dan wanita.
Di sesetengah negara di Afrika misalnya, terdapat upacara khatan dilakukan secara melampau terhadap wanita, sehingga wanita-wanita tersebut menjadi sengsara akibat salah faham terhadap konsep asal amalan tersebut.
Amalan sebeginilah yang difatwakan haram oleh ramai ulama.
Adapun amalan berkhatan kanak-kanak perempuan oleh masyarakat Melayu di rantau ini adalah berbeza sekali.
Oleh itu, ia tidak jatuh dalam fatwa yang mengharamkannya kerana ia berdalilkan hadis yang membenarkannya sebagaimana yang telah dinyatakan di atas.
Jika terdapat kaedah yang terbaik dalam melaksanakan amalan ini, adalah wajar untuk memilih kaedah itu.
Islam menggalakkan penggunaan sebarang alat atau teknologi moden bagi memudahkan urusan manusia, walaupun ia dikendalikan oleh bukan Muslim.
Walaupun terdapat pandangan yang mengatakan bahawa amalan berkhatan ini tidak wajib, ia tidak menafikan kebaikan amalan tersebut sebagaimana yang dinyatakan dalam pelbagai kajian saintifik.
Sebagai seorang Muslim, ia merupakan satu tuntutan atau amalan yang amat digalakkan dan ia memberi kesan yang baik bagi kehidupan amnya.
Adapun solat seorang lelaki atau wanita yang belum atau tidak berkhatan adalah sah.
Hanya yang perlu dilakukan ialah mencuci dengan bersih kawasan kulit kelamin yang tidak berkhatan sebelum solat.
Namun, dia tetap perlu berusaha untuk segera melakukan upacara khatan untuk kebersihan yang optimum.
*Berita Harian, 29 November 2013.