Hukum makan di rumah orang bukan Islam

Soalan

Apakah hukum makan di rumah orang bukan Islam?

Jawapan

(Oleh Ustaz Mustazah Bahari)

Setiap tempat di bumi Allah ini dihukumkan sebagai bersih pada asalnya sehinggalah terbit darinya perkara-perkara yang najis. Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud, “Bumi ini telah dijadikan bagiku sebagai masjid dan tempat yang bersih.” (Riwayat Al-Bukhari)

Perkara ini amat penting bagi umat Islam memahaminya agar timbul rasa yakin yang boleh menolak perasaan was-was di dalam hati. Penyakit was-was inilah yang banyak mengelirukan dan menyempitkan kemudahan yang ada.

Perkara halal dan haram telah pun jelas. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-A‘raf, ayat ke 32-33, yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakan-Nya?” Katakanlah: “Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat”. Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui. Katakanlah: “Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi; dan perbuatan dosa; dan perbuatan menceroboh dengan tidak ada alasan yang benar; dan (diharamkan-Nya) kamu mempersekutukan sesuatu dengan Allah sedang Allah tidak menurunkan sebarang bukti (yang membenarkannya); dan (diharamkan-Nya) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya.”

Makan di rumah orang bukan Islam adalah harus selagi mana makanan yang disediakan dan dimakan adalah halal. Begitu juga perkakas yang digunakan juga adalah bersih. Sebagai contoh, boleh sahaja orang Islam makan di tempat atau rumah orang bukan Islam yang menyajikan makanan halal menerusi tempahan catering yang halal. Segala perkakas yang diperlukan disediakan oleh pengendali makanan halal tersebut tanpa menggunakan satu pun perkakas dapur tuan rumah. Maka orang Islam tidak perlu ragu tentang halalnya makanan itu. Jika wujud perkara-perkara yang jelas haramnya seperti majlis yang dipenuhi dengan perkara maksiat dan mungkar, kemudian dihidangkan pula makanan dan minuman yang haram seperti arak, maka barulah ia menjadi haram.

Orang Islam perlu menunjukkan sifat keterbukaan di dalam isu kemasyarakatan selagi mana ia tidak bercanggah dengan syariat. Islam tidak menghalang umatnya untuk bermesra dan berkasih sesama manusia walaupun berbeza bangsa dan agama. Janganlah dipamerkan sikap eksklusif seorang Muslim ke atas orang bukan Islam sehingga paparan seperti itu boleh disalah erti yang boleh menyebabkan manusia lari dari Islam kerana sangkaan mereka Islam terlalu banyak sekatan dalam hidup.

Justeru, amalkanlah Islam menurut apa yang diturunkan oleh Allah kepada manusia, bukan menurut kefahaman sendiri yang sempit.