Soalan
Adakah seorang isteri mempunyai hak meminta cerai daripada suami kerana kata-kata suami dan sifatnya yang berdendam?
Apa pula hak si isteri membuat tuntutan, misalnya ke atas rumah dan wang CPF suami, sedangkan suaminya tidak mahu cerai tetapi si isteri berkeras juga?
Jawapan
(Oleh Ustaz Haniff Hassan)
Cerai dibenarkan oleh Islam sebagai satu jalan keluar dari masalah rumahtangga. Namun pada dasarnya ia bukan satu jalan yang disukai oleh Islam.
Ia hendaklah dijadikan sebagai jalan akhir. Perdamaian (sulh) lebih disukai oleh agama ini sebagaimana firman Allah s.w.t. di dalam surah An-Nisaa’, ayat ke 128, yang bermaksud, “Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul dari suaminya “nusyuz” (kebencian), atau tidak melayaninya, maka tiadalah salah bagi mereka (suami isteri) membuat perdamaian di antara mereka berdua (secara yang sebaik-baiknya), kerana perdamaian itu lebih baik (bagi mereka daripada bercerai-berai); sedang sifat bakhil kedekut (tidak suka memberi atau bertolak ansur) itu memang tabiat semula jadi yang ada pada manusia. Dan jika kamu berlaku baik(dalam pergaulan), dan mencegah diri (daripada melakukan kezaliman), maka sesungguhnya Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya akan apa yang kamu lakukan.”
Hal ini diperakui oleh semua ulama.
Walaupun Islam memberi hak menjatuhkan talak pada suami tapi itu tidak bermakna isteri tidak berhak untuk bercerai.
Dalil bahawa isteri berhak meminta dirinya diceraikan dapat dilihat dalam hadis berikut:
“Isteri Tsabit bin Qais telah datang pada Nabi s.a.w. dan berkata dengan maksud, ‘Wahai Rasulullah, aku tidak mencela akhlak dan agama suamiku, Thabit bin Qois, tetapi aku takut berbuat kekufuran dalam Islam[inkar pada suami].’ Maka Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, ‘Apakah kamu [bersedia] mengembalikan kebunnya [kembalikan mahar perkahwinan bagi menebus talak]?” Dia berkata, ‘Ya’. Rasulullah s.a.w. pun berkata kepada Thabit, ‘Terimalah kembali kebun tersebut dan ceraikanlah ia!’” (Riwayat Al-Bukhari)
Dalam sebuah hadis lain ada diterangkan pula bahawa sebab isteri Tsabit minta diceraikan ialah kerana Thabit berwajah dan berfizikal yang hodoh. Si isteri sukar menerima beliau hingga beliau berkata, “Wahai Rasulullah, demi Allah, kalau bukan kerana takut kepada Allah, aku pasti akan meludahi wajahnya jika ia masuk menemuiku.” (Riwayat Ibn Majah)
Beberapa pengajaran dari hadis ini ialah:
• Wanita boleh minta cerai jika bersebab.
• Rasulullah s.a.w. benarkan perceraian atas sebab ketidaksesuaian pasangan suami isteri dan kesulitan isteri untuk menerima suami, walaupun dia seorang yang soleh, sehingga sukar mencapai tujuan berumah tangga.
• Satu kaedah cerai bagi isteri ialah menebus talak (khulu‘) iaitu isteri memberi sejumlah pembayaran pada suami untuk diceraikan sebagai ganti mahar yang telah diberi oleh suami padanya.
Di dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan oleh An-Nasa’i dan Ibn Majah, Rasulullah s.a.w. membenarkan isteri meminta cerai kerana suami telah mengkasari dirinya hingga cedera tubuhnya.
Adapun hadis popular yang mencela isteri yang meminta cerai yang bermaksud, “Sesiapa wanita yang meminta cerai dari suaminya tanpa sebab yang mendesak maka haram baginya bau syurga.” (Riwayat Abu Daud, At-Tirmizi dan Ibn Majah), ia bukan merujuk pada situasi yang mana si isteri tidak mempunyai sebab yang diakui atau jika atas tujuan derhaka.
Imam Ibn Hajar Al-Asqalani dalam buku Fath Al-Bari yang menghuraikan kitab Sahih Al-Bukhari berkata, “Sesungguhnya hadis-hadis tentang ancaman terhadap wanita yang meminta cerai, diertikan pada situasi wanita meminta cerai tanpa sebab.”
Perlu dimaklumkan bahawa Islam menyediakan pelbagai mekanisme bagi membolehkan isteri bercerai dari suaminya.
