Soalan
Kebelakangan ini, suami saya balik lewat dan nampak sangat letih. Adakalanya, beliau masuk bilik dan terus tidur. Beliau akan bangun pada waktu subuh. Setahu saya, beliau belum lakukan solat Isyak sebelum tidur. Saya pernah kejutkan beliau pada tengah malam untuk solat Isyak tapi dia tak mahu bangun. Oleh kerana saya kesiankan dia, saya biarkan sahaja. Adakah saya berdosa kerana tidak berusaha untuk kejutkan dia untuk solat, sehingga terlepas waktu solat?
Jawapan
(Oleh Ustaz Mustazah Bahari)
Solat merupakan tiang agama. Solat juga menjadi ukuran dan penentu bagi tahap iman seseorang. Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud, “Solat adalah tiang agama, sesiapa yang mendirikannya, maka dia telah menegakkan agamanya, dan sesiapa yang meninggalkannya, maka dia telah meruntuhkan agamanya.” (Riwayat At-Tirmizi)
Islam adalah agama yang penuh rahmah dan memberi ruang yang seluasnya untuk umatnya mendapat kemudahan dalam beramal.
Di dalam konteks melaksanakan solat lima waktu, terdapat waktu yang diistilahkan sebagai muwassa‘ iaitu waktu yang dilapangkan untuk melakukan solat. Sebagai contoh, solat Zuhur boleh dilakukan pada awal waktu yang ditentukan hinggalah sebelum masuk waktu solat asar. Jangka masa antara waktu zuhur dan asar adalah waktu yang dibenarkan untuk mengerjakan solat. Sesiapa yang solat dalam waktu tersebut, sama ada pada awalnya, pertengahan atau akhir waktu, dianggap telah melaksakan solat Zuhur. Cuma solat pada akhir waktu yang hanya tinggal beberapa minit sahaja lagi, termasuk dalam istilah mudhayyaq iaitu sempit, adalah makruh.
Berbalik kepada soalan mengenai hukum mengejutkan orang yang tidur untuk mengerjakan solat, terdapat dua pendapat di kalangan para ulama.
Pendapat pertama mengatakan ia adalah sunat sekiranya diketahui orang yang tidur itu tidak lama tidurnya dan tidak pernah terlepas waktu solat.
Pendapat kedua pula mengatakan bahawa mengejutkan orang tidur untuk solat adalah wajib jika telah masuk waktu, lebih lebih lagi jika waktu solat sudah berada di penghujungnya.
Imam An-Nawawi berkata di dalam kitab Syarh Al-Muhazzab, “Mengejutkan orang yang sedang tidur adalah digalakkan lebih-lebih lagi jika waktu telah sempit, berpandukan firman Allah s.w.t. yang bermaksud, “Dan saling bantu membantulah kamu dalam kebaikan dan taqwa..” Begitu juga berlandaskan hadis Aisyah r.a. yang mengatakan bahawa Nabi s.a.w. apabila bangun untuk solat malam, Baginda akan mengejutkannya dari tidur untuk solat witir. (Riwayat Muslim)
Dari Abi Bakrah r.a., beliau berkata, “Saya telah keluar untuk solat Subuh bersama Rasulullah s.a.w. dan Baginda tidak melewati seorang lelaki pun yang sedang tidur, melainkan Baginda akan menyeru mereka untuk solat atau Baginda akan menggerak-gerakkan kaki mereka. ”(Riwayat Abu Daud)
Di dalam kitab I‘anat at-Talibin, Imam An-Nawawi menegaskan bahawa mengejutkan orang yang sedang tidur adalah sunat jika dia seorang yang tidak melampau dalam tidurnya. Tetapi jika dia tahu orang itu tidak akan bangun, maka wajib baginya untuk mengejutkannya.
Jika orang yang tidur itu tidak mempedulikan dan teruskan tidurnya tanpa solat, maka dia yang menanggung dosanya dan bagi orang yang mengejutkannya pula tidak berdosa sama sekali.