Soalan
Adakah betul seorang “Sharifah” tidak boleh berkahwin kecuali dengan “Syed” kerana ingin menjaga nasab Rasulullah s.a.w.? Masalahnya di sini saya mendapati susah hendak cari seorang “Syed” yang baik.
Jawapan
(Oleh Ustaz Haniff Hassan)
Dalam Islam, kemuliaan seseorang itu diukur pada ketaqwaannya, bukan keturunannya. Hakikat ini disebut jelas dalam surah Al-Hujurat, ayat ke 13, yang bermaksud, “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu,(bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).”
Di dalam sebuah hadis sahih, Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Tiada kelebihan di antara orang Arab dengan bukan orang Arab kecuali dengan taqwa”. (Riwayat Ahmad)
Kalau berketurunan Nabi s.a.w. itu jaminan bagi kesolehan dalam agama, tidaklah anak Nabi Nuh sesat dari hidayah Allah.
Apabila mencari pasangan hidup, garis panduan utama yang diajarkan oleh Nabi s.a.w. ialah, sebagaimana sabdanya yang bermaksud “Seorang wanita itu dinikahi kerana empat; kerana hartanya, kerana keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka hendaklah diutamakan yang beragama, nescaya kamu berbahagia.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Oleh itu, tidak salah sama sekali bagi seorang “Sharifah” untuk berkahwin dengan lelaki soleh yang bukan “Syed”. Tidak wajib juga tunggu untuk berjumpa seorang “Syed” yang soleh baru boleh berkahwin.
Bahkan, pada pandangan saya, jika seorang berketurunan “Syed/Sharifah”, hanya mahu berkahwin dengan “Syed/Sharifah” sahaja tanpa lihat kesolehannya atau menangguh perkahwinan yang dianjurkan oleh agama semata-mata kerana menanti “Syed/Sharifah” yang soleh muncul dalam hidupnya, adalah satu sikap yang tidak disukai oleh agama kerana ia menampakkan nilai-nilai ‘asabiyah pada darah keturunan, melebihi pertimbangan terhadap taqwa dan menangguhkan sesuatu yang amat dianjurkan agama. Tambahan pula jika individu berkenaan merasa bahawa perkahwinan akan berperanan memelihara dirinya dari maksiat.
Hakikatnya, perkahwinan seorang “Sharifah” dengan keturunan bukan “Syed” telah pun berlaku.
Saya tidak tahu akan wujudnya hadis yang menyuruh seorang “Sharifah” berkahwin dengan “Syed” sahaja demi menjaga nasab keturunan Rasulullah s.a.w.