Selain dari cara biasa iaitu suami melafazkan talak dan cara khulu‘ yang dinyatakan dalam hadis di atas, isteri juga boleh bercerai melalui cara-cara:
• Taklik, iaitu apabila isteri mempunyai bukti bahawa suami telah melanggar taklik nikah i.e. gagal memberi nafkah (zahir dan batin) selama 4 bulan berturut, mencederakan isteri dan memalukan maruah isteri
• Fasakh, iaitu perceraian yang dibuat atas perintah Mahkamah Syariah atas sebab-sebab yang diperincikan oleh seksyen 49,AMLA.
Ertinya terdapat pelbagai mekanisme dalam Islam bagi isteri melepaskan diri dari ikatan perkahwinan walaupun jika si suami berkeras tidak mahu menjatuhkan talak ke atasnya.
Undang-undang di Singapura juga mengakui hak isteri untuk memulakan proses cerai dengan mendaftarkan keinginannya di Mahkamah Syariah tanpa izin dari suami (seksyen 47, AMLA).
Mahkamah kemudian akan memanggil kedua-dua suami dan isteri untuk melalui proses yang telah ditetapkan seperti kaunseling, perantaraan dan perbicaraan sebelum keputusan akhir dibuat.
Dalam permohonan cerai, isteri berhak dan akan diminta untuk menyatakan tuntutan-tuntutan beliau yang antaranya melibatkan perkara-perkara berikut:
• Tunggakan nafkah (jika ada).
• Nafkah semasa iddah.
• Mut‘ah (pembayaran saguhati suami kepada isteri yang diceraikan).
• Hak dalam harta sepencarian yang antaranya meliputi rumah (HDB dan privet), simpanan di bank dan wang di CPF.
• Hak penjagaan anak-anak.
Semua kes perceraian yang diputuskan oleh Mahkamah Syariah akan pasti menyentuh perkara-perkara di atas.
Namun, adakah isteri akan dapat apa yang dituntutnya (cerai dan hak-hak di atas) dan kadar yang diberikan bergantung pada pertimbangan Mahkamah Syariah berdasarkan fakta kes dan bukti yang ada.
Suka saya mencadangkan agar anda mendapatkan khidmat kaunseling di mana-mana pusat khidmat keluarga kendalian badan-badan Islam di sini sebelum anda mengambil langkah ke Mahkamah Syariah untuk memulakan proses cerai.
Tujuannya ialah untuk anda mendapat nasihat yang lebih mendalam bagi membantu selesaikan masalah anda dan kepastian sama ada baik atau sebaliknya.
Kaunseling juga penting untuk memastikan anda benar-benar mempunyai sebab yang sah.
Sama ada perbuatan suami anda yang berkata kasar dan berdendam adalah sebab yang sah memerlukan penerangan terperinci mengenai konteks dan sejarah perkahwinan anda.
Hal ini lebih baik dilakukan melalui kaunseling secara bersemuka kerana keterbatasan ruang dan cara komunikasi melalui akhbar ini.
Hasil dari sesi kaunseling bersemuka ini, mungkin ada penyelesaian selain dari perceraian.
Ia juga membantu anda mengenali hak-hak anda dalam hal ini dan kemungkinan risiko-risko yang tidak diketahui sebelum ini.
Jika anda masih tetap ingin bercerai setelah kaunseling, berjumpalah dengan peguam untuk mendapatkan pula nasihat tentang pilihan-pilihan yang ada di tangan anda di sisi undang-undang.
Anda juga perlu pertimbangkan untuk dapatkan khidmat peguam sebagai wakil anda dalam proses perceraian.
Bersikap terbukalah terhadap pelbagai pandangan yang anda terima berkaitan masalah anda kerana Al-Quran menganjurkan sikap sedemikian, sebagaimana firman Allah s.w.t. di dalam surah Az-Zumar, ayat ke 17-18, yang bermaksud, “Dan orang-orang yang menjauhi dirinya dari menyembah atau memuja Taghut serta mereka rujuk kembali taat bulat-bulat kepada Allah, mereka akan beroleh berita yang mengembirakan(sebaik-baik sahaja mereka mulai meninggal dunia); oleh itu gembirakanlah hamba-hamba-Ku – Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum agama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna.”
Beringatlah juga bahawa Al-Quran memberitahu ada perkara yang kita suka tetapi tidak baik bagi kita dan ada pula yang kita benci tetapi ia baik bagi kita melalui firman-Nya di dalam surah Al-Baqarah, ayat ke 216, yang bermaksud, “Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan(ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.”
*Berita Harian, 7 Jun 2013.