Tanggungjawab anak perempuan kepada ibu bapa setelah berkahwin

Soalan

Kalau seorang perempun sudah berkahwin, dia menjadi tangungjawab suami dia.

Kalau dia tidak mahu bekerja dan mahu duduk rumah sahaja pun boleh selama mana suami dia boleh menanggung semua keperluan keluarga.

Tapi bagaimana dengan keadaan ibu bapa si isteri? Jika anak-anak mereka semua perempuan dan semua sudah kahwin dan semua tidak bekerja. Siapakah yang bertanggungjawab untuk menjaga mereka. Jika semua anak-anak perempuan tidak bekerja pastinya tiada sumbangan kepada ibu bapa setiap bulan. Kalau ada pun jumlahnya tidak banyak. Hanya setakat apa yang mereka mampu dan mungkin tidak cukup untuk buat perbelanjaan bulanan ibu bapa yang mahu tinggal di rumah mereka sendiri.

Adakah ada panduan dalam Islam yang boleh kita gunakan mengenai hal ini?

Sebagai contoh, jika ada 3 anak perempuan adakah ada panduan yang menyatakan bahawa anak perempuan yang sulung mempunyai tanggungjawab yang lebih dari anak nombor 2 dan 3 dan sebagainya.

Jawapan

(Oleh Ustaz Haniff Hassan)

Perkahwinan seorang wanita dengan seorang lelaki tidak memutuskan hubungannya dengan ibu bapanya dan tidak pula menghilangkan tanggungjawab dia kepada ibu bapa.

Perkahwinan adalah penambahan kepada tanggungjawab yang sedia ada bagi lelaki dan perempuan, dan bukan pengurangan. Yang kekal ialah prinsip menunaikan tanggungjawab ikut kemampuan kita.

Ramai berpendapat, kalau wanita kahwin, tanggungjawab utamanya pindah kepada suami dan bukan ibu bapanya. Ertinya, tanggungjawab kepada ibu bapa terkebelakang.

Saya tidak bersetuju dengan pandangan yang seperti ini kerana alasan yang dinyatakan adalah dua para pertama di atas.

Saya berpendapat seorang suami yang soleh pastinya tidak akan menuntut isterinya taat kepadanya sehingga mengabaikan tanggungjawab kepada ibu bapa seperti tidak menjaga, tiada nafkah dan lain-lain.

Sebaliknya, suami yang soleh hendaklah berusaha agar isterinya faham akan perkara dalam dua para pertama di atas dan membantu dia untuk menunaikan tanggungjwab kepada ibu bapanya, walaupun dari segi “analisa kos”, dia sendiri harus membuat pengorbanan.

Dalam senario keluarga yang dinyatakan, jika si wanita tidak mahu bekerja, kerana suami mampu tanggung segalanya:

• dia hendaklah peruntukkan sedikit wang bulanan yang dia perolehi dari suaminya untuk ibu bapanya. Berapakah kadarnya? Ia bergantung pada keperluan ibu bapa dan bagaimana ketiga beradik itu berkongsi tangggungjawab terhadap ibu bapa mereka.

• jika wang yang diberi suami kurang mencukupi untuk membuat sumbangan yang diperlukan, bolehlah dibincangkan dengan suami untuk minta dipertambahkan atau dibuat analisa kewangan bagi menjimatkan perbelanjaan yang kurang penting. Dalam hal ini, si suami hendaklah mempunyai ihsan iaitu jangan menolak penambahan yang diminta kerana merasa ia bukan sebahagian dari kewajipannya kerana dengan itu dia sendiri menjadi penyebab isterinya tidak berbuat baik kepada ibu bapa. Tambahan pula keberadaan isterinya di rumah sepenuh masa juga bermanfaat bagi dia dan keluarganya.

• jika memang si suami tidak mampu untuk memberi wang yang lebih, maka isteri bolehlah berusaha untuk mencari wang tambahan agar dengan itu ia berupaya untuk membantu dari segi kewangan ibu bapanya. Ini tidak semestinya dilakukan dengan bekerja sepenuh masa. Masa terluang sebagai suri rumah, boleh dimanfaatkan dengan pelbagai cara bagi mendapat wang tambahan untuk menunaikan tanggungjawab kepada ibu bapa. Namun, jika harus bekerja bagi tujuan ini, si suami haruslah memahami hakikat ini dan bersedia untuk memberi kebenaran.

Kesimpulannya, tiada sebab bagi anak perempuan untuk berkata, “Saya tidak dapat bantu mak ayah sebab sekarang ini saya sudah berkahwin. Tanggungjawab saya yang utama ialah kepada suami”. Silap juga bagi suami untuk berkata, “Awak tidak perlu buat itu semua kerana tanggungjawab awak kepada saya dan keluarga kita dulu. Saya dah kata awak tidak boleh kerja dan hanya jaga anak di rumah, maka tidak boleh kerjalah.”