Hukum sertu rumah baru*

Soalan

Apakah yang harus dilakukan oleh seorang Muslim yang membeli flat yang pernah dihuni atau dimiliki oleh bukan Muslim? Apakah perlu disertu sebahagian atau seluruh rumah tersebut?

Jawapan

(Oleh Ustaz Mustazah Bahari)

Membeli rumah dari orang bukan Islam adalah harus. Kaedah fiqh secara umumnya mengatakan bahawa setiap tempat di atas muka bumi ini dihukumkan suci melainkan ada dalil atau petunjuk yang zahir menunjukkan ia terkena najis.

Imam Ibn Taimiyyah dalam kitab Majmu‘ al-Fatawa mengatakan: “Tidak digalakkan mencari-cari najis yang tidak zahir pada kita dan tidak digalakkan terlalu berjaga-jaga daripada sesuatu yang tidak ada petunjuk yang zahir berkenaan kenajisannya, hanya disebabkan kemungkinan ia bernajis.” Beliau seterusnya membawa sebuah kisah. Umar Al-Khattab dan seorang sahabatnya melalui satu tempat, lalu ada air jatuh melalui dari sebuah rumah menimpa sahabatnya. Sahabatnya pun melaungkan suaranya: “Wahai tuan punya corong air ini! Air kamu ini suci atau bernajis?” Lalu Umar pun bersuara, “Wahai tuan punya corong air, janganlah kamu beritahu pada dia kerana ia bukan tanggungjawabnya!”

Dari kaedah dan kisah tadi, dapatlah difahami bahawa hukum asal bumi ini adalah bersih dan suci. Jika ia dihukumkan najis maka perlu didatangi dengan bukti jelas bahawa ia bernajis.

Dalam konteks membeli rumah dari penghuni asal yang bukan Islam, maka perlu dipastikan dahulu secara zahir sama ada terdapat bahan-bahan yang bernajis seperti anjing peliharaan atau tidak. Menurut mazhab Asy-Syafi‘i jika ia jelas dan diberitahu bahawa dia memang membela anjing, maka perlu disertu rumah tersebut.

Timbul juga persoalan mengenai dapur yang digunakan untuk memasak daging khinzir. Jika benar penghuni asal biasa melakukannya, maka wajarlah ia disertu. Ini juga merupakan pandangan Imam Asy-Syafi‘i mengenai keperluan sertu daripada khinzir.

Namun, jika tiada pengesahan yang dapat dipastikan, maka tidak perlu terlalu membebankan diri dengan mencari-cari bahan atau tempat yang bernajis.

Imam Al-Bukhari ada meriwayatkan sebuah hadis, “Dahulu, anjing-anjing kencing, masuk dan keluar dari masjid di zaman Rasulullah s.a.w. dan tidak pernah kelihatan mereka menyimbah sesuatu pun ke atasnya.”

Inilah kemudahan dan keringanan Islam yang tidak membebankan umatnya. Prinsip yang perlu ada pada kita ialah beramal dengan penuh keyakinan dan jauhi dari pra sangka dan andaian yang tidak membantu dalam menyelesaikan sesuatu masalah.

*Berita Harian, 22 November 2013.