Soalan
Saya ada terbaca laporan mengenai Demensia (nyanyuk) dan pertambahan jumlah pesakit Melayu yang mengalaminya.
Saya difahamkan Islam ada pendekatan merawat penyakit ini. Bagaimanakah caranya?
Jawapan
(Oleh Ustaz Haniff Hassan)
Demensia ialah satu keadaan yang berakibat dari fizikal tubuh manusia. Menurut sains perubatan, ia berlaku kerana penurunan fungsi otak secara progresif yang pada kebiasaannya berlaku kerana penuaan.
Antara tanda-tanda Demensia ialah nyanyuk, selalu lupa, tidak mampu selesaikan masalah diri, emosional dan hilang kawalan fungsi tubuh hingga menyulitkan aktiviti dan kehidupan seharian.
Disebabkan ia berlaku, pada kebiasaannya secara progresif, sejauh mana ia boleh diubah bergantung pada tahap keseriusan Demensia.
Al-Quran ada menyebut mengenai Demensia dalam ayat-ayat berikut;
Surah An-Nahl, ayat ke 70 yang bermaksud: “Allah menciptakan kamu, kemudian mewafatkan kamu; dan di antara kamu ada yang dikembalikan kepada umur yang paling lemah (nyanyuk), supaya dia tidak mengetahui lagi sesuatu pun yang pernah diketahuinya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa.”
Surah Al-Hajj, ayat ke 5, yang bermaksud: “Hai manusia, jika kamu dalam keraguan tentang kebangkitan (dari kubur), maka (ketahuilah) sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu dari tanah, kemudian dari setetes mani, kemudian dari segumpal darah, kemudian dari segumpal daging yang sempurna kejadiannya dan yang tidak sempurna, agar Kami jelaskan kepada kamu dan Kami tetapkan dalam rahim, apa yang Kami kehendaki sampai waktu yang sudah ditentukan, kemudian Kami keluarkan kamu sebagai bayi, kemudian (dengan beransur-ansur) kamu sampailah kepada kedewasaan, dan di antara kamu ada yang diwafatkan dan (ada pula) di antara kamu yang dipanjangkan umurnya sampai nyanyuk, supaya dia tidak mengetahui lagi sesuatu pun yang dahulunya telah diketahuinya. Dan kamu lihat bumi ini kering, kemudian apabila telah Kami turunkan air di atasnya, hiduplah bumi itu dan suburlah dan menumbuhkan berbagai macam tumbuh-tumbuhan yang indah.”
Al-Quran juga memberi petunjuk akan punca demensia, iaitu penuaan dan melemahnya funsgi tubuh dalam surah Ar-Rum, ayat ke 54, yang bermaksud: “Allah, Dialah yang menciptakan kamu dari keadaan lemah, kemudian Dia menjadikan (kamu) sesudah keadaan lemah itu menjadi kuat, kemudian Dia menjadikan (kamu) sesudah kuat itu lemah (kembali) dan beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya dan Dialah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa.”
Berdasarkan ayat-ayat ini, kita boleh fahami bahawa demensia adalah sesuatu yang lumrah atau tabi‘i dalam kitar hidup manusia.
Penyebutannya dalam Al-Quran tidak lain tidak bukan sebagai pengajaran bagi kita agar tidak sombong dengan kekuatan dan kesihatan yang ada kerana ia boleh hilang.
Selain itu, hendaklah gunakan kesihatan yang ada dengan baik dan bersiap sedia akan kemungkinan kehilangannya.
Boleh juga dirumuskan bahawa kita dianjurkan untuk membuat langkah-langkah meminima atau mencegahnya dari berlaku.
Apabila Al-Quran menyebutkannya sebagai satu kitaran manusia, ia tidak bermaksud bahawa semua orang pasti mengalaminya kerana realiti tidak menunjukkan semua orang tua mesti mengalami Demensia.
Oleh itu Demensia boleh dielakkan melalui usaha manusia, selain tawakal kepada Allah s.w.t.
Usaha pencegahan juga boleh difahami dari hadis yang bermaksud, “Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara;
1) masa sihat sebelum sakit,
2) masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin),
3) masa lapang sebelum tiba masa sibuk,
4) masa mudamu sebelum datang masa tua, dan
5) masa hidup sebelum tiba masa mati.” (Riwayat Al-Hakim dan Al-Baihaqi)
Termasuk dalam pengertian hadis ini ialah mengunakan masa sihat dan muda untuk mencegah risiko-risiko sakit dan pada hari tua dan tidak bersikap pasif atau pasrah sahaja.
Hal ini tidak bermaksud melawan takdir kerana usaha pencegahan risiko adalah sesuatu yang sememangnya dianjurkan oleh agama ini sebagaimana yang dapat difahami dari hadis yang menceritakan kisah seorang Arab yang bertanya pada Rasulullah s.a.w.: “Adakah saya lepaskan unta saya kemudian bertawakal pada Allah?”. Rasulullah s.a.w. menjawab: “Ikatlah untamu dan bertawakkallah.” (Riwayat At-Tirmizi)
Oleh kerana demensia adalah keadaan fizikal maka rawatan dan pencegahannya juga hendaklah dilihat dari sudut ilmu fizikal.
