Hukum wanita haid duduk di dalam masjid

Soalan

Apakah benar wanita haid tidak dibenarkan duduk di dalam ruangan solat masjid?

Jawapan

(Oleh Ustaz Mustazah Bahari)

Masjid adalah tempat ibadah bagi umat Islam melakukan solat berjemaah dan aktiviti-aktiviti keagamaan yang lain seperti membaca Al-Quran, iktikaf, belajar dan sebagainya. Oleh kerana ia adalah tempat untuk beribadah, maka sayogia dijaga dengan baik dan bersih. Pentingnya menjaga kebersihan masjid sehingga Nabi s.a.w. pernah bersabda mengenai kebaikan yang dikaitkan dengan penjagaan kebersihan masjid dalam sabdanya yang bermaksud, “Amalan umatku, yang baik dan yang buruk telah dipamerkan kepadaku dan aku dapati antara kebaikannya ialah mengutip sesuatu yang menghalang dari atas jalan, dan aku dapati antara keburukannya ialah kahak yang dibuang tidak ditanam.” (RiwayatMuslim)

Hadis ini menunjukkan betapa pentingnya menjaga kebersihan masjid kerana ia adalah tempat berkumpulnya manusia untuk beribadah.

Adapun persoalan tentang hukum wanita haid yang masuk masjid terdapat perbezaan pendapat mengenainya. Ada di kalangan ulama yang memperbolehkan dan ada yang melarang.

Hukum di sisi majoriti ulama seperti Imam Abu Hanifah, Imam Asy-Syafi‘i, Imam Malik dan Imam Ahmad bin Hanbal adalah haram bagi wanita haid duduk di dalam masjid.

Pendapat yang mengharuskan pula ialah Imam Daud Az-Zahiri, Imam Al-Muzani dan Ibn Hazm.

Golongan yang mengharamkan berhujah dengan dua hadis Nabi s.a.w.:

1. Hadis Aisyah r.a. yang bermaksud: “Nabi s.a.w. datang ke Masjid Nabawi. Ketika itu muka pintu rumah para sahabat Nabi s.a.w. bersambungan dengan Masjid Nabawi. Baginda lantas bersabda: “Palingkan rumah-rumah kamu ke arah lain daripada masjid.” Kemudian baginda memasuki masjid. Orang ramai belum mengambil apa-apa tindakan pun kerana mengharapkan agar turun kepada mereka kelonggaran. Setelah itu baginda keluar bertemu mereka. Baginda lantas bersabda lagi: “Palingkan rumah-rumah kamu ke arah lain daripada masjid kerana sesungguhnya aku tidak menghalalkan masjid ini untuk perempuan haid dan orang yang berjunub.” (Riwayat Abu Daud).

2. Daripada Ummu Salamah r.a. yang bermaksud: Nabi s.a.w. masuk ke pintu gerbang masjid lalu menyeru dengan suara yang lantang: “Sesungguhnya masjid ini tidak halal untuk perempuan haid dan orang yang berjunub.” (Riwayat Ibn Majah).

Kedua-dua hadis ini menunjukkan bahawa perempuan haid dan orang yang berjunub lelaki atau perempuan tidak boleh duduk di dalam masjid.

Ada pun melintasinya, kebanyakan ulama mengharuskan dengan dua syarat iaitu ada keperluan tertentu dan kedua, diyakini masjid tidak dikotori dengan najis darah haid.

Bagi pendapat yang mengharuskan wanita haid memasuki masjid berhujah dengan beberapa dalil;

Di dalam sebuah hadis riwayat Al-Bukhari, bahawa di zaman Nabi s.a.w. ada seorang wanita berkulit hitam yang tinggal di masjid. Tidak pula didapati keterangan yang menunjukkan bahawa Nabi s.a.w. memerintahkan wanita ini untuk meninggalkan masjid ketika masa haidnya tiba.

Ketika melaksanakan haji, Aisyah r.a. didatangi haid. Lalu Nabi s.a.w. memerintahkannya untuk melakukan semua manasik haji, sebagaimana yang dilakukan oleh jemaah haji yang lain, melainkan tawaf di Ka‘bah. (Riwayat Al-Bukhari).

Hadis ini menunjukkan bahawa Nabi s.a.w. hanya melarang Aisyah r.a. bertawaf tetapi tidak melarangnya dari duduk di dalam Masjid al-Haram.

3. Daripada ‘Atha bin Yasir, seorang tabi‘in berkata, “Saya melihat beberapa sahabat Nabi s.a.w. duduk-duduk di dalam masjid, sedangkan ada di antara mereka yang junub. Namun, sebelumnya mereka berwudhu’.” (Riwayat Sa‘id bin Mansur dengan sanad yang sahih).

Riwayat ini menjelaskan bahawa status junub adalah sama seperti haid, sepertimana di dalam hadis yang menjadi hujah larangan orang junub dan haid untuk duduk di dalam masjid.

4. Diriwayatkan daripada Aisyah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda kepadanya, “Ambilkan sajadah untukku di masjid.” Aisyah menjawab, “Saya sedang haid.” Nabi s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya, haidmu bukan berada di tanganmu.” (Riwayat Muslim).

Sebahagian ulama menjadikan hadis ini sebagai dalil tentang bolehnya wanita haid masuk masjid.

5. Tidak terdapat larangan tegas secara pasti untuk melarang wanita haid memasuki masjid.

Dr. Adil Al-Mutairat, seorang sarjana dari Kuwait ketika membahaskan tajuk ini secara terperinci di dalam kertas kerjanya berkata, “Sesungguhnya para fuqaha’ telah berselisih mengenai hukum wanita haid yang duduk atau menetap di dalam masjid. Pendapat yang paling tepat adalah tiada larangan bagi mereka selagi mana kawasan masjid tidak terkena kotoran darah haid. Tiada dalil yang jelas lagi sahih untuk menghalang wanita haid dari memasuki dan menetap di dalam masjid. Adapun ‘illah (sebab/punca) dihalang mereka memasuki masjid adalah sebab darah haid yang boleh mengotori masjid. Hal ini memang sukar dikawal kerana di zaman dahulu tiada kemudahan seperti yang ada pada wanita hari ini untuk memastikan darah haid tidak terkeluar hingga mengotori kawasan masjid.”

Jelasnya keadaan dan situasi zaman ini berbeza dengan dahulu. Walau bagaimanapun, setiap orang yang ingin memasuki masjid hendaklah sentiasa pastikan bahawa dia tidak membawa atau mendatangkan sebarang kekotoran yang boleh mengotori kawasan masjid sehingga mengakibatkan rasa tidak selesa kepada jemaah lain yang hadir. Kekotoran yang dimaksudkan bukan sahaja dari sudut bahan yang dikeluarkan secara nampak, tetapi yang tidak kelihatan juga perlu dijaga seperti bau-bauan yang tidak menyenangkan seperti bau badan dan sebagainya.