1 Teck Whye Crescent

Singapore 688847

Email Us At

info@alkhair.mosque.sg

DROP US A CALL

6760 1139

Solat di belakang imam yang fasik*

Soalan

Apakah hukum bersolat di belakang imam yang diketahui mengikuti ajaran yang difatwakan menyeleweng?

Jawapan

(Oleh Ustaz Mustazah Bahari)

Masalah untuk menentukan sah atau tidak solat seseorang merupakan satu isu yang dibahaskan secara terperinci oleh para ulama Islam.

Ia adalah satu masalah yang penting kerana solat merupakan tiang agama dan ia bersangkutan dengan keimanan dan keislaman seseorang.

Oleh kerana itu juga, para ulama mengambil sikap berhati-hati dalam menghuraikan masalah ini.

Secara dasar, hukum solat yang dilakukan secara tertib dan sempurna segala syarat dan rukunnya adalah sah.

Imam As-San‘ani dalam kitab Subul as-Salam ada menyebut satu kaedah, “jika solat seseorang itu sah untuk dirinya, maka ia juga sah baginya ketika menjadi imam.”

Secara umumnya, seorang imam yang diragui dalam hal akidahnya boleh dikategorikan sebagai golongan fasik.

Walau bagaimanapun, tahap fasiknya itu perlu dibahaskan secara terperinci.

Imam Asy-Syafi‘i di dalam kitab al-Umm berkata, “Saya tidak suka (makruh) berdirinya seorang yang fasik dan yang mendedahkan perbuatan bid‘ahnya sebagai imam solat. Sesiapa yang solat di belakang salah seorang di antara mereka, solatnya tetap sah dan tidak perlu diulangi.”

Pendapat yang sama dipegang oleh Imam Abu Hanifah.

Selanjutnya Imam Ibn Taimiyah berkata, “Para imam (ulama fiqh) bersepakat mengenai hukum makruh jika solat di belakang seorang imam yang fasik atau pelaku bid‘ah. Tetapi dalam masalah sah atau tidak solat tersebut terdapat khilaf di antara mereka. Imam Asy-Syafi‘i dan Abu Hanifah berpendapat solatnya sah. Manakala Imam Malik dan Ahmad berpendapat solatnya tidak sah, jika benar terbukti imam tersebut benar-benar melakukan banyak amalan yang bercanggah dengan Al-Quran dan Sunnah seperti golongan syiah rafidah dan jahmiyah. Adapun jika dia menjadi imam bagi solat Jumaat dan dua hari raya dan tidak ada masjid lain di tempat itu, maka tidak mengapa untuk solat di belakangnya kerana berjemaah dengannya lebih baik dari solat bersendirian.”

Menurut Imam An-Nawawi dalam kitab al-Majmu‘, “telah sabit didalam Sahih Al-Bukhari bahawa Ibn Umar [seorang sahabat] solat dibelakang Al-Hajjaj (seorang gabenor kerajaan Umawiyah di Iraq yang terkenal sebagai zalim). Selanjutnya beliau berkata, di dalam mazhab Asy-Syafi‘i, solat di belakang imam yang fasik adalah sah dan tidak haram, cuma hukumnya adalah makruh. Begitu juga solat di belakang seorang pelaku bid‘ah yang tidak dihukum sebagai kafir dengan amalan bid‘ahnya, hukumnya juga makruh sahaja. Tetapi jika dia melakukan amalan bid‘ah yang bersifat kufur, maka kami (mazhab Asy-Syafi‘i) menganggap solatnya tidak sah.”

Jika dilihat ketelitian para ulama dalam membahaskan masalah ini, ianya bermatlamat supaya kesatuan dan perpaduan umat dapat dipelihara dengan baik.

Bukanlah menjadi satu tanggungjawab ke atas masyarakat awam untuk mencari dan meneliti secara pasti keahlian atau kepercayaan seseorang imam yang dilantik.

Adalah menjadi tanggungjawab pihak berkuasa dalam hal perlantikan imam untuk bertindak mengikut fatwa yang dikeluarkan.

Jika benar terdapat kepastian bahawa imam tersebut mempunyai fahaman yang menyeleweng, maka sebaiknya diberi nasihat terlebih dahulu sebelum tindakan seterusnya dilakukan.

*Berita Harian, 18 Oktober 2013.