Loading...

Menzihar isteri*

Soalan

Suami saya telah melafazkan kata-kata “Awak seperti ibu saya yang suka berleter”. Adakah suami saya telah melakukan zihar?  Bagaimanakah kedudukan kami sebagai suami isteri?

Jawapan

(Oleh Ustaz Haniff Hassan)

Zihar ialah perbuatan suami menyerupakan isterinya (khususnya anggota badan) dengan wanita yang haram dikahwini untuk selama-lamanya. Sebagai contoh, si suami berkata “Mulai hari ini, tubuh badan kau adalah seperti tubuh ibuku. Oleh itu, aku tidak akan menyentuh kau lagi.”

Wanita-wanita yang haram dikahwini selama-lamanya bagi seorang lelaki ialah:

• Ibu kandung dan ibu tiri, nenek dan ke atas.

• Anak perempuan, cucu, cicit dan ke bawah.

• Adik beradik kandung, seibu dan sebapa.• Ibu saudara (Mak Cik), sebelah ibu dan bapa, ke atas.

• Anak dari adik beradik kandung lelaki atau perempuan (anak saudara) ke bawah.

• Anak dari adik beradik sebapa ke bawah.

• Emak mertua, ibu kepada emak mertua dan ke atas.• Anak tiri (jika ibunya telah disetubuhi).

• Menantu.

Zihar asalnya adalah amalan jahiliyah yang bertujuan untuk menceraikan isteri – salah satu cara menceraikan isteri. Islam lalu membatalkan amalan sedemikian. Maka menziharkan isteri tidak lagi mengakibatkan perceraian tetapi menjadi kesalahan yang dikenakan denda (kaffarah).Pensyariatan zihar tercatat dalam firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Mujadalah, ayat ke 1 – 3 (sila rujuk tafsir bagi ayat berkenaan).

Zihar hanya boleh berlaku jika ia dilakukan oleh suami.

Perkataan isteri menyamakan suami dengan mahram si isteri tidak mengakibatkan berlaku zihar.

Zihar adalah perbuatan yang dilarang dan yang melakukannya adalah berdosa. Ia adalah kesalahan yang serius. Maka sebab itu denda (kaffarah) ke atas yang melakukannya adalah berat iaitu;

• memerdekakan hamba, jika tidak mendapati hamba• berpuasa dua bulan berturut-turut, jika tidak mampu

• memberi makan 60 orang miskin pada kadar 1 kati seorang (kira-kira 600 gram).

Selama si suami belum membayar denda (kaffarah), dia tidak boleh menggauli isterinya.

Jika dia menggauli isterinya, dia berdosa dan kaffarah masih menjadi hutang ke atasnya. Terdapat dua jenis kata-kata yang menyebabkan zihar, iaitu;

Kata-kata yang jelas seperti “Punggung awak haram ke atas saya seperti punggung ibu saya”.

Kata-kata sindiran seperti “Awak ni macam ibu saya” atau apa jua kata-kata yang mengandungi penyerupaan dengan mahram suami tetapi tidak jelas sama ada untuk tujuan pengharaman isteri ke atas suami atau tujuan lain.

Apabila si suami melafazkan kata-kata yang jatuh dalam lafaz zihar sindiran, zihar tidak berlaku kecuali jika si suami berniat untuk mengharamkan si isteri ke atas dirinya.

Termasuk dalam hal ini ialah memuji isteri dengan mengumpamakan dia dengan ibu atau mahramnya seperti jika suami berkata “Wajah awak, macam wajah ibu saya muda-muda” atau “Awak pandai masak seperti ibu saya.” Walau bagaimanapun, kata-kata sedemikian sebaiknya dijauhi bagi mengelakkan syubhat.

Berkaitan dengan soalan yang ditanya, kata-kata suami yang sedemikian dikira sebagai kata-kata sindiran kerana ia adalah penyerupaan pada perbuatan bukan pada anggota tubuh dan tidak jelas maksudnya untuk mengharamkan si isteri.

Oleh itu, tidak berlaku zihar kecuali si suami berniat untuk zihar.

Jika tidak berlaku zihar, ikatan suami isteri kekal seperti sedia kala.

*Berita Minggu, 22 Disember 2002.