Soalan
Sudah lebih 13 tahun saya bernikah dengan suami saya. Sepanjang perkahwinan kami, suami saya tidak pernah menghulurkan duit pada ibu bapa saya, walaupun ketika bapa saya dimasukkan ke hospital untuk menjalani pembedahan.
Beliau juga tidak pernah memberi wang setiap bulan kepada ibu bapa saya sedangkan selama ini ibu bapa saya sangat baik melayan beliau ibarat anak mereka sendiri.
Beliau lebih mementingkan ibunya sendiri.
Bapa saya telah meninggal setahun lalu tetapi suami saya tetap tidak menghulur bantuan.
Apakah hukumnya suami yang tidak memberi bantuan kepada ibu bapa isteri?
Sejauh manakah peranan seorang suami kepada ibu bapa isteri, sebab kalaulah semua suami mempunyai sikap seperti suami saya bagaimana nasib ibu bapa anak perempuan?
Apakah hukumnya isteri yang bekerja tanpa izin suami kerana ingin membantu ibu bapanya yang tidak bekerja kerana sudah tua sedangkan dia tidak ambil peduli akan ibu bapa isteri?
Jawapan
(Oleh Ustaz Haniff Hassan)
Islam menganjurkan pelbagai amal kebaikan ke atas Muslim. Ada yang wajib dan ada yang hanya sunat sahaja. Yang wajib pula tidak semuanya sama darjat dari segi keutamaan. Ada yang lebih wajib dari yang lain.
Dalam hal ini, sememangnya seorang Muslim perlu membuat penilaian keutamaan dalam melakukan kebaikan yang dituntut oleh agama. Kebaikan yang wajib perlu diutamakan dari kewajipan yang sunat. Kewajipan kepada keluarga terdekat lebih diutamakan dari kewajipan kepada keluarga yang jauh.
Ini adalah asas bagi anda memahami kewajipan anda dan kewajipan orang lain sebelum saya berbicara mengenai soalan yang anda tanyakan.
Pada asasnya, tanggungjawab memberi nafkah kepada ibu bapa anda adalah di bahu anda, adik beradik anda dan mereka yang mempunyai hubungan darah langsung dengan ibu bapa anda (adik beradik ibu bapa anda).
Sememangnya membantu ibu bapa anda adalah sesuatu yang sangat mulia dan dianjurkan oleh agama ke atas suami anda.
Tapi ia bukan satu kewajipan baginya. Beliau hanya perlu melakukannya atas dasar ihsan.
Apa yang perlu dianjurkan atas dasar ihsan pula perlu dipertimbangkan bersama dengan,
a) keupayaan suami anda untuk melakukannya i.e. adakah dia mempunyai keupayaan kewangan atau lebihan untuk melakukannya?,
b) kewajipan-kewajipan kewangan lain yang perlu dia utamakan seperti kewajipan kepada anda dan anak-anak dan kewajipan kepada ibu bapanya?
Soalan anda tidak memberi maklumat terperinci tentang suami anda dari sudut keupayaan kewangan dan tanggungjawab-tanggungjawab beliau yang lain.
Jika anda sebelum ini terlepas pandang sudut keupayaan dan tanggungjawab utama lain yang dipikul oleh suami anda atau belum membincangkannya dengan beliau, cubalah lihat masalah yang anda bangkitkan dari sudut ini atau bicarakanlah dengan suami anda, supaya anda dapat memahami dan empati akan kedudukan beliau dan tidaklah pula anda menilai masalah hanya dari sudut anda sahaja.
Jika diandaikan bahawa beliau sebenarnya mampu untuk membantu walau sedikit, bagi meringankan beban anda dan ibu bapa anda, ia tidak mengubah hakikat bahawa bantuan sedemikian dari beliau hanyalah sesuatau yang sunat dan atas dasar ihsan, bukan satu kewajipan.
Apa yang tidak diwajibkan oleh agama, tiada siapa boleh mewajibkan ke atas beliau, jika beliau tidak mahu melakukannya.
Anda hanya boleh memujuk dan memberi motivasi sahaja, sekali lagi, atas dasar ihsan.
Oleh kerana, menafkah ibu bapa anda adalah tanggungjawab anda, adik beradik anda dan mereka yang mempunyai hubungan darah langsung dengan ibu bapa anda, anda seharusnya melihat kepada mereka ini lebih dahulu sebelum suami anda.
