Loading...

Hukum suami pilih jadi househusband*

Soalan

Terdapat kecenderungan suami hari ini yang memilih untuk menjadi househusband iaitu suami yang duduk di rumah untuk mengurus rumah tangga manakala isteri pula keluar bekerja.

Apakah hukum amalan ini di sisi Islam?

Jika isteri meminta cerai, adakah dia berhak mendapat nafkah iddah dan juga bayaran mut‘ah ini?

Jika tidak dapat, bagaimanakah si suami harus menggantikan perkara ini?

Tidakkah amalan househusband bermakna si suami telah melepaskan tanggungjawabnya untuk memberi nafkah kepada keluarga?

Bagaimana pula dengan wang gaji bulanan isteri? Adakah isteri harus memberi sebahagian daripada wang gajinya itu pada suami?

Jawapan

(Oleh Ustaz Haniff Hassan)

Biasanya perkara seperti ini tidak akan berlaku kecuali sudah ada perbincangan antara suami dan isteri dan persetujuan bersama akan pelaksananaannya kerana dalam masyarakat kita amalan ini bukan norma kebiasaan tetapi satu pengecualian.

Jarang sekali ada pihak melakukan perkara yang tidak tradisional seperti ini tanpa perbincangan mendalam.

Persetujuan bersama pastilah termasuk:

• apakah yang sepatutnya dilakukan oleh suami sebagai househusband?

• apakah pula tanggungjawab isteri dalam hal ini?

Apabila kedua pihak telah bersetuju, maka tidaklah salah di sisi agama kerana perkahwinan termasuk dalam daerah hubungan antara manusia yang dasarnya diatur mengikut keredhaan pihak yang terlibat selama mana tidak bercanggah prinsip dasar Islam i.e. adil dan saksama.

Persetujuan bersama berkenaan dibolehkan di sisi agama kerana ia dikira pihak isteri telah menghalalkan kewajipan nafkah suami ke atasnya dan perbelanjaan yang dikeluarkan oleh isteri untuk keluarga dikira sebagai satu pemberian atau sedekah yang diberi pahala di sisi Tuhan.

Soal berapakah yang perlu diberikan oleh isteri adalah bergantung pada persetujuan bersama, kemampuan beliau dan sikap ihsan dan lain-lain.

Dalam konteks masyarakat di sini, tanpa persetujuan bersama kedua pihak amalan sebegini tidak boleh dilakukan kerana ia boleh menyebabkan suami mengabaikan tanggungjawabnya (hukum asal adalah nafkah atas keluarga adalah tanggungjawab suami kecuali ada persetujuan lain) dan isteri terdedah pada manipulasi yang tidak adil.

Jika ia berlaku bukan atas kehendak bersama tetapi kerana keadaan yang memaksa seperti suami diberhentikan kerja, maka pihak yang terlibat hendaklah duduk membincangkan masalah ini dan memikirkan bagaimana masing-masing pihak dapat saling membantu antara satu sama lain tanpa berkira sangat soal hak diri sendiri demi kelangsungan rumahtangga.

Dalam hal ini, apa jua bantuan isteri dikira sebagai ihsan darinya dan akan diberi pahala. Kesabaran dia terhadap kurang kemampuan suami dalam keadaan seperti ini juga akan diberi pahala. Ke atas suami pula hendaklah berusaha sesungguh-sungguhnya bagi melepaskan dirinya dari situasi yang ada.

Jika berlaku perceraian, hukum mengenai soal nafkah idah, mut‘ah, harta sepencarian dan penjagaan anak-anak adalah di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah.

Mahkamah Syariah akan ambil kira segala fakta yang meliputi persetujuan bersama oleh kedua pihak dalam membuat keputusan mengenai siapa perlu bayar apa dan kadar bayarannya.

Oleh kerana perkara ini masih baru, maka pastinyalah hakim yang bertanggungjawab perlu membuat ijtihad sendiri berdasarkan fakta kes dan prinsip-prinsip syariat.

*Berita Harian, 19 Julai 2013.