Apabila suami merajuk dan meninggalkan rumah*

Soalan

Apakah hukumnya suami yang kerap meninggalkan isteri untuk pulang ke rumahnya sendiri beberapa hari setelah bertengkar dengan si isteri?

Dalam keadaan yang disebutkan di atas, jika si isteri hendak pergi ke pasar atau keluar bersama kakak atau adiknya tanpa pengetahuan suami yang telah melarikan diri dan tidak mahu dihubungi buat seketika, adakah ini salah buat si isteri atau dibolehkan?

Bagaimana pula, dalam keadaan begini, jika isteri hendak ke kelas agama. Adakah salah dari sisi hukum jika si isteri tidak boleh menghubungi suaminya untuk meminta izin?

Jawapan

(Oleh Ustaz Haniff Hassan)

Tidak salah untuk suami kembali ke rumahnya sendiri setelah bertengkar dengan isteri, selama mana perbuatannya ini tidak menyebabkan pengabaian tanggungjawabnya kepada keluarga dan tidak melebihi tiga hari.

Islam melarang perbuatan memboikot sesama Muslim ketika berlaku perselisihan lebih dari tiga hari berdasarkan hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud, “Tidak halal bagi seorang Muslim tidak bertegur sapa saudaranya melebihi tiga hari, kedua-duanya bertemu, lantas saling berpaling muka antara satu sama lain. Yang terbaik antara mereka ialah orang yang memulakan salam.” (Riwayat Muslim)

Hukum hadis ini umum yang meliputi juga hubungan suami isteri.

Bahkan boleh dihujahkan menjauhi perbuatan tidak bertegur sapa melebihi tiga hari antara pasangan suami isteri lebih utama lagi kerana hubungan berkenaan lebih penting dari hubungan antara sesama Muslim.

Persoalannya ialah sama ada bagus atau tidak perbuatan seperti itu? Hal ini bergantung pada keadaan.

Bagi sesetengah orang, ia adalah satu cara untuk mencari ketenangan bagi menyelesaikan masalah atau mengelak dari masalah yang lebih besar.

Jika ia memang berhasil dan memberi manfaat sedemikian, tidaklah mengapa untuk si suami melakukannya. Namun perlulah difahami bahawa perbuatan sedemikian bukanlah cara utama menyelesaikan masalah suami isteri.

Yang lebih patut dilakukan ialah perbincangan yang jujur tentang masalah yang diperselisihkan setelah rehat dan tenang.

Jika tidak, perbuatan seperti itu hanya ibarat mengelak dari masalah semata-mata.

Jika dibiasakan, ia berpotensi untuk memburukkan hubungan suami isteri pada jangka masa panjang.

Apabila suami meninggalkan rumah seperti ini, tidak mengapa bagi isteri untuk keluar rumah bagi tujuan menunaikan kewajipannya seperti ke pasar, menghantar anak ke sekolah; atau jika ada keperluan i.e. berjumpa doktor kerana sakit, ziarah keluarga, berehat untuk tenangkan fikiran; atau kerana memang rutin harian yang dimaklumi oleh suami seperti bekerja atau ke kelas agama.

Namun jika ada kebimbangan bahawa anda keluar rumah akan menimbulkan fitnah atau memburukkan keadaan, bersikap hemah (prudence) adalah satu perkara yang bijaksana.

*Berita Harian, 24 Mei 2013.