Bersanding salah ke*

Soalan

Apakah hukum bersanding dalam Islam?

Jawapan

(Oleh Ustaz Haniff Hassan)

Bersanding pada dasarnya adalah amalan adat budaya Melayu.

Ia merujuk amalan mendudukkan pengantin bersebelahan di satu tempat istimewa yang biasanya di kenali sebagai pelamin untuk ditonton oleh tetamu di majlis perkahwinan.

Ia bukan sesuatu yang dianjurkan oleh agama sebagai sebahagian dari syarat keperluan nikah atau walimah.

Ertinya mengadakannya bukan satu keperluan agama dan tidak mengadakannya pula bukan sesuatu yang seharusnya dipandang negatif.

Islam adalah agama yang tidak menolak secara mutlak adat budaya semata-mata kerana tiada dalil agama yang menganjurkannya.

Sebaliknya dalam hal ini, kaedah yang diguna pakai ialah selagi tiada dalil jelas yang melarang atau bukti bahawa adat berkenaan mempunyai unsur yang terlarang, hukum mengamalkannya adalah harus.

Oleh itu, ketiadaan dalil yang menganjurkan bersanding secara langsung bukan satu hujah yang kukuh untuk melarang amalannya.

Jika terdapat pula pada sesuatu adat unsur-unsur yang bercanggah dengan ajaran Islam, unsur-unsur berkenaan hendaklah ditinggalkan.

Ertinya, adat berkenaan boleh diamalkan tanpa unsur-unsur yang terlarang itu atau unsur-unsur berkenaan diganti atau diubahsuai sehingga sejajar dengan ajaran Islam dan tidak semestinya adat itu dibuang sama sekali.

Namun, saya berpendapat amalan bersanding boleh dinilai sebagai satu amalan yang sejajar dengan anjuran agama, iaitu ia adalah satu cara untuk memperkenalkan pasangan pengantin kepada tetamu jemputan.

Memperkenalkan pengantin adalah salah satu dari sebab kenapa Islam menganjurkan walimah perkahwinan dan ia juga sesuai dengan hadis Nabi s.a.w. yang berbunyi, “Umumkan [kepada khalayak] pernikahan ini dan jadikan [urusan akad]nya di masjid serta pukullah kompang.” (Riwayat At-Tabarani dan At-Tirmizi)

Dalam menghuraikan hadis ini para ulama berpendapat antara tujuan anjuran mengumumkan pernikahan ialah untuk memperkenalkan pasangan pengantin kepada masyakarat bahawa mereka telah sah menjadi suami isteri. Oleh itu, tidak timbul fitnah jika mereka bersama dan supaya jangan ada mana-mana pihak berusaha untuk memikat kedua pasangan yang telah pun berkahwin kerana fitnah dan memikat isteri/suami orang adalah haram di sisi agama.

Walau bagaimanapun, tujuan yang baik (memperkenalkan pengantin kepada para jemputan) bukan bermakna membolehkan segala bentuk amalan bersanding yang sering berlaku hari ini kerana, jika diperhatikan dengan teliti, sebahagian yang diamalkan hari ini terdapat unsur-unsur yang dilarang agama.

Yang paling serius dan selalu berlaku ialah soal pendedahan aurat oleh pihak pengantin perempuan di khalayak ramai yang bukan terdiri dari mahramnya.

Yang juga serius tapi sudah agak kurang berlaku ialah amalan-amalan,

a) yang melibatkan jampi serapah yang tidak diketahui pengertiannya atau jelas mengandungi perkara-perkara syirik seperti menyeru jin, dan

b) yang menjadikan benda / makhluk sebagai pembawa tuah atau penolak sial.

Berkaitan yang pertama, Allah s.w.t. berfirman di dalam surah Al-Jin, ayat ke 6, yang bermaksud, “Dan bahawasanya ada beberapa orang laki-laki di antara manusia meminta perlindungan kepada beberapa laki-laki di antara jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesalahan.”

