Isu berkabung bagi balu*

Soalan

Adakah boleh wanita yang sedang berkabung kerana kematian suami (4 bulan dan 10 hari) keluar rumah untuk belajar ilmu agama atau membaca Al-Quran walaupun dia sudah pun mempunyai asas?

Apakah hukum wanita ke kubur untuk menghantar jenazah atau menziarah kubur kerabat yang telah meninggal dunia untuk membersihkannya?

Jawapan

(Oleh Ustaz Haniff Hassan)

Harus bagi balu yang sedang berkabung kerana kematian suami iaituselama 4 bulan dan 10 hari untuk keluar rumah jika ada keperluan. Termasuk dalam keperluan ialah:

• BEKERJA memenuhi urusan penting dan tanggungjawab pada keluarga seperti ke pasar dan hantar anak ke sekolah, ziarah ibu bapa bagi menjaga kebajikan mereka, mendapatkan rawatan kerana sakit, menuntut ilmu dan yang seumpamanya.

Yang perlu ditinggalkan ialah keluar rumah untuk tujuan sosial dan hiburan kerana ia bercanggah dengan salah satu tujuan berkabung iaitu menghormati kematian suami, menjaga perasaan ahli keluarganya dan mengelak dari membuka pintu fitnah.

Dalil tentang kawajipan dan tempoh berkabung ialah:

•Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Baqarah, ayat ke 234, yang bermaksud: “Orang-orang yang meninggal dunia di antaramu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beriddah) empat bulan sepuluh hari. Kemudian apabila telah habis iddahnya, maka tiada dosa bagimu (para wali) membiarkan mereka berbuat terhadap diri mereka menurut yang patut. Allah mengetahui apa yang kamu perbuat.”

• Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Tidak halal (haram) bagi wanita yang beriman dengan Allah ta‘ala dan rasul-Nya untuk berkabung ke atas jenazah selama lebih daripada tiga hari kecuali bagi suaminya” (Riwayat Muslim)

Dalil yang menganjurkan kekal di rumah ialah maksud hadis berikut:

• “Dari Furai‘ah Binti Malik bahawa suaminya keluar untuk mencari budak-budak miliknya, lalu mereka membunuhnya. Kemudian aku meminta kepada Rasululah s.a.w. agar aku boleh pulang kepada keluargaku, sebab suamiku tidak meninggalkan rumah miliknya dan nafkah untukku. Beliau bersabda: “Ya.” Ketika aku sedang berada di dalam kamar, beliau memanggilku dan bersabda: “Tinggallah dirumahmu hingga masa iddah selesai.” Ia berkata: Aku beriddah di dalam rumah selama empat bulan sepuluh hari. Ia berkata, ‘Setelah itu Usman juga menetapkan seperti itu.’” (Riwayat Ahmad)

Dalil yang mengharuskan seorang balu yang sedang berkabung untuk keluar rumah kerana keperluan, di sisi sebahagian ulama, pula ialah firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Baqarah, ayat ke 240, yang bermaksud, “Dan orang-orang yang akan meninggal dunia di antaramu dan meninggalkan isteri, hendaklah berwasiat untuk isteri-isterinya, (iaitu) diberi nafkah hingga setahun lamanya dengan tidak disuruh pindah (dari rumahnya). Akan tetapi jika mereka pindah (sendiri), maka tidak ada dosa bagimu (wali atau waris dari yang meninggal) membiarkan mereka berbuat yang makruf terhadap diri mereka. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”

Selain itu, larangan keluar rumah sama sekali adalah sesuatu yang tidak praktikal dan menyulitkan sedangkan Islam adalah agama yang mudah dan praktikal.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Permudahkanlah dan jangan menyusahkan. Gembirakanlah dan jangan menyebabkan orang lari [dari agama].” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Namun apabila keluar rumah, para balu tidak dibenarkan dari berhias seperti yang biasa dilakukan oleh wanita-wanita lain. Termasuk dalam berhias ialah:

• Memakai pakaian-pakaian yang berwarna warni yang pada adatnya dianggap sebagai satu bentuk solekan diri

• Memakai alat-alat solek pada tubuh seperti celak, gincu dan wangian.

• Memakai alat perhiasan atau barang kemas.

Pengecualian diberikan pada solekan sedikit atas dasar keperluan seperti sedikit haruman untuk menghilangkan bau badan atau bedak yang tipis bagi menutup kepucatan wajah.

Hal ini disebutkan dalam hadis dari Um Atiyyah yang berkata dengan maksud, “Kami dilarang untuk berkabung selama lebih dari tiga hari atas kematian seseorang, kecuali atas kematian suami, iaitu selama 4 bulan 10 hari. Kami tidak memakai celak, wangi-wangian, dan tidak mengenakan pakaian yang dicelup. Dan kami diberi keringanan untuk menggunakan sedikit wewangian dan dupa ketika telah suci dari haid dan melakukan mandi.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Adapun hukum wanita ke kubur kerana menghantar jenazah atau menziarahi kubur keluarga ialah harus.

Dalil keharusannya ialah hadis yang bermaksud:

“Aku dahulu pernah melarang kamu menziarahi kubur, kini ziarahilah ia kerana ia mengingatkan kamu pada Akhirat.” (Riwayat Muslim).

Hadis ini menganjurkan ziarah kubur secara umum.

“Nabi s.a.w. berjalan melintasi seorang perempuan yang sedang menangis di kubur anaknya, lalu beliau s.a.w. bersabda: “Bertaqwalah engkau kepada Allah dan bersabarlah.” (Riwayat Al-Bukhari danMuslim).

Jika ziarah kubur bagi wanita adalah haram secara mutlak, Nabi s.a.w. pasti melarang wanita ini.

Ziarah yang terlarang sebagaimana yang diriwayatkan dalam beberapa hadis ialah ziarah yang menyebabkan wanita itu jatuh dalam emosi yang buruk hingga menimbulkan rasa tidak redha pada takdir dan tingkah laku seperti meraung dan meratap sebagaimana yang dicegah oleh hadis yang bermaksud, “Bukan dari (golongan) kami orang yang menampar pipi, menyobek baju dan mencaci dirinya dengan cacian jahiliyah.” (RiwayatAl-Bukhari)

Selain itu, hendaklah menjaga adab-adab yang dianjurkan ke atas semua penziarah (lelaki dan wanita) dan tidak melakukan perbuatan-perbuatan yang tidak ada anjuran dalam agama seperti memasang payung di atas kubur.

*Berita Harian, 31 Mei 2013.