Hukum membawa pulang jenazah*

Soalan

Apabila seseorang meninggal dunia di luar negara, terutama di negara majoriti bukan-Islam, apakah cara terbaik dan lebih afdhal mengebumikannya – membawa pulang jenazah atau mengebumikan di tempat dia meninggal? – Ada sebahagian orang yang tetap mahu membawa pulang jenazah walau menghadapi kesukaran, seperti melibatkan kos yang tinggi (sehingga boleh membebankan keluarga)? Apakah penjelasan agama tentang hal ini?

Jawapan

(Oleh Ustaz Mustazah Bahari)

Memindahkan jenazah dari satu negara atau tempat ke satu negara atau tempat yang lain merupakan isu yang diperselisihkan oleh para ulama.

Di sisi mazhab Hanafi, makruh memindahkan jenazah ke tempat yang melebihi dua batu dari tempat dia meninggal dunia.

Ini kerana jarak yang berlebihan akan melambatkan pengebumian dan ia merupakan salah satu bentuk penyiksaan terhadap jenazah.

Mazhab Maliki mengharuskannya jika dapat dipastikan kehormatan jenazah dijaga dengan baik, tidak merubah jenazah tersebut dan tidak menyakitinya dengan tindakan yang tidak wajar.

Mazhab Asy-Syafi‘i pula berpendapat ianya antara makruh dan haram dan hujahnya sama seperti hujah mazhab Hanafi.

Tetapi terdapat juga pendapat di kalangan ulama mazhab Asy-Syafi‘i seperti yang dinukilan oleh Imam Al-Isnawi, mengharuskan pemindahan ke negara yang bersebelahan sahaja yang tidak memerlukan masa yang lama untuk mengebumikannya.

Manakala mazhab Hanbali pula ianya makruh jika tidak mempunyai keperluan yang mendesak.

Merujuk kepada perbezaan pendapat di kalangan ulama mengenai masalah ini, adalah baik jika jenazah yang meninggal dunia di tempat berlakunya kematian, dikebumikan sahaja di sana.

Melainkan terdapat sebab yang munasabah untuk memindahkannya ke tempat yang tertentu.

Dalam sejarah umat Islam terdahulu juga tidak didapati amalan memindahkan jenazah ke tempat lain, seperti para syuhada Badar dan Uhud, malahan mereka semua dikebumikan di tempat mereka terbunuh dan tidak dikebumikan di tempat asal mereka di Mekah.

Keadaan yang mungkin dianggap wajar untuk memindahkan jenazah ke tempat atau negara lain, seperti wujudnya sistem pengendalian jenazah yang tidak teratur di tempat dia meninggal seperti negara yang majoriti masyarakatnya bukan Islam, atau pihak waris merasakan baik untuk dikebumikan di negara asalnya untuk memudahkan mereka menziarahinya dan menguruskan kuburnya.

Di samping melihat kepada isu pengendalian jenazah, perlu dilihat juga dari sudut perbelanjaan yang digunakan untuk memindahkan jenazah tersebut agar tidak berlaku pembaziran, kerana pembaziran adalah haram.

Untuk makluman di sesetengah negara majoriti bukan Muslim, kos pengebumian jenazah adalah amat tinggi dan lebih mahal dari kos membawa pulang jenazah dan mengebumikannya di Singapura.

Kesimpulannya, masalah ini kembali kepada keperluan.

Jika ada keperluan mendesak, maka membawa pulang jenazah adalah wajar.

Jika tidak, maka sebaiknya pengebumian dilakukan di negara berlaku kematian.

*Berita Harian, 23 November 2013.