Soalan
Ketika saya membaca kitab sejarah, terlintas di fikiran saya, bagaimana cara orang dahulu mengerjakan solat? Adakah sama seperti kita?
Jawapan
(Oleh Ustaz Mustazah Bahari)
Syariat Islam adalah syariat bagi seluruh Nabi dan Rasul. Islam bukan sahaja syariat untuk Nabi Muhammad s.a.w. dan umatnya tetapi umat terdahulu juga yang patuh kepada perintah dan hukum Allah adalah Islam. Hal ini dapat difahami menerusi firman Allah s.w.t. di dalam surah Asy-Syura, ayat ke 13, yang bermaksud, “Allah telah menerangkan kepadakamu – di antara perkara-perkara agama yang Ia tetapkan hukumnya – apa yang telah diperintahkan-Nya kepada Nabi Nuh, dan yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), dan juga yang telah Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu: “Tegakkanlah pendirian agama, dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya”. Berat bagi orang-orang musyrik(untuk menerima agama tauhid) yang engkau seru mereka kepadanya. Allah memilih serta melorongkan sesiapa yang dikehendaki-Nya untuk menerima agama tauhid itu, dan memberi hidayah petunjuk kepada agama-Nya itu sesiapa yang rujuk kembali kepada-Nya (dengan taat).”
Untuk mengetahui cara umat terdahulu solat, perlu rujuk kepada nas-nas yang menjelaskan cara para Nabi terdahulu mengerjakan solat.
Ayat-ayat Al-Quran yang menyebut amalan solat para Nabi seperti berikut;
Surah Ibrahim, ayat ke 37, yang bermaksud, “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak ada tanaman padanya, di sisi rumah-Mu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami,(mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang.”
Surah Ibrahim, ayat ke 40, yang bermaksud, “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
Surah Yunus, ayat ke 87, yang bermaksud, “Dan (setelah itu), Kami wahyukan kepada Nabi Musa serta saudaranya (Nabi Harun): “Hendaklah kamu berdua mendirikan rumah-rumah di Mesir untuk menempatkan kaum kamu, dan jadikanlah rumah-rumah kamu tempat sembahyang, serta dirikanlah sembahyang di dalamnya; dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman (bahawa mereka akan diselamatkan dari kezaliman Fir‘aun dan kaumnya)”.
Surah Maryam, ayat ke 31, mengenai Nabi Isa yang bermaksud, “Dan Ia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada, dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup.”
Surah Ali-‘Imran, ayat ke 39, mengenai Nabi Zakaria yang bermaksud, “Lalu ia diseru oleh malaikat sedang ia berdiri sembahyang di Mihrab,(katanya): “Bahawasanya Allah memberi khabar yang mengembirakanmu, dengan (mengurniakanmu seorang anak lelaki bernama) Yahya, yang akan beriman kepada Kalimah dari Allah, dan akan menjadi ketua, dan juga akan menahan diri dari berkahwin, dan akan menjadi seorang Nabi dari orang-orang yang soleh”.
Adapun tatacara yang dilakukan tidak diperincikan, hanya disebut berdiri, rukuk dan sujud menerusi ayat-ayat berikut;
Surah Al-Baqarah, ayat ke 125, yang bermaksud, “Dan (ingatlah) ketika Kami jadikan Rumah Suci (Baitullah) itu tempat tumpuan bagi umat manusia (untuk Ibadat Haji) dan tempat yang aman; dan jadikanlah oleh Kamu Makam Ibrahim itu tempat sembahyang. Dan Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail (dengan berfirman): “Bersihkanlah Rumah-Ku (Kaabah dan Masjid Al-Haraam dari segala perkara yang dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf, dan orang-orang yang beriktikaf (yang tetap tinggal padanya), dan orang-orang yang rukuk dan sujud”.
Surah Ali-‘Imran, ayat ke 43, yang bermaksud, “Wahai Maryam! Taatlah kepada Tuhanmu, dan sujudlah serta rukuklah (mengerjakan sembahyang) bersama-sama orang-orang yang rukuk “.
Seterusnya Nabi s.a.w. juga menjelaskan di dalam beberapa hadis mengenai cara solat umat terdahulu secara umum.
Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud, “Aku melalui Musa di al-Katib al-Ahmar pada malam aku diisra’kan, aku dapati dia sedang solat di dalam kuburnya.” (Riwayat Muslim)
Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud, “Kami dari kalangan para Nabi diperintahkan untuk menyegerakan berbuka puasa, melambatkan sahur dan meletakkan tangan kanan ke atas tangan kiri dalam solat.” (Riwayat At-Tabrani)
Dari Ubay bin Ka‘ab katanya, adalah Nabi s.a.w. berwudhu’ dengan membasuh tiga kali, lalu Baginda bersabda yang bermaksud, “Inilah cara wudhu’ku dan wudhu’ para Nabi sebelumku.” (Riwayat Ibn Majah)
Dengan ini, jelas menunjukkan kesamaan solat dari sudut berdiri, rukuk dan sujud. Sudut bacaan tertentu dan bilangan rakaat tidak disebut secara terperinci.
Selanjutnya, solat yang dilakukan oleh umat Islam setelah difardhukan lima waktu sehari semalam, pada asalnya dilakukan hanya 2 rakaat sahaja melainkan solat maghrib. Ini berpandukan hadis Aisyah r.a. yang bermaksud, “Solat telah difardhukan sebanyak dua rakaat, kemudian Nabi s.a.w. berhijrah lalu difardhukan empat rakaat dan dikekalkan solat ketika safar sebanyak dua rakaat.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)