Loading...

Penggunaan janin untuk penghasilan sel tunjang (stem cell)

Soalan

Terdapat laporan bahawa Islam membenarkan penggunaan janin di bawah 14 hari bagi tujuan penghasilan sel tunjang. Pendirian ini berbeza sekali dengan pendirian Gereja Katolik yang lebih tegas dengan melarang sama sekali perbuatan sedemikian. Harap dapat memberi penjelasan.

Jawapan

(Oleh Ustaz Haniff Hassan)

Mengenai perkara di atas, ia telah difatwakan oleh Jawatankuasa Fatwa MUIS.

Berdasarkan fatwa berkenaan dibenarkan janin di bawah 14 haridigunakan bagi menghasilkan sel induk, yang mana dengan perbuatan sedemikian mengakibatkan kemusnahan janin berkenaan, kerana para ulama berpendapat bahawa larangan jelas membunuh janin ialah pada ketika janin berkenaan berusia 4 bulan atau lebih.

Pandangan ini berdasarkan kepada sebuah hadis sahih yang bermaksud: “Sesungguhnya setiap kamu diciptakan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari air mani, kemudian menjadi segumpal darah seperti demikian itu, kemudian jadi seketul daging seperti yang demikian juga, iaitu 40 hari, kemudian diutuskan kepadanya malaikat lalu diitup ruh padanya dan diperintahkannya menulis empat kalimat, iaitu rezekinya, umurnya, amalnya dan celaka atau bahagia.” (Riwayat Al-Bukhari danMuslim)

Walau bagaimanapun, Jawatankuasa Fatwa mensyaratkan perkara-perkara berikut:

1. ia dilakukan bagi tujuan penyelidikan yang bermanfaat bagi manusia.

2. bukan untuk tujuan pengklonan.

3. bukan menyebabkan pencampuradukan nasab dan keturunan e.g. mensemanikan air mani lelaki dan wanita yang bukan pasangan suami isteri yang sah.

4. tidak menyebabkan penghinaan atas kemuliaan manusia.

Adapun pandangan Gereja Katolik dalam persoalan ini, kita harus menghormati pendirian mereka. Walau bagaimanapun, hukum Islam tidak tertakluk dengan pandangan mereka kerana hukum Islam dihasilkan melalui sumber-sumbernya yang tersendiri iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Kadangkala hukum Islam bersesuaian dengan ketetapan gereja Katolik seperti pengharaman pengguguran janin dan kadangkala berbeza.

Para ulama tidak menghasilkan hukum dengan melihat sumber yang ada pada agama lain atau bergantung kepada pandangan agama lain. Oleh itu, tidak timbul persoalan tegas atau tidak tegas dalam isu ini.