Alah emak kahwinkan aku*

Soalan

Apakah yang harus dilakukan anak yang menghadapi kesusahan meyakinkan ibu bapanya untuk membenarkan dia mendirikan rumah tangga? Alasan ibu bapanya bukan kerana anak itu belum bersedia dari segi kewangan atau pendidikan agama, tetapi mereka belum bersedia “melepaskan” anak mereka kepada orang lain, lebih-lebih lagi disebabkan pengalaman buruk mereka sendiri dalam melayari alam rumah tangga.

Jawapan

(Oleh Ustaz Haniff Hassan)

Islam amat menggalakkan umatnya berumah tangga, lebih-lebih lagi para pemudanya.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Wahai pemuda-pemuda, sesiapa yang mampu di antara kamu (mempunyai belanja serta keinginan) hendak berkahwin, hendaklah ia kahwin, kerana sesungguhnya perkahwinan itu akan menundukkan pandangan matanya (terhadap orang yang tidak halal dilihatnya) dan mengawal kehormatannya. Sesiapa yang tidak mampu berkahwin hendaklah ia berpuasa kerana puasa itu adalah perisai.” (Riwayat Muslim)

Bahkan Rasulullah s.a.w. tidak suka kepada sesiapa yang tidak suka berkahwin atau menjadi penghalang pada sesiapa yang ingin berkahwin, tanpa sebab yang wajar.

Beliau s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Nikah itu adalah sunnahku, maka sesiapa yang benci terhadap sunnahku maka sesungguhnya ia bukan dari golonganku.” (Riwayat Ibn Majah)

Sebahagian ulama pula berpendapat adalah menjadi kewajipan ibubapa untuk mengahwinkan anak-anak mereka (lelaki atau perempuan) yang telah layak untuk berkahwin berdasarkan dalil-dalil berikut:

• Firman Allah s.w.t. di dalam surah An-Nur, ayat ke 32, yang bermaksud: “Dan kahwinkanlah orang yang sendirian di antara kamu, dan orang yang layak berkahwin dari hamba-hamba sahayamu yanglelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Sekiranya mereka miskin, Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui.”

• Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Apabila datang (melamar) kepadamu orang yang kamu sukai akhlak dan agamanya maka kahwinilah dia. Kalau tidak engkau perbuat demikian, akan terjadi fitnah di bumi dan kerosakan yang luas.” (Riwayat At-Tirmizi, Ibn Majah dan Al-Hakim).

Oleh itu, sikap ibu bapa yang menghalang atau menyusahkan anak-anaknya mendirikan rumah tangga semata-mata kerana kebimbangan-kebimbangan yang bersifat emosi adalah tidak wajar.

Ibu bapa ini perlulah memuhasabah diri kerana dikhuatiri tindakannya itu adalah sesuatu yang tidak diredhai oleh Allah s.w.t.

Lebih membimbangkan lagi ialah mereka mungkin akan turut dipertanggungjawabkan, jika halangan berkahwin yang berpunca dari mereka itu, menyebabkan si anak melakukan perkara yang dilarang oleh agama.

Namun apa yang dapat difahami dari kemusykilan yang dikemukakan, sumber masalah ialah perasaan si ibu bapa disebabkan sejarah hidup meraka sendiri.

Jika ini benar, memberitahu mereka akan soal hukum seperti di atas sahaja belum tentu memadai untuk menyelesaikan masalah.

Yang lebih dapat membantu bagi menyelesaikan masalah ini ialah untuk memahami mereka dari sudut psikologi dan mendapatkan pandangan ilmu psikologi bagi anda berhadapan dengan mereka dan bantu mereka untuk atasi perasaan mereka itu.

Oleh itu, beberapa cadangan di bawah bolehlah dipertimbangkan.

[Pertama], cubalah berjumpa dengan kaunselor yang terlatih dalam bidang psikologi untuk anda dapatkan kefahaman masalah sebenar ibu bapa anda dari sudut ilmu ini.

Memahami ibu bapa anda adalah sebahagian dari penyelesaian masalah.

Jika anda tidak memahami mereka, sukar untuk dapatkan huraian bagi mereka dan sukar juga untuk anda membantu mereka tangani masalah mereka.

Memahami ibu bapa anda dari sudut psikologi juga membantu anda untuk empati dengan sikap mereka.

Hal ini akan membantu anda juga dalam berinteraksi dengan mereka dengan baik sehingga masalah ini tidak menjadi lebih buruk, sehinggalah huraian yang baik dapat dicapai.

[Kedua], apabila berjumpa dengan kaunselor, dapatkan juga nasihat tentang cara yang baik bagi anda berhadapan dengan mereka, meyakinkan mereka untuk mengizinkan anda berkahwin dan lebih penting lagi membantu mereka atasi masalah psikologi yang mereka ada.

