Loading...

Talak 3 kerana marah*

Soalan

Seorang suami telah melafazkan talak 3 kepada isterinya dalam keadaan yang amat marah kerana si isteri telah melakukan curang.

Setelah itu si isteri meminta maaf dan insaf akan kesalahan yang ia lakukan dan tidak ingin berpisah.

Demi permasalahan rumah dan anak-anak jika terjadi penceraian, si suami pun berpegang pada sebuah hadis riwayat Aisyah r.a. bahawa “Tiada jadi talak dalam keadaan marah.”

Jawapan

(Oleh Ustaz Haniff Hassan)

Segala lafaz talak dalam masalah yang sebenar seperti ini (bukan masalah yang bersifat hipotetikal seperti yang dibincangkan dalam kitab-kitab fiqh) diatur oleh undang-undang yang terdapat dalam Administration ofMuslim Law Act (AMLA).

Dalam hal ini, bukan hak suami untuk menentukan apa hukum atau pandangan yang boleh diguna pakai olehnya bagi menangani masalah yang ada.

Adalah menjadi tuntutan undang-undang perkara ini dilaporkan kepada Mahkamah Syariah.

Seksyen 102 (5) dalam AMLA menyebutkan bahawa apabila talak telah dijatuhkan di luar mahkamah, suami dan isteri hendaklah menghadirkan diri ke Mahkamah Syariah dalam tempoh 7 hari setelah ia berlaku atau pada kadar tempoh masa yang munasabah dengan tujuan melaporkan segala butir-butir yang diperlukan berkaitan pernyataan talak untuk disahkan oleh pihak mahkamah dan kemudiannya didaftarkan.

Mahkamah Syariah akan mendengar keterangan semua pihak dan akan memutuskan sama ada talak memang telah jatuh walaupun dalam keadaan marah dan jumlah talak yang jatuh, iaitu talak satu atau tiga.

Kesimpulannya, segeralah melaporkan masalah anda ke Mahkamah Syariah.

*Berita Harian, 6 Disember 2013.