Soalan
Apakah hukum seorang suami tidak memberi nafkah pada isteri dan 4 anak selama 20 tahun?
Jawapan
(Oleh Ustaz Haniff Hassan)
Memberi nafkah kepada isteri dan anak adalah satu perkara yang wajib ke atas suami dan ayah.
Allah s.w.t. berfirman di dalam surah At-Talaq, ayat ke 7, yang bermaksud, “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. Dan orang yang disempitkan rezekinya hendaklah memberi nafkah dari harta yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan (sekadar) apa yang Allah berikan kepadanya. Allah kelak akan memberikan kelapangan sesudah kesempitan.”
Mana-mana lelaki yang gagal memberi nafkah, semampunya, kepada isteri dan anak-anak adalah berdosa.
Namun eloklah juga dijelaskan secara ringkas konsep nafkah di sini supaya tiada kekeliruan dalam mempertanggungjawabkan suami tentang nafkah.
Yang dimaksudkan dengan nafkah ialah dua perkara;
Pertama, nafkah dalam bentuk layanan baik (fisikal dan emosi) serta pendidikan (minda dan nilai) kepada isteri dan anak-anak dan layanan seks kepada isteri sahaja.
Kedua, nafkah dalam bentuk kebendaan yang meliputi keperluan asasi hidup isteri dan anak-anak.
Ia meliputi penyediaan rumah dan peralatan asasinya, makan minum seharian, ubat apabila sakit dan pakaian seharian dan gantiannya apabila yang lama telah lusuh atau kerana pertukaran musim.
Kos pendidikan juga boleh termasuk di bawah kategori kedua ini.
Piawai nafkah kebendaan ialah berdasarkan prinsip apa yang munasabah dan norma bagi kebiasaan.
Namun nafkah juga diikat dengan batas kemampuan suami, sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat Al-Quran di atas.
Perlulah difahami bahawa pemberian nafkah dari suami tidak semestinya dalam bentuk wang yang biasanya diberi setiap bulan kepada si isteri atau anak-anak.
Yang sedemikian hanyalah satu kebiasaan.
Ia sesuatu yang baik dilakukan dan satu ihsan.
Suami yang tidak memberi wang tunai setiap bulan tapi tetap membelanjakan segala kos bagi tempat tinggal, makan minum, perubatan dan pakaian isteri dan anak-anak secara munasabah dan memadai tidak boleh dikatakan gagal menunaikan tanggungjawabnya, walaupun amalan seperti ini menyalahi kebiasaan yang sedia ada.
Hak mendapat nafkah dari suami pula tidak menjadikan isteri berhak untuk menuntut segala hak milik suami atas kefahaman, “harta suami milik saya juga, harta saya milik saya sahaja”.
Apa yang dimiliki oleh isteri dari harta suaminya ialah pada kadar keperluan nafkah untuknya sahaja.
Oleh itu, isteri tidaklah bebas membelanjakan harta suami ikut keinginannya sahaja dan tidak boleh mendakwa suami gagal memberi nafkah semata-mata kerana suami tidak menunaikan segala hajatnya jika ia meliputi perkara-perkara yang melebihi dari keperluan asasi, contohnya ialah peti TV saiz 42 inci atau gelang emas.
Yang seperti itu hanyalah sesuatu yang dilakukan atas dasar ihsan dan kasih suami kepada keluarganya sahaja, bukan kewajipan.
Terdapat tiga senario masalah pemberian nafkah suami kepada isteri dan anak-anak.
Pertama, suami yang memang gagal sama sekali untuk memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak.
Contoh dalam hal ini ialah suami yang menganggur dan kemudiannya mengharapkan isteri untuk menyara kehidupan keluarga atau suami yang hilang dengan sengaja atau dipenjara hingga nafkah isteri dan anak-anak terabai sama sekali.
Suami jenis ini boleh dianggap telah gagal menunaikan tanggungjawabnya.
Kedua, suami yang mampu memberi nafkah yang mencukupi tapi hanya memberi kadar yang tidak memadai untuk keperluan isteri dan anak-anak.
Contoh dalam hal ini ialah suami yang mempunyai pekerjaan yang bergaji yang mantap tapi lebih suka menggunakan wang gajinya untuk tujuan berfoya-foya hingga pemberian untuk keluarga hanya ala kadar sahaja atau tidak memadai.
