Soalan
Bolehkah isteri menuntut cerai dari suami yang dijatuhkan hukuman lima tahun penjara?
Adakah wajib bagi pihak keluarga suami menanggung nafkah si isteri jika dia berhasrat menunggu suami dibebaskan dari penjara?
Bolehkah isteri menuntut nafkah beliau yang telah tertunggak selama lima tahun itu apabila si suami bebas dari penjara?
Jawapan
(Oleh Ustaz Haniff Hassan)
Isteri boleh menuntut cerai dari suami yang dihukum penjara.
Tuntutan ini boleh dibuat dengan membuat pendaftaran di Mahkamah Syariah (Administration of Muslim Law Act (AMLA), seksyen 47 (1) ).
Menurut AMLA, perceraian boleh berlaku melalui salah satu dari tiga cara berikut:
• Suami melafazkan cerai setelah melalui perbicaraan di Mahkamah Syariah (AMLA, seksyen 47 (3) ).
• Cerai secara khuluk iaitu isteri membayar sejumlah wang kepada suami untuk diceraikan. Cara ini biasanya digunakan apabila suami tidak mahu menceraikan isterinya melalui cara biasa (AMLA, seksyen 47 (4) ).
• Cerai secara taklik apabila Mahkamah Syariah mensabitkan bahawa suami telah gagal menunaikan kewajipan nafkah kepada isteri selama empat bulan berturut-turut (AMLA, seksyen 48 (1) ), lihat juga lafaz taklik nikah di sijil pernikahan anda).
• Cerai melalui fasakh iaitu perintah Mahkamah Syariah untuk menceraikan kedua pasangan suami isteri apabila (yang antara lain):
– suami gagal memberi nafkah kepada isteri selama 3 bulan (seksyen,49 (1)(a) )
– suami dipenjara selama 3 tahun ke atas (seksyen, 49 (1)(b) ).
Jika anda telah tekad untuk membuat tuntutan cerai, sebaiknya anda mendapatkan khidmat peguam.
Peguam anda akan memberi nasihat lebih terperinci akan pilihan dan proses terbaik bagi kes anda ini.
Di sisi agama, kegagalan suami yang dipenjara untuk memenuhi kewajipan nafkah kepada isteri menjadi hutang yang tertunggak bagi si isteri.
Kewajipan memberi nafkah kepada isteri, dalam hal ini, tidak berpindah kepada keluarga suami, baik dari segi hukum agama atau undang-undang.
Ertinya isteri tidak boleh menuntut keluarga suami memberi nafkah kepadanya bagi memenuhi sara hidupnya.
Namun, adalah menjadi fardu kifayah bagi keluarga isteri dan suami (khususnya bapa dan ibu mertua) membantu memenuhi keperluan hidup si isteri selama mana si suami dipenjara.
Fardu kifayah di sini bermaksud ia adalah kewajipan kolektif yang jika ada sebahagian dari ahli keluarga menunaikan kewajipan ini, maka terlepaslah yang lain dari dosa.
Jika tidak, kesemuanya bakal dipertanggungjawabkan oleh Allah s.w.t.
Satu langkah yang lebih praktikal bagi isteri yang berada dalam situasi ini ialah untuk mendapatkan bantuan kebajikan dari badan-badan Islam yang menawarkan pelbagai bantuan sosial kepada keluarga yang mempunyai masalah kewangan termasuk kepada isteri-isteri yang suaminya berada di dalam penjara.
Jika anda ingin menuntut hak nafkah tertunggak dari suami selama tempoh beliau dipenjara, anda dinasihatkan untuk membuat tuntutan nafkah berkenaan dari Mahkamah Keluarga kerana dengan mendapatkan perintah mahkamah hak anda lebih terpelihara dan mudah dikuatkuasakan, jika suami enggan memenuhinya setelah dibebaskan.
Anda boleh melakukan ini tanpa perlu tunggu si suami keluar dari penjara.
Tanpa perintah mahkamah, pembayaran nafkah tertunggak akan bergantung pada persetujuan anda dan suami semata-mata.
*Berita Harian, 28 Jun 2013.