Loading...

Pergi haji menurut giliran kuota tetapi hutang rumah masih ada

Soalan

Saya masih mempunyai hutang tertunggak untuk rumah dan kereta saya. Saya dapat panggilan dari MUIS mengenai permohonan untuk mengerjakan ibadah haji yang telah saya lakukan lima tahun lalu. Ketika itu saya tidak mempunyai sebarang hutang. Adakah saya boleh teruskan ibadah haji atau saya perlu selesaikan dahulu hutang yang masih banyak tertunggak?

Jawapan

(Oleh Ustaz Mustazah Bahari)

Haji merupakan rukun Islam yang kelima. Setiap Muslim yang mempunyai kemampuan untuk melaksanakan haji perlu berusaha untuk melaksanakannya. Kemampuan yang dimaksudkan ialah mampu menyediakan keperluan perbelanjaan untuk diri sendiri sepanjang berada di Mekah dan juga keperluan nafkah bagi keluarganya yang ditinggalkan. Selain itu, kemampuan juga perlu dilihat dari sudut kesihatan dan komitmen kerja. Jika dia tidak sihat, malah boleh menambahkan kemudaratan bagi kesihatannya, maka dia dianggap tidak berkemampuan. Begitu juga jika dia terikat dengan tugas yang dipertanggungjawabkan ke atasnya sehingga tiada sesiapa yang boleh menggantikan tempatnya, maka dia juga tidak wajib melaksanakan haji pada tahun itu. Ringkasnya, keadaan kewangan dan perbelanjaan yang selesa serta kesihatan yang normal dan komitmen kerja yang tidak terikat, membolehkan seseorang untuk teruskan ibadah haji.

Hutang merupakan salah satu halangan bagi seseorang untuk mengerjakan haji.

Tetapi, larangan ini bukanlah pasti dan tidak boleh diubah. Para ulama telah membahaskan secara terperinci mengenai orang yang mempunyai hutang tetapi ingin menunaikan haji. Walaupun dasarnya tidak dibolehkan, namun terdapat beberapa keadaan yang membenarkan seseorang yang berhutang untuk melaksanakan haji. Syarat-syarat yang membenarkan seseorang yang berhutang untuk mengerjakan haji ialah;

• Hutangnya tidak terikat dengan sebarang syarat yang lain seperti syarat mewajibkannya memulangkan wang pinjaman dengan kadar segera.

• Tidak terbeban dengan hutang yang sedia ada. Keadaan ini biasa berlaku di kalangan kita apabila berhutang untuk membeli barang yang mahal dan tidak mampu untuk mengeluarkan wang tunai secara spontan seperti membeli kereta, perabot dan alat elektrik bagi keperluan rumah.

• Hajinya dibiayai oleh pihak lain secara percuma, seperti individu yang diundang oleh kerajaan Arab Saudi atau mana-mana pihak yang memberi pembiayaan percuma.

Tidak dinafikan hutang perlu segera dilunaskan tetapi ia tidak mengikat manusia untuk berhenti dari melakukan kewajipan-kewajipan yang lain.

Apatah lagi jika dilihat dari sudut sistem kuota yang dilaksanakan oleh kerajaan Arab Saudi serta sistem ikut giliran yang dilakukan oleh pihak MUIS ketika ini yang menjadikan seseorang sukar untuk menentukan bila masa yang tepat untuk dia mengerjakan haji. Justeru, bila dapat peluang untuk mengerjakan haji dalam keadaan diri tidak menghadapi masalah kewangan, maka menyahut seruan haji itu adalah harus.