Suami jenis ini juga dianggap gagal menunaikan tanggungjawabnya.
Ketiga, suami yang telah berusaha sebaik mungkin untuk memberi nafkah untuk keluarga dan anak-anak tetapi hanya mampu menyediakan kadar yang tidak mencukupi.
Kekurangan nafkah keluarga dalam senario ini memang satu masalah bagi keluarga ini tapi ini tidak bermakna suami boleh dipersalahkan sepenuhnya, jika jelas bahawa apa yang diberi itu dalam batas kemampuan diri dan telah berusaha sebaik mungkin.
Masalah ini perlu dilihat sebagai masalah kolektif keluarga yang ditangani secara kolektif juga dan bukan dibeban ke atas pundak suami sahaja kerana kehidupan keluarga juga dibina atas dasar saling tolong menolong bukan atas dasar hak dan tanggungjawab sahaja.
Huraiannya juga bukan dengan memaksa suami di luar kemampuandirinya tapi dengan ahli keluarga saling membantu atau meminta bantuan dari pihak-pihak berkenaan.
Setelah faham konsep nafkah di atas, barulah isteri yang merasa tidak diberi atau mendapat nafkah yang mencukupi dari suami untuk dirinya dan anak-anaknya, tidak kira berapa lama ia telah berlaku, mempertimbangkan pilihan-pilihan berikut bagi tangani masalah ini:
Pertama, dapatkan khidmat kaunseling bagi dirinya bagi menilai masalah yang dihadapinya dengan lebih mendalam dan dapatkan nasihat bagi dirinya untuk cuba menangani perkara ini melalui pendekatan kekeluargaan.
Lebih baik, jika kaunseling ini dapat melibatkan si suami. Khidmat kaunseling ini boleh didapati dari Mahkamah Syariah atau badan-badan Islam.
Kedua, membuat aduan ke Mahkamah Keluarga bagi mendapatkan perintah mahkamah ke atas suami untuk memberi nafkah bagi dirinya dan anak-anaknya.
Jika aduan yang dibuat didapati benar, mahkamah biasanya akan menetapkan satu kadar tetap yang wajib dibayar oleh suami sebagai nafkah isteri dan setiap anak-anaknya setiap bulan.
Jika suami gagal menunaikan perkara ini, aduan boleh dibuat ke Mahkamah Keluarga dan suami boleh dihukum, jika sabit kesalahannya.
Ketiga, pilihan terakhir bagi isteri ialah untuk mengadu ke Mahkamah Syariah bagi memberlakukan taklik nikah.
Semua pernikahan di Singapura dibuat secara nikah bertaklik.
Ia adalah pernikahan yang diikat dengan syarat,
a) suami tidak gagal memberi nafkah kepada isteri selama empat bulan berturut sedangkan dia taat pada tanggungjawabnya,
b) suami tidak meninggalkan isteri empat bulan berturut sedangkan dia taat pada tanggungjawabnya,
c) suami tidak mencederakan isteri atau melakukan sesuatu yang memalukan atau menjatuhkan maruahnya.
Jika suami gagal memenuhi syarat-syarat yang dinyatakan di atas, jatuhlah talak satu ke atas isteri.
Namun taklik nikah hanya boleh diberlakukan melalui perintah mahkamah setelah mendapati aduan isteri benar kerana bukti-bukti yang dikemukakan, bukan sesuatu yang boleh diputuskan oleh isteri sahaja atau pihak selain Mahkamah Syariah.
Apabila mahkamah putuskan taklik telah berlaku, ini bermakna talak satu telah jatuh.
Oleh itu, isteri yang mengadu ke Mahkamah Syariah untuk memberlakukan taklik haruslah sedar bahawa dia sebenarnya membuat tuntutan untuk diceraikan dari suaminya.
Terserahlah kepada isteri untuk menggunakan pilihan-pilihan di atas sebaiknya, iaitu untuk bermula dengan 1 kemudian 2 dan 3 atau terus ke 2 kemudian 3 atau terus ke 3.
Yang ideal ialah untuk bermula dari 1 hingga 3, tapi kadangkala keadaan sesuatu kes memang memerlukan pilihan yang lebih drastik.
*Berita Harian, 22 September 2013.