Loading...

Suami yang tidak mahu memberi nafkah batin*

Soalan

Saya sudah berumah tangga selama tiga tahun. Selama perkahwinan kami, suami saya tidak memberi nafkah batin kepada saya. Walaupun sudah puas menegurnya, beliau tetap tidak mahu mengambil peduli tentang hak saya itu. Sebelum berkahwin saya telah disahkan oleh doktor akan mempunyai masalah untuk mengandung dan saya telah memaklumkan kepada beliau tetapi beliau tetap bersetuju untuk berkahwin dengan saya. Beliau pernah berkata tidak guna berhubungan kerana saya tidak mampu mengandung.

     Disebabkan itu, saya berasa sangat tertekan. Selain daripada kaunseling, boleh saya tahu adakah cara lain yang boleh mengatasi masalah ini.

Jawapan

(Oleh Ustaz Haniff Hassan)

Salah satu dari tujuan pernikahan dalam Islam ialah untuk membolehkan manusia memenuhi naluri seks yang semula jadi wujud dalam diri manusia dengan cara yang benar dan bertanggungjawab.

Oleh itu, menjadi kewajipan suami dan isteri untuk saling memenuhi keperluan seks masing-masing. Menjadi hak setiap suami dan isteri juga untuk mendapatkan layanan seks dari pasangannya. Seks bukan hanya hak suami dan kewajipan isteri terhadap suami tetapi juga hak isteri dan kewajipan suami terhadapnya. Allah s.w.t. berfirman di dalam surah Al-Baqarah, ayat ke 187, yang bermaksud: “Kamu adalah pakaian bagi mereka dan mereka adalah pakaian bagi kamu.” dan firman-Nya lagi di dalam surah At-Talaq, ayat ke 6, yang bermaksud: “Dan janganlah kamu menyusahkan mereka untuk menyempitkan (hati) mereka.”

Oleh itu, keengganan seorang suami untuk memberi nafkah batin kepada isterinya selama tiga tahun adalah satu perbuatan yang zalim dan berdosa.

Di dalam hukum kekeluargaan Islam terdapat apa yang dinamakan sebagai ilaa’ iaitu apabila suami bersumpah tidak mahu menggauli isterinya dan berlalu tempoh empat bulan.

Jika berlalu lebih dari empat bulan, para ulama berpendapat bahawa isteri berhak menuntut untuk diberi nafkah batin atau diceraikan. Jika suami tetap tidak mahu memberi nafkah batin dan tidak mahu pula menceraikan isterinya, maka hakim Mahkamah Syariah boleh menceraikan mereka.

Imam Malik berpendapat bahawa suami dianggap telah melakukan ilaa’ apabila dia secara sengaja tidak mahu memberi nafkah batin dengan maksud menganiaya si isteri atau tanpa sebab yang munasabah walaupun si suami tidak bersumpah kerana perbuatan dia menimbulkan kemudaratan kepada isteri.

Kewajipan menunaikan nafkah batin tidak ada kena mengena dengan keupayaan isteri untuk mengandung atau memberi zuriat. Memperolehi zuriat hanyalah salah satu dari tujuan kahwin dan hubugan seks. Hubungan seks juga bertujuan untuk menyalurkan naluri semulajadi yang ada dalam diri manusia baik lelaki atau perempuan. Walaupun puan, tidak boleh mengandung tetapi, sebagai manusia biasa, puan tetap ada naluri seks dan suami puan bertanggungjawab untuk melayan dan memenuhi keperluan itu.

Jika suami puan mahukan zuriat, beliau mempunyai pelbagai pilihan untuk mencapai hasrat beliau dan ketidakupayaan puan boleh dihadapi dengan pelbagai cara tetapi beliau tidak boleh menidakkan hak puan untuk mendapat nafkah batin.

Dalam konteks Singapura khususnya, selain dari melalui proses kaunseling bagi mengetahui masalah sebenar keengganan suami puan dan penyelesaian masalah ini, puan berhak untuk mengadukan masalah puan ini ke Mahkamah Syariah Singapura.

Hal ini adalah kerana umumnya semua pernikahan di Singapura dijalankan secara taklik yang mana si suami setelah melakukan akad nikah akan membuat pernyataan bahawa jika dia gagal untuk memberi nafkah zahir dan batin kepada isterinya dan isterinya mengadu kepada Mahkamah Syariah, lalu didapati aduan itu benar, Mahkamah Syariah berhak untuk menjatuhkan hukuman jatuh satu talak.

Jika didapati keengganan suami untuk memberi nafkah batin disebabkan ketidakupayaannya, maka puan berhak juga untuk menuntut fasakh dari Mahkamah Syariah. Fasakh ialah apabila suami dan isteri diceraikan atas perintah mahkamah bukan kerana si suami melafazkan cerai.

Oleh itu, puan berhak untuk mengadukan perkara ini ke Mahkamah Syariah bagi menyelesaikan masalah puan atau memutuskan pernikahan secara taklik atau fasakh.

Bagi mendapatkan maklumat mengenai prosedur dan proses di Mahkamah Syariah, puan boleh hubungi Mahkamah Syariah.

*Berita Minggu, 15 Disember 2002.