[Ketiga], anda juga boleh berusaha untuk membuat bacaan peribadi dari bidang psikologi sebagai tambahan bagi pandangan yang anda perolehi dari kaunselor.

[Keempat], cubalah anda berbincang dengan ibu bapa anda mengenai bilakah dan keadaan yang mana mereka berasa bersedia untuk melepaskan anda, jika anda belum pernah melakukannya.

Hal ini akan turut membantu anda memahami mereka, tahu apa yang perlu dilakukan untuk penuhi hasrat mereka dan membuka ruang untuk anda membincangkan isu ini dengan mereka seperti kenapa mereka anggap anda belum bersedia untuk dilepaskan? Apa yang perlu dilakukan untuk kesediaan itu dipenuhi?

Dengan ini juga, anda tidak melihat isu ini hanya dari perspektif anda dan kaunselor (pihak ketiga) sahaja.

Berkomunikasi adalah penting dalam apa jua masalah keluarga.

Ia mungkin tidak membantu selesaikan masalah segera tetapi amat membantu bagi memahami masalah dan cara menanganinya.

[Kelima], berusahalah memujuk ibu bapa anda untuk berjumpa dengan kaunselor bagi mendengar pandangan dari pihak ketiga.

Ia juga membuka ruang membantu mereka atasi masalah psikologi yang ada.

[Keenam], cubalah dapatkan bantuan dari ahli keluarga atau guru-guru agama yang dihormati oleh ibu bapa anda untuk berbicara dengan mereka secara bersemuka, atau minta ibu bapa membincangkan pendirian mereka, sama ada ia satu perkara yang wajar atau tidak.

Sehingga ibu bapa anda bersedia melepaskan anda berkahwin dengan memberi izin, anda hendaklah bersabar dan tidak menjadikan isu ini sebab yang menjejas hubungan baik anda dengan mereka dan seterusnya menunaikan kewajipan berbuat baik kepada mereka.

Ibu bapa kita adalah manusia seperti kita juga yang tidak sempurna dan pasti ada kelemahan.

Sebagaimana mereka pernah bersabar dengan pelbagai kerenah kita, wajiblah kita juga bersabar dengan kerenah mereka, sehingga mereka dapat berubah.

Berfikir banyak kali dan dapatkan nasihat yang mendalam jika anda ingin meneruskan niat berkahwin tanpa restu ibu bapa anda, kerana ia mungkin akan mencetus hubungan negatif antara anda dan seluruh ahli keluarga anda setelah anda berkahwin, dan antara anda dengan ibu bapa anda.

Walaupun pendirian ibu bapa anda berpunca dari masalah psikologi mereka, namun restu dan izin mereka tetap penting.

Terdapat banyak dalil tentang kepentingan mendapatkan izin dan restu ibu bapa dalam melakukan sesuatu perkara, sehinggakan kewajipan berjihad pun tidak boleh dilaksanakan oleh seorang anak tanpa izin ibu bapanya.

Di bawah ini, di bawa dua hadis yang berkaitan:

“Sesungguhnya seorang lelaki dari Yaman telah berhijrah kepada Rasulullah s.a.w. untuk berjihad lalu baginda bertanya dengan maksud “Adakah kamu mempunyai seseorang di Yaman?” Dia menjawab: “Ibu bapaku.” Rasulullah bertanya: “Adakah mereka memberi izin kepada engkau?” Dia menjawab, “Tidak.” Rasulullah bersabda maksudnya, “Kembalilah kepada mereka berdua dan mintalah izin dari mereka berdua. Jika mereka mengizinkan engkau maka berjihadlah, akan tetapi jika tidak, maka berbuat baiklah kepada mereka berdua.” (Riwayat Abu Daud)

Abdullah bin ‘Amr r.a. menerangkan bahawa seorang lelaki datang kepada Nabi s.a.w. dan berkata dengan maksud, “Sesungguhnya aku datang untuk memberi taat setia (bai‘ah) kepada engkau untuk berhijrah, akan tetapi aku meninggalkan kedua orang tuaku dalam keadaan menangis. ”Rasulullah s.a.w. berkata kepadanya dengan maksud, “Kembalilah kepada mereka berdua dan jadikanlah mereka berdua ketawa (gembirakanlah mereka) sebagaimana kamu jadikan mereka menangis. (Riwayat An-Nasa’i)

Ini bukan bermaksud anda tidak boleh sama sekali berkahwin tanpa izin mereka, tapi hanya pandangan agar ia tidak dilakukan kecuali setelah berfikir dengan masak dan memberi pertimbangan buruk dan baiknya.

Oleh kerana perkahwinan adalah hubungan yang berpanjangan, hubungan negatif yang mungkin berlaku dengan ibu bapa anda juga boleh berpanjangan dan ia boleh memberi kesan kepada kebahagiaan rumahtangga anda pada jangka panjang pula.

*Berita Harian, 25 Ogos 2013.