Mereka inilah yang akan lebih dipertanggungjawabkan atas kebajikan ibu bapa anda dan apa jua pengabaian terhadap mereka.
Namun, perlu dipertegaskan, ini tidak bermakna sama sekali meremehkan keperluan suami anda untuk membantu ibu bapa anda.
Bahkan, jika suami anda mampu, memberi bantuan kepada ibu bapa anda adalah sesuatu yang amat terpuji dan dianjurkan oleh agama kerana amalan agama tidak seharusnya diamalkan berdasarkan pembahagian “ini kewajipan aku” dan “itu kewajipan kau”.
Islam juga amat menggalakkan kita untuk melakukan sesuatu atas dasar ihsan kerana amal yang dilakukan atas dasar ihsan itulah yang lebih mengindahkan tingkah laku Muslim.
Namun ini tidak seharusnya mengelabui kita dari hakikat bahawa amal atas dasar ihsan tidak sama dengan kewajipan dan suami anda bukan pemikul kewajipan utama dalam menafkahi ibu bapa anda.
Mengenai keperluan anda bekerja untuk membantu ibu bapa anda, ia termasuk di bawah kewajipan seorang anak berlaku baik terhadap ibu bapa anda, terutama jika ahli keluarga terdekat anda yang lain tidak berkemampuan untuk memenuhi keperluan kewangan mereka.
Memang benar, seorang wanita yang berkahwin memikul kewajipan ke atas suami dan keluarganya.
Namun perlu dipertegaskan juga bahawa perkahwinan seorang wanita dengan seorang lelaki tidak memutuskan hubungannya dengan ibu bapanya dan tidak pula menghilangkan tanggungjawab dia kepada mereka.
Perkahwinan adalah penambahan kepada tanggungjawab yang sedia ada bagi lelaki dan perempuan, dan bukan pengurangan. Yang kekal ialah prinsip menunaikan tanggungjawab ikut kemampuan kita.
Sepatutnya seorang suami dalam hal ini ambil kira kesemua faktor kewajipan terhadap keluarga sendiri dan ibu bapa – lalu mencari cara terbaik untuk mengharmonikan kesemuanya atau melakukan kompromi yang membolehkan pelaksanaan tanggungjawab secara seimbang tanpa mengabaikan satu disebabkan yang lain.
Dalam hal ini, jika ia memerlukan si isteri bekerja untuk mencari pendapatan hingga membolehkan beliau menunaikan tanggungjawabnya kepada ibu bapanya kerana suami sendiri tidak dapat membantu atas sebab tiada kemampuan atau sebab-sebab lain, suami hendaklah bersifat terbuka dan bersedia untuk melakukan sedikit pengorbanan.
Dalam situasi ini, si isteri bekerja kerana ingin menunaikan kewajipan kepada ibu bapa.
Ia adalah sesuatu yang murni yang sepatutnya disokong oleh seorang suami yang soleh dah perihatin akan kesolehan isterinya juga.
Tambahan pula, keharmonian hidup dalam perkahwinan sememangnya sentiasa memerlukan kedua-dua pasangan bertolak ansur, bantu membantu, saling berkorban dan berlebih kurang dalam pelbagai hal, bukan berdasarkan pada sikap yang hanya mementingkan hak diri sendiri sahaja.
Suami yang membenarkan isteri bekerja kerana ingin menunaikan tanggungjawab menafkahi ibu bapanya dan disebabkan itu perlu berkorban sesuatu kerananya dianggap telah melakukan satu kebaikan yang besar yang pasti akan turut menerima ganjaran yang besar di sisi Allah s.w.t. atas ihsan, kesabaran dan bantuan yang diberikan.
Jika suami anda tetap berkeras untuk tidak membenarkan anda bekerja, bersabarlah dan terus berdoa agar Allah tunjukan jalan keluar yang terbaik.
Anda boleh pertimbangkan melakukan perniagaan kecil-kecilan secara online atau sebenar atau melakukan kerja-kerja sambilan melalui rumah.
Anda boleh hubungi badan-badan sosial yang membantu suri rumah dengan latihan dan kemahiran untuk tujuan ini.
*Berita Harian, 6 September 2013.