Soalan
Adakah wajib memakai telekung bagi wanita yang ingin solat?
Jawapan
(Oleh Ustaz Mustazah Bahari)
Di antara syarat sah solat adalah menutup aurat, baik lelaki mahupun wanita. Aurat wanita adalah seluruh badannya kecuali telapak tangan dan mukanya. Aurat ini perlu dijaga sama ada di dalam solat atau diluar solat apabila wanita tersebut berada bersama golongan yang bukan mahramnya.
Firman Allah s.w.t. di dalam surah An-Nur, ayat ke 31 yang bermaksud, “Katakanlah kepada orang laki–laki yang beriman, “Hendaklah mereka menahan pandanganya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah maha mengatahui apa yang mereka perbuat.” Katakanlah kepada wanita yang beriman, “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung kedadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.”
Perlu juga dijelaskan bahawa pakaian yang menutup aurat adalah pakaian yang tidak ketat dan tidak jarang sehingga menampakkan susuk tubuh dengan jelas.
Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud, “Wahai Asma! Sesungguhnya wanita jika sudah baligh maka tidak boleh nampak dari anggota badannya kecuali ini dan ini (beliau mengisyaratkan ke muka dan telapak tangan). (Riwayat Abu Daud dan Al-Baihaqi)
Jika cara pemakaian seseorang itu benar-benar menurut ciri-ciri yang ditetapkan syara‘, maka boleh sahaja baginya untuk melakukan solat dengan pakaiannya itu.
Telekung adalah pakaian untuk solat yang direka untuk kemudahan wanita yang ingin mengerjakan solat. Ia popular di kalangan wanita di Nusantara tetapi tidak dipakai oleh wanita-wanita di negara lain seperti Timur Tengah dan Barat. Justeru tidaklah menjadi satu kewajipan bagi wanita untuk memakai telekung jika ingin solat. Apa yang wajib adalah memakai pakaian yang menutup aurat yang sebenar dan bersih dari najis.