Nikah gantung

Soalan

Apakah makna nikah gantung? Adakah ia tercatat dalam Islam? Bolehkah mereka duduk serumah?

Jawapan

(Oleh Ustaz Haniff Hassan)

Nikah gantung ialah satu keadaan yang mana sepasang lelaki danperempuan dinikahkan mengikut segala syarat-syarat nikah dalam Islam tetapi ditangguhkan tinggal bersama sehingga hari persandingan.

Nikah gantung hanyalah satu adat yang diamalkan oleh masyarakat Melayu dan beberapa masyarakat lain.

Dalam Islam, apabila sepasang lelaki dan perempuan dinikahkan mengikut syarat-syarat nikah, maka terjalinlah ikatan suami isteri antara mereka dengan setiap pihak memikul tanggungjawab dan hak masing-masing termasuklah duduk serumah.

Biasanya isu nikah gantung timbul kerana permintaan orang tua salah satu pihak atau keduanya atas sebab tertentu. Sama ada pasangan berkenaan mahu memenuhi permintaan ‘elak’ dari tinggal bersama dan‘berhubungan’ tertakluk kepada budi bicara dan keredhaan masing-masing.

Islam menggalakkan umatnya bernikah dan tidak menyukai amalan-amalan yang menyukarkan lelaki dan perempuan untuk bernikah dan hidup sebagai suami isteri yang halal seperti meninggikan mahar atau wang hantaran.

Apatah lagi jika amalan sedemikian tidak mempunyai maslahat yang diakui oleh syara‘.

Kesimpulannya, nikah gantung tidak salah di sisi agama. Namun baik atau tidak ia diamalkan bergantung pada tujuan dan cara pelaksanaannya. Jika tujuannya baik di sisi agama dan tidak bercanggah dengan mana-mana hukum atau ruh dari ajaran agama, hukumnya adalah harus dan jika sebaliknya pula, maka hukumnya adalah tercela.