Soalan
Semenjak dunia dipaparkan dengan kegiatan pengganasan kumpulan militan ISIS, banyak isu yang berkaitan dengan agama juga ditimbulkan. Antara perkara yang ditonjolkan oleh ISIS ialah kembalinya amalan memperhambakan manusia khususnya wanita. Adakah benar Islam menggalakkan perhambaan?
Jawapan
(Oleh Ustaz Mustazah Bahari)
Amalan dan sistem perhambaan bukanlah perkara baru dalam sejarah hidup manusia dan bukan sesuatu yang dimulakan oleh Islam.
Menurut Islam, perhambaan hanya boleh ke atas musuh yang dikalahkan dalam perang dan itu pun hanya boleh berlaku jika mereka berlainan agama dan sesiapa yang sudah pun berstatus hamba. Seorang Muslim yang merdeka tidak boleh sama sekali dihambakan oleh Muslim yang lain kecuali jika dia memang sudah berstatus hamba.
Hakikatnya, tiada satu nas daripada Al-Quran mahupun hadis yang menyebut tentang kewajipan menjadikan tawanan sebagai hamba. Malah Islam menggalakkan agar hamba-hamba dibebaskan apabila mereka menunjukkan tanda-tanda insaf dan ingin kembali kepada kebaikan dan Islam.
Sejarah membuktikan bagaimana sahabat Nabi s.a.w. yang bernama Rib‘i bin ‘Amir berkata kepada Rustum, panglima perang kerajaan Parsi, ketika membawa amanat Nabi s.a.w. untuk mengajaknya kepada Islam, “Kami adalah umat yang Allah s.w.t. bangkitkan untuk mengeluarkan. manusia dari perhambaan kepada manusia, kepada perhambaan kepada Tuhan, dari kezaliman kepada keadilan dan dari kesempitan dunia kepada keluasan akhirat.”
Apabila Islam muncul di tanah Arab, amalan perhambaan sudah berleluasa dan masih kuat diamalkan. Sebagai agama yang penuh hikmah, Islam mengambil pendekatan yang berhemah bagi menggalakkan manusia untuk membebaskan hamba-hamba yang dimiliki. Ini dilakukan secara bertahap-tahap hingga terhenti sistem perhambaan secara total. Seperti yang dikatakan oleh Imam Ibn Qudamah bahawa manusia pada asalnya adalah bebas, manakala perhambaan adalah sesuatu yang mendatang, iaitu apabila berlaku peperangan, jika tidak berlaku sebarang tekanan atau peperangan, maka manusia kekal bebas.
Kaedah yang digunakan oleh Islam untuk membebaskan hamba ialah dengan menggalakkan umat Islam yang mempunyai hamba agar membebaskan mereka dengan ganjaran pahala yang lumayan.
Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Balad, ayat ke 12-13, yang bermaksud: “Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui: apa dia amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan itu? (Di antara amal-amal itu bagi orang yang mampu) ialah: memerdekakan hamba abdi.”
Seterusnya, dengan membebaskan hamba, ia dapat menebus dosa-dosa besar yang dilakukan seperti pembunuhan tanpa niat, zihar, sumpah yang sia-sia dan persetubuhan suami isteri di siang bulan Ramadan.
Walaupun amalan perhambaan dikekalkan, tapi Islam mewajibkan keatas tuan-tuan hamba memberi layanan baik dan melarang sikap zalim berbeza dengan amalan yang sedia ada sebagaimana sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Teman-teman kamu di kalangan khadam telah dijadikan Allah berada di bawah kuasamu. Sesiapa yang mempunyai seseorang dibawah kuasanya, hendaklah dia memberinya makan dengan apa yang dia makan, dan pakaikanlah dia dengan apa yang kamu pakai serta janganlah kamu membebaninya dengan sesuatu tugas yang sukar. Jika kamu berikan sesuatu tugas kepadanya, maka bantulah dia.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Dr. Muhammad Ammarah, seorang pemikir Islam Mesir mengatakan di dalam bukunya Al-Islam wa Huquq al-Insan, bahawa orang yang berakal dan adil dapat memahami bahawa Islam secara jelas memberhentikan amalan perhambaan dan menghapuskannya sama sekali.
Syaikh Muhammad bin Nasir Al-Ja’wan di dalam kitabnya al-Qitalfi al-Islam: Ahkamuhu wa Tasyri‘atuhu berkata: “Bagi mereka yang mendakwa bahawa Islam menggalakkan dan menghalalkan perhambaan, ia sebenarnya adalah haram melainkan dengan sebab kekufuran yang dikaitkan dengan peperangan dan cara mengendalikan mereka jika berlaku keadaan itu, ialah dengan memberi balasan yang setimpal, bukan dengan cara menawan dan menjadikan mereka hamba.”
Umat Islam perlu memberi keutamaan di dalam mengamalkan Islam. Isu perhambaan bukanlah suatu yang menjadi keutamaan bagi umat Islam. Banyak lagi amalan yang perlu diutamakan dan diamalkan seperti membaca dan menghafal Al-Quran, berbuat baik terhadap manusia, melakukan aktiviti-aktiviti kekeluargaan, menambahkan lagi ilmu pengetahuan Islam dengan menghadiri kelas-kelas agama, banyakkan membaca tentang sejarah dan kesarjanaan Islam dan lain-lain lagi.
Imam Asy-Syatibi di dalam kitabnya Al-Muwafaqat berkata: “Mendalami sesuatu isu yang tidak dapat diamalkan (secara mudah dan kolektif) merupakan suatu perbuatan yang tidak dipandang baik menerusi apa jua dalil di dalam syariat Islam. Amalan yang dimaksudkan ialah amalan yang memberi kebaikan kepada hati dan jasmani. Itulah yang sebenarnya digalakkan di dalam Islam”.
Justeru, perbuatan memperhambakan manusia bukanlah suatu amalan yang utama untuk memperbaiki iman dan menyihatkan badan.