Dalam hal ini ia merujuk pada ilmu sains perubatan atau ilmu-ilmu lain yang berkaitan.
Memahami ilmu ini berkaitan demensia dan menggunakannya sesuatu yang mesti kerana Islam anjurkan kita untuk menyelesaikan sesuatu masalah itu berdasarkan ilmu dan sebab musabab yang betul.
Mencari kaedah rawatan kerohanian melalui apa yang dikenali sebagai rawatan kaedah ruqyah tidak salah, tapi ia tidak seharusnya hingga meninggalkan kaedah-kaedah konvensional yang telah dibangunkan dan ditemui oleh para pakar.
Allah s.w.t. berfirman di dalam surah An-Nahl, ayat ke 43, yang bermaksud: “Maka bertanyalah kepada ahlinya (orang-orang yang tahu atau pakar) jika kamu tidak mengetahui (keadaan sesuatu perkara).”
Selain dari anjuran Islam untuk merujuk pada pakar perubatan dankesihatan dalam mencegah dan merawat Demensia, saya tidak tahu akankaedah khusus daripada Al-Quran atau sunnah Nabi s.a.w. bagi masalah ini.
Namun, Al-Quran itu memang disifatkan oleh Allah s.w.t. sebagai penawar juga bagi penyakit, sebagaimana firman-Nya di dalam surah Al-Isra’, ayat ke 82 dan surah Fussilat, ayat ke 44.
Hanya tiada kejelasan tentang ayat mana daripada Al-Quran atau hadis yang secara khusus boleh diguna untuk pencegahan atau rawatan Demensia.
Berdasarkan hakikat ini, saya berpendapat keseluruhan Al-Quran amat berguna bagi tujuan pencegahan Demensia.
Ini boleh tercapai dengan berbanyak membacanya dan juga berzikir dengan zikir yang dianjurkan oleh Al-Quran seperti bertasbih, bertahmid, bertahlil, membaca nama-nama Allah yang indah dan berselawat atas Nabi s.a.w.
Selain itu perbanyakkanlah juga solat-solat sunat seperti solat Tahajud,Witr dan Dhuha.
Banyak kajian dan pengalaman telah membuktikan bahawa amalan membaca Al-Quran, berzikir dan bersolat mempunyai kesan positif pada molekul dan sel fizikal benda seperti air, tumbuhan dan termasuk juga tubuh badan kita.
Ia menyihatkan sel dan memberi tenaga kesihatan pada tubuh badan.
Oleh kerana Demensia berpunca dari penurunan fungsi dan kekuatan tubuh fizikal manusia, pastinyalah segala ibadah-ibadah yang mampu menyihatkan tubuh badah itu mempunyai potensi pencegahan dan rawatan, tanpa mengabaikan aspek pencegahan dan rawatan konvensional.
Walau bagaimanapun, mereka yang berpengalaman dalam ilmu rawatan menggunakan Al-Quran ada mencadangkan amalan-amalan ayat-ayat berikut bagi tujuan Demensia;
• Surah Az-Zumar, ayat ke 24-37
• Surah Al-A‘raf, ayat ke 43-56
• Surah Al-Haj, ayat ke 73-78
• Surah An-Naml, ayat 71-93
• Surah As-Saffat, ayat 22-47
• Surah Yasin, ayat 72-83
Caranya ialah, “pesakit hendaklah membaca surah pertama iaitu surah Az-Zumar tiga kali pada waktu malam dan surah kedua iaitu surah Al-A‘raf tiga kali pada waktu siang. Pembacaan ini hendaklah diamalkan setiap hari selama tiga hingga empat minggu. Selepas membaca tiga kali, pesakit perlu memohon doa kepada Allah s.w.t. untuk penyembuhan. Selepas membaca dua surah pertama tadi, pesakit hendaklah mengulanga malan-amalan tersebut dengan surah-surah yang seterusnya.” (Rujuk perkongsian Haji Lokman Abdul Hamid dari Pusat Rawatan Al-Hidayah mengenai demensia yang juga diterbitkan oleh Utusan Malaysia, 27 Oktober 2013 atas tajuk “Penyakit nyanyuk” yang boleh dicari di internet.)
Tambahan dari saya, bagi tujuan rawatan untuk orang lain, boleh dibacakan ayat-ayat di atas mengikut arahan yang dinyatakan kepada si pesakit atau dibacakan pada air untuk dijadikan minuman bagi si pesakit.
Walaupun cara rawatan ini tiada dasarnya dalam Al-Quran dan hadis, namun tidaklah salah untuk dicuba dan guna pakai kerana berdasarkan dalil umum yang membenarkan pengunaan Al-Quran untuk tujuan rawatan dan mengambil manfaat dari pengalaman manusia, selama mana tiada dalil yang jelas menolaknya.
*Berita Harian, 26 Januari 2014.