Berkaitan yang kedua pula, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Bukan dari golongan kami siapa yang merasa sial, atau minta diramalkan kesialannya, atau menenung, atau minta ditenungkan, atau mensihir, atau minta disihirkan.” (Riwayat At-Tabarani)

Keyakinan bahawa makhluk boleh membawa tuah atau sial bercanggah dengan firman Allah s.w.t. di dalam surah Yunus, ayat ke 106-107, yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu menyembah apa-apa yang tidak memberi manfaat dan tidak (pula) memberi mudarat kepadamu selain Allah; sebab jika kamu berbuat (yang demikian) itu, maka sesungguhnya kamu kalau begitu termasuk orang-orang yang zalim. Jika Allah menimpakan sesuatu kemudaratan kepadamu, maka tidak ada yang dapat menghilangkannya kecuali Dia. Dan jika Allah menghendaki kebaikan bagi kamu, maka tidak ada yang dapat menolak kurnia-Nya. Dia memberikan kebaikan itu kepada siapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Yang kurang serius dari segi agama tetapi tetap perlu diberikan perhatian ialah soal perbelanjaan bagi tujuan bersanding yang biasanya melibatkan kos membuat pelamin, beberapa persalinan pasangan pengantin, persolekan dan lain-lain.

Saya katakan kurang serius kerana berbelanja untuk perkara-perkara yang dinyatakan pada dasarnya bukanlah sesuatu yang dilarang agama.

Namun ia tetap perlu diberi perhatian kerana ia,

a) boleh menjurus pada pelampauan apabila ia dilakukan di luar kemampuan, atau

b) boleh menjurus pembaziran apabila ia dilakukan secara berlebih-lebihan, walaupun si pengantin berkemampuan.

Oleh itu, jika anda ingin mengamalkan bersanding, perhatikanlah nota-nota berikut:

[Pertama], lakukanlah atas niat yang betul, iaitu untuk memperkenalkan pasangan pengantin kepada para jemputan dan sebagai satu cara mengumumkan pernikahan pasangan berkenaan.

Jauhilah dari niat kerana hendak menonjolkan status diri atau bermegah-megah.

[Kedua], oleh kerana pada kebiasaannya soal pengurusan dan persiapan persandingan ini diuruskan oleh pihak-pihak tertentu seperti ahli keluarga atau seorang profesional dalam urusan ini seperti mak andam, hendaklah dipastikan tiada mengamalkan amalan-amalan yang terlarang yang dilakukan sebagaimana yang telah dinyatakan di atas.

[Ketiga], patuhilah anjuran agama dari sudut memelihara aurat dan jagalah adab kesopanan ketika berhadapan dengan khalayak ramai.

Pilihlah pakaian pengantin dan cara solekan yang sesuai dengan tuntutan agama dan kesopanan masyarakat setempat.

Pengantin masih boleh melonggarkan aspek aurat dan solekan untuk bersanding, jika dilakukan di ruang peribadi dan melibatkan mahram sahaja.

[Keempat], rancanglah masa bersanding dengan baik hingga tidak menimbulkan pengabaian pada ibadat yang wajib seperti meninggalkan solat kerana sibuk memperagakan diri di hadapan tetamu atau kerana merasa leceh untuk ganti pakaian dan solekan.

[Kelima], lakukanlah dengan secara sederhana, iaitu pada kadar kemampuan.

Jauhilah dari berhutang semata-mata kerana ingin mengadakan persandingan.

Bagi yang mampu pula, tidaklah pada kadar yang secara adatnya dianggap berlebih-lebihan. Apa yang penting ialah tujuan memper- kenalkan pengantin kepada tetamu jemputan tercapai, bukan soal jumlah jenis pakaian yang dipakai atau reka bentuk pelamin.

Berlebihan-lebihan bagi yang mampu tetap dilarang oleh agama kerana Allah s.w.t. berfirman di dalam surah Al-An‘aam, ayat ke 141, yang bermaksud, “…dan janganlah kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.”

Ada pihak yang mungkin berpendapat bahawa bersanding adalah haram dan tidak boleh diamalkan sama sekali.

Hal ini kadangkala menimbulkan masalah antara sesama pasangan pengantin atau antara pengantin dan ibu bapa sendiri atau ibu bapa mertua atau antara kedua-dua keluarga pasangan pengantin.

Saya menilai pendapat ini lebih bertujuan untuk warak dalam agama dan menutup jalan yang menjurus kepada haram (sadd zari‘ah) memandangkan amalan-amalan bersanding yang berlaku dalam masyakarat.

Ada pihak yang tidak bersetuju bersanding tapi secara tidak sedar sebenarnya telah melakukannya seperti apabila kedua pasangan pengantin makan di hadapan para tetamu atau duduk bergambar setelah majlis akad nikah bersama tetamu.

Oleh itu, jika perkara-perkara yang dinyatakan di atas dapat dipenuhi, tidaklah mengapa untuk bersanding dan perkara-perkara berkenaan juga boleh dijadikan jalan keluar atau kompromi bagi semua pihak.

*Berita Harian, 8 September 2013.