Loading...

Menguruskan jenazah yang menukar jantina

Soalan

Bagaimana memandikan dan menyembahyangkan jenazah seseorang yang menukar jantina, sama ada mengikut jantina asal kejadiannya atau jantina pada ketika ia meninggal?

Jawapan

(Oleh Ustaz Mustazah Bahari)

Menukar jantina adalah suatu perbuatan yang haram di sisi syariat Islam. Ia jelas termasuk di dalam pengharaman menukar ciptaan Tuhan. Firman Allah s.w.t. di dalam surah An-Nisaa’, ayat ke 119, yang bermaksud:

“Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran), dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah”. Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata.”

Rasulullah s.a.w. juga melaknati lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki. (Riwayat Al-Bukhari)

Adapun cara mengendalikan jenazah orang yang menukar jantina, dia diuruskan menurut jantina asalnya, walaupun jasadnya sudah bertukar secara total. Begitu juga bahagian pewarisan perlu kembali kepada status dirinya yang asal.

Namun, jika dia telah menukar status dirinya dengan menukar nama di kad pengenalan dan paspot, serta sukar untuk ahli waris menguruskan jenazahnya menurut jantina asal, seperti ada masalah dari sudut undang-undang Negara, maka harus jenazah tersebut dikendalikan menurut jantina ketika dia mati.

Bagi sesiapa yang telah melakukan penukaran jantina atau sebarang penukaran pada jasadnya, maka hendaklah dia bertaubat kepada Allah s.w.t. selagi nyawa dikandung badan. Janganlah mereka berputus asa kerana pintu taubat sentiasa terbuka bagi mereka yang benar-benar ikhlas memohon keampunan daripada Allah s.w.t. Bagi masyarakat awam pula, janganlah cepat menuduh atau melemparkan kata-kata kesat kepada golongan itu. Apa yang patut dilakukan ialah sentiasa memberi nasihat dan mendoakan mereka agar mereka sedar dan kembali ke pangkal jalan serta berdoa agar diselamatkan dari fitnah sebegitu.