Solat sunat qabliah (sebelum) Jumaat

Soalan

Adakah terdapat solat sunat qabliah Jumaat?

Jawapan

(Oleh Ustaz Mustazah Bahari)

Jika dirujuk kepada amalan Nabi s.a.w. dan para sahabatnya, tidak ditemui riwayat yang menyebut tentang solat sunat qabliah Jumaat secara tersurat. Namun, para ulama telah menghuraikan perkara ini dengan memberi ulasan yang baik.

Menurut majoriti ulama dari keempat mazhab, solat sunat qabliah Jumaat memang disyariatkan seperti mana solat qabliah Zuhur. Merekamerujuk kepada beberapa dalil berikut:

Dari Abdullah bin Az-Zubair, sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud, “Tiada satu pun solat fardhu melainkan ada padanya 2 rakaat (sunat).(Riwayat Ibn Hibban)

Hadis ini umum untuk semua solat fardhu termasuk solat Jumaat.

Dari Abdullah bin Mughaffal, sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud, “Antara dua azan terdapat solat (sunat). (Riwayat Al-Bukhari)

Dari Abdullah bin Mas‘ud r.a. bahawa beliau solat sunat jumaat empat rakaat sebelum dan sesudahnya. (Riwayat Abdur-Razzaq, At-Tabarani dan At-Tirmizi)

Imam Al-Bukhari meletakkan di dalam kitab sahihnya, “Bab solat sebelum jumaat dan sesudahnya.”

Imam Ibn Hajar berkata, “Imam An-Nawawi berhujah bahawa solat sunat sebelum jumaat memang sabit di dalam syariat.”

Walapun tiada dalil khusus mengenainya secara jelas, tetapi ia diambil dari maksud yang umum dari sudut perlaksanaan dan amalan yang dilakukan.

Bagi golongan yang berpendapat solat sunat qabliah Jumaat adalah suatu yang tidak disyariatkan, berhujah dengan hadis yang meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. terus naik ke mimbar untuk khutbah jumaat dan tidak kelihatan Baginda solat sunat sebelumnya.

Jika dilihat secara terperinci melalui hadis-hadis yang disebutkan, ia kembali kepada soal istilah kerana jelas dalam hadis-hadis tersebut menunjukkan amalan solat sunat sebelum Jumaat. Namun persoalannya adakah ia diniatkan sebagai solat sunat qabliah Jumaat?

Apa yang boleh disarankan ialah solat sunat sebelum Jumaat tidak boleh dinafikan amalannya seperti mana disebutkan dalam hadis-hadis diatas, namun biarlah ia diniatkan sebagai solat sunat mutlak.

Tidaklah wajar untuk mengatakan bahawa solat sunat qabliah Jumaat adalah satu amalan bid‘ah atau amalan yang bercanggah dengan sunnah. Perkara ini luas dan terserah kepada individu untuk melakukannya atau tidak. Bagi yang mengerjakannya dikurniakan pahala insya Allah dan bagi meninggalkannya tidak mendapat dosa.