Soalan
Apakah hukum perempuan bersalam abang tirinya dan anak-anaknya?
Bolehkah anak-anak saya bersalam dengan abang ipar saya iaitu suami kakak saya?
Jawapan
(Oleh Ustaz Haniff Hassan)
Ada tiga jenis adik beradik tiri:
• Adik beradik tiri sebapa
• Adik beradik tiri seibu
• Adik beradik tiri dalam konteks hubungan antara anak seorang duda dari perkahwinan lalu dengan anak janda dari perkahwinan lalu apabila si duda menikahi janda itu. Hukum Islam ialah adik beradik sebapa adalah mahram. Begitu juga adik beradik tiri seibu. Berikutan dari itu berlakulah hukum-hukum berikut:
• Tidak boleh seorang Muslim berkahwin dengan saudari tiri sebapa atau seibu.
• Aurat seorang Muslim dengan saudara tiri sebapa atau seibu sama seperti aurat dengan saudara kandung sendiri.
• Tidak batal wudhu’ seorang Muslim apabila bersentuh saudara tiri sebapa atau seibu yang berlainan jantina
• Halal bersalam dengan saudara tiri sebapa atau seibu yang berlainan jantina.
Status anak-anak dari saudara tiri sebapa dan seibu sama seperti anak saudara dari saudara kandung iaitu mereka dan hukum anak-anak ini berkaitan dengan adik beradik (seibu atau sebapa) ibu bapa mereka adalah sama seperti hukum 1 – 4 di atas.
Namun adik beradik tiri jenis 3, di sisi Islam, bukanlah mahram,walaupun di sisi adat mereka dianggap sebagai saudara tiri.
Sebagai bukan mahram, mereka boleh berkahwin, wajib memelihara aurat, batal wudhu’ apabila bersentuh yang berlainan jantina dan tidak boleh bersalam.
Bagi memudahkan kefahaman, sila lihat rajah di bawah.
Ipar yang anda katakan bukanlah mahram kekal bagi anda di sisi Islam.
Ya, memang seorang lelaki tidak boleh menikahi saudara perempuan isterinya tapi hukum berkenaan hanya berlaku ketika mereka masih dalam ikatan pernikahan.
Jika ikatan ini terputus kerana kematian atau cerai, halal bagi lelaki itu menikahi ipar perempuan yang tidak mempunyai ikatan perkahwinan dengan sesiapa.
Oleh itu, wajib bagi anda memelihara hubungan dengan ipar anda sebagai hubungan bukan mahram.
Anda dan anak-anak anda wajib memelihara aurat di hadapan mereka dan tidak halal bersentuhan kulit atau bersalam kecuali jika anak-anakanda masih kecil.
Walaupun di sisi adat Melayu, suami kakak anda dipanggil pakcik, namun di sisi Islam, pakcik yang dianggap mahram ialah saudara lelaki anda sahaja.
Ahmad Fatimah (duda) (janda) Aminah bt. Ahmad Amir bin Ahmad Ali bin Ahmad Zaiton bt. Omar lalu Anak perkahwinan lalu
Adik beradik tiri sebapa dan mahram
Adik beradik tiri seibu dan mahram
Adik beradik tiri bukan mahram
*Berita Harian, 20